Penghijauan Malaysia mesti beriringan dengan penguatkuasaan pembalakan lestari

Kerajaan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli telah menganjurkan Kempen Penanaman 100 Juta Pokok (2021-2025) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Seri Perdana, Putrajaya hari ini.

Kempen tersebut merupakan sebahagian daripada Program Penghijauan Malaysia, yang merupakan salah satu agenda nasional berlandaskan Wawasan Kemakmuran Bersama bagi perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat [Utusan Online, 05/01/2021].

Program sebegini merupakan suatu inisiatif yang penting demi menjamin kelestarian alam sekitar dan keseimbangan ekosistem. Namun, malangnya dalam masa yang sama aktiviti-aktiviti pembalakan, baik secara sah mahu pun haram, masih berleluasa, yang semua ini telah mengubah dan memusnahkan ekosistem.

Aktiviti pembalakan, walaupun berlesen, seharusnya dilakukan secara terkawal dan lestari, bukan dilakukan demi meraih keuntungan semata-mata sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini. Sudah berapa banyak kejadian pembalakan yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan masyarakat amnya. Malah, telah banyak kes pembalakan yang menjejaskan kehidupan orang-orang asli yang tinggal di kawasan berkenaan.

Penebangan balak yang tak terkawal juga boleh mengancam flora dan fauna, selain menyebabkan insiden tanah runtuh dan banjir akibat berkurangnya kawasan tadahan hujan. Dalam masa yang sama kehidupan mergastua turut terancam ekoran habitat mereka yang semakin mengecil.

Dengan apa yang berlaku, usaha pemerintah dalam proses penghijauan Malaysia ini tidak seharusnya menjadi solekan yang cuba menutupi dan memperindah segala kerosakan yang telah wujud.

Kewajipan pemerintah dalam memastikan agar alam sekitar ini sentiasa terpelihara daripada sebarang kerosakan adalah amat jelas dan tidak boleh diabaikan. Allah (swt) telah pun memperingatkan di dalam al-Quran:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ

“Telah tampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar)” [Ar-Rum (30): 41].

Wallahu a’lam.