Peningkatan Gaji vs Kos Sara Hidup – Ibarat Kura-kura vs Arnab
Malaysia diunjurkan mencatat peningkatan gaji sebenar paling rendah dalam kalangan enam ekonomi utama ASEAN yang dikaji selidik oleh firma perunding kekayaan dan kerjaya, Mercer Malaysia.
Perunding Kanan (Kerjaya) Mercer Malaysia, Koay Gim Soon, berkata walaupun gaji pekerja Malaysia dijangka meningkat dengan stabil pada kadar lima peratus pada 2020, kadar inflasi negara diunjurkan meningkat lebih tinggi kepada 2.4 peratus berbanding 0.9 peratus pada 2019 [BH Online, 5/12/2019].
Ulasan:
Sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan di negara ini penuh dengan kelemahan serta kepincangan yang mengundang pelbagai kemelut dalam kehidupan masyarakat. Antara kelemahan yang terdapat dalam sistem ini termasuklah dalam soal penentuan gaji pekerja. Prinsip penting kapitalis iaitu meminimumkan kos dan memaksimumkan keuntungan turut diaplikasikan dalam penentuan gaji pekerja. Prinsip tersebut diaplikasikan berdasarkan kepada mekanisme permintaan dan penawaran dalam pasaran buruh. Gaji ditawarkan seminimum mungkin pada nilai yang sanggup diterima oleh buruh.
Misalnya, penawaran graduan kejuruteraan adalah sebanyak 1000 orang tetapi peluang pekerjaan yang ada hanyalah untuk 100 orang, maka kadar gaji yang diberikan ditentukan berdasarkan hubungan antara penawaran dan permintaan buruh. Dalam contoh sebegini, disebabkan penawaran buruh lebih tinggi berbanding permintaan buruh maka sudah tentu kadar gaji yang akan ditawarkan adalah rendah. Inilah asas utama bagi menentukan gaji dalam sistem kapitalis, manakala sumbangan (contribution) tidak pula menjadi pertimbangan penting dalam menentukan kadar gaji. Bukan satu fenomena yang luar biasa di negeri-negeri umat Islam yang penduduknya berpendidikan tinggi namun disebabkan peluang pekerjaan yang sangat rendah, gaji seorang pensyarah hanyalah sekitar RM1000 sahaja.
Di Malaysia, kepincangan dalam penetapan gaji ini cuba ditangani dengan idea sosialis melalui penetapan gaji minimum. Namun langkah ini juga tidak dapat mengeluarkan rakyat Malaysia daripada terus terhimpit akibat kos sara hidup yang semakin meningkat. Apalah ertinya jika gaji minimum ditingkatkan kepada kadar yang tinggi sekalipun, tetapi dalam masa yang sama nilai wang semakin mengecil dan kos barang pula semakin meningkat? Demikianlah kelemahan demi kelemahan sistem kapitalis yang telah mencengkam kehidupan majoriti manusia di seluruh dunia dan dalam masa yang sama hanya menguntungkan sebilangan kecil kelompok elit.
Dalam sistem ekonomi Islam, gaji atau upah dibuat berdasarkan kepada akad ijarah (kontrak) yang wujud antara majikan dan pekerja. Ijarah merupakan pemberian perkhidmatan oleh pekerja kepada majikan, dan majikan memberikan bayaran (upah) kepada pekerja sebagai imbalan terhadap usaha yang diberikan. Dengan kata lain, ijarah adalah transaksi terhadap usaha tertentu yang disertai imbalan (gaji/upah). Faktor penting yang menentukan kadar gaji ialah sumbangan usaha yang dicurahkan oleh pekerja.
Misalnya, dalam mendirikan sesebuah bangunan, sudah tentu sumbangan usaha yang diberikan oleh seorang jurutera jauh lebih tinggi berbanding dengan sumbangan yang dapat diberikan oleh seorang pekerja buruh binaan. Maka, sudah tentulah gaji seorang jurutera jauh lebih tinggi berbanding dengan gaji seorang buruh. Sejauh mana sumbangan yang dicurahkan oleh seseorang pekerja, sudah tentu perlu diserahkan kepada pakar dalam bidang tersebut untuk menentukannya. Begitu juga misalnya dengan gaji seorang guru pendidikan awal kanak-kanak (tadika) atau gaji seorang doktor, dalam sistem ekonomi Islam gaji mereka ditentukan berdasarkan sumbangan yang mereka berikan. Inilah sebahagian kecil perbezaan yang ada dalam sistem ekonomi kapitalis dengan sistem ekonomi Islam.
Mus’ab
Pimpinan Pusat HTM