Penipu Yang Menipu

PETALING JAYA, 10 April – ‘‘Sesiapa sahaja boleh mendakwa diri mereka telah insaf namun apakah bukti atau langkah yang telah dilakukan untuk menunjukkan mereka benar-benar insaf?’’  Begitulah soalan yang diajukan oleh seorang Hakim Mahkamah Sesyen di sini hari ini kepada seorang wanita yang mengaku bersalah atas 18 pertuduhan membabitkan penggunaan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM328,810.19. Terdahulunya, Nurul Huda Ahmad, 29, bekas kerani akaun di sebuah firma guaman, masih mengekalkan pengakuan bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut.

Nurul Huda mengaku telah menggunakan wang hasil aktiviti haram itu untuk pelbagai tujuan antaranya sebagai deposit pembelian hartanah untuk kakaknya di Lot 6095, Daerah Seberang Perai Utara, Pulau Pinang; RM4,428.28 sebagai pembayaran penyelesaian penuh dua kenderaan ahli keluarganya iaitu Proton Iswara nombor pendaftaran WCW 6694; RM17,750.91 untuk bayaran penyelesaian penuh Proton Wira nombor pendaftaran KAE 9288.

Dia mengaku menggunakan RM6,875 untuk membayar caj penggunaan bil elektrik bagi premis Cyber Cafe suaminya, Mohd. Norzli Mohd. Sidek, 33, ke dalam akaun Tenaga Nasional Berhad; RM40,236 sebagai deposit pembelian hartanah sebuah rumah di Lot 2674, Geran 35008 Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling dan RM25,510 untuk membayar pengubahsuaian hartanah yang sama.     Selain itu, Nurul Huda mengaku telah memasukkan wang berjumlah RM85,000 ke dalam akaun suaminya dan RM135,000 ke dalam akaun rakannya. Nurul Huda berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang mengaku melakukan kesemua perbuatan tersebut antara 20 Disember 2005 dan 10 Oktober 2007 di Affin Bank Berhad, Cawangan Kelana Jaya, Menara Glomac, Kelana Business Centre 97, Jalan SS7/2 di sini.

Tertuduh dihadapkan pertama kali di mahkamah pada 25 Februari lalu atas tuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.  Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. Selepas pertuduhan dan fakta kes dibacakan, peguam Zulkifli Ramli merayu supaya hukuman ke atas Nurul Huda diringankan.

Sumber : Utusan Malaysia, 10/04/09

Kapitalisme: “Penipu” Yang Menipu Umat Islam.

Inilah sebahagian contoh dari kisah dicelah-celah kehidupan umat Islam saat ini yang terpedaya dengan gaya hidup Kapitalisme yang menjadikan manfaat sebagai asas kepada tolok ukur perbuatannya. Wang ringgit yang banyak tanpa mengira pertimbangan halal dan haram telah mengalahkan dorongan mencari keredhaan Allah SWT. Keadaan yang sedemikian tidak mengejutkan kita kerana saat ini kehidupan umat Islam dikelilingi dengan cara hidup Kapitalisme yang berasaskan aqidah sekular. Inilah di antara bukti bagaimana persekitaran dan sistem yang diterapkan itu boleh mempengaruhi kehidupan individu dan masyarakat. Lihatlah bagaimana seorang yang beraqidah dengan aqidah Islam telah berjaya ditipu oleh sistem Kapitalisme yang telah berakar umbi dalam masyarakat kita sejak lebih daripada 50 tahun yang lepas. Allah SWT telahpun mengingatkan kita dengan firmanNya

“Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia, dan janganlah syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka). Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka”. [TMQ Faatir(35):5-6].

Perlanggaran terhadap hukum syara’ yang dilakukan oleh wanita di atas sebenarnya ada kaitannya dengan sistem yang diguna pakai oleh negara pada hari ini.  Oleh kerana itu, menjadi kewajiban kepada umat Islam ketika ini untuk berusaha mengubah sistem yang ada iaitu sistem Kapitalisme yang menipu ini kepada sistem Islam yang menjanjikan rahmat kepada seluruh alam. Tentunya kita rindu dan ingin hidup dalam sebuah masyarakat yang bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa. Kita tentu ingin hidup seperti di zaman Umar Al-Khattab dan Umar Abdul Aziz ketika rahmat Allah meliputi dunia Islam. Antara kisah yang pernah tercatat di zaman Umar Al-Khattab ialah, 

“Suatu hari ‘Umar menemukan seorang anak yang sedang menggembalakan sekelompok biri-biri. ‘Umar ingin menguji kejujuran anak itu. “Hai anak, saya ingin membeli biri-biri seekor. Sang gembala menjawab: “Saya ini hanya seorang budak penggembala. Biri-biri ini bukan milik saya, tetapi tanggung jawab saya. Kalau tuan ingin membeli barang seekor, temuilah tuan saya yang rumahnya di balik bukit itu.” “Ya, anak”, Umar berkata pula, “terlalu jauh ke sana. Saya berikan saja wang, sebutkan harganya dan laporkan kepada tuanmu.” “Hai tuan sudah kukatakan tadi, saya ini bukan pemilik, jadi saya tidak berhak mengambil keputusan untuk menjualnya. “Ya, katakan saja, kepada tuanmu itu bahawa biri-biri yang saya beli itu diterkam oleh binatang buas dan wangnya engkau ambil.” “Tuan, saya ini bukan saudaranya Nabi Yusuf AS” . Dan dengan tegas budak gembala itu membentak  Umar: “Fa ayna Allah? (Maka di manakah Allah?)”.

Inilah suatu contoh masyarakat yang lahir di zaman Umar Al-Khattab di mana individu-individunya diikat dengan pemikiran, perasaan dan sistem yang satu – pemikiran Islam, perasaan Islam dan sistem Islam. Masyarakat sebegini akan hanya dapat dilihat apabila kehidupan Islam dikembalikan di tengah-tengah umat dengan tertegaknya kembali Daulah Khilafah Islamiyyah. Apakah kalian tidak merindui  kehidupan Islam semulia ini?