Barah Demokrasi Yang Menipu

KIEV – Parlimen Ukraine bersidang dalam situasi huru-hara semalam apabila kalangan anggotanya bertindak membaling telur, bom asap dan bergaduh sesama mereka.  Sejumlah anggota Parlimen negara itu berbalas-balas tumbukan manakala seorang wakil rakyat dilihat memijak kepala anggota lain.  “Telur, bom asap semuanya sudah dibaling. Cuma senjata api sahaja yang masih belum digunakan,” kata seorang ahli Parlimen, Andriy Shevchenko.  Situasi memalukan itu tercetus berhubung isu perjanjian melanjutkan pajakan sebuah pangkalan tentera laut yang menempatkan Armada Laut Hitam Rusia di Ukraine. 

Kalangan wakil rakyat parti pembangkang berang kerana Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych memeterai perjanjian dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Dmitry Medvedev untuk melanjutkan pajakan pangkalan laut itu sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2042 yang dianggap sebagai menjual maruah negara.  Tidak dapat menahan kemarahan, beberapa wakil rakyat mula membaling telur ke arah Speaker, Volodymr Lytvyn yang memaksanya berlindung di sebalik dua payung hitam yang dipegang oleh dua pembantunya.  Seorang wakil rakyat pro-Barat kemudian membaling sebutir bom asap sebelum keadaan menjadi tidak terkawal dan pergaduhan tercetus.   Seorang anggota Parlimen, Andriy Shevchenko daripada blok pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko mengetahui bahawa bom itu dibaling oleh anggota-anggota pembangkang.

Namun, dia menyatakan tindakan tersebut wajar dilakukan.  “Sejarah akan menghakimi kita,” katanya.  Walaupun huru-hara, beberapa Ahli Parlimen cuba untuk meneruskan sidang. Beberapa Ahli Parlimen menjerit: “Memalukan.”  Parlimen kemudian mengiktiraf perjanjian itu dengan 236 anggota Parlimen menyokongnya.  “Bom asap, balingan telur dan pergaduhan tidak akan menghalang pihak majoriti membuat keputusan,” kata Perdana Menteri, Mykola Azarov selepas sidang berakhir.  Menerusi perjanjian itu, Rusia bersetuju untuk memberikan Ukraine 30 peratus diskaun import gas asli yang dianggarkan bernilai AS$40 bilion (RM127.50 bilion) selama 10 tahun. – AFP

Sumber : Kosmo,  28/04/10

Barah Demokrasi Yang Menipu

Lihatlah bagaimana jeleknya kelakuan Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang Ukraine yang dipilih oleh rakyatnya apabila mereka bergasak sesama sendiri kerana kedua-dua pihak cuba mempertahankan pandangan dan pendapat masing-masing ketika berlaku perdebatan berkenaan tindakan Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych memeterai perjanjian dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Dmitry Medvedev. Perjanjian  untuk melanjutkan pajakan pangkalan laut negara itu kepada Armada Laut Hitam Rusia sehingga sekurang-kurangnya tahun 2042, dianggap sebagai menjual maruah negara tersebut dan tidak dipersetujui oleh pihak pembangkang. Inilah kejelekan demokrasi yang telah mengambil hak Allah SWT sebagai musyari’ dan menyerahkannya kepada manusia untuk membuat undang-undang sendiri di kalangan mereka. Parlimen dalam sistem demokrasi adalah suatu tempat yang dianggap terlalu suci, di mana manusia dipilih sebagai wakil dan duduk sebagai Ahli Parlimen, menggubal undang-undang sendiri. Bagi kaum Muslimin yang terlibat dalam sistem demokrasi, hakikatnya mereka ini berada di tepi jurang api neraka kerana mereka melakukan salah satu dari keharaman yang besar – terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam mengubal dan membuat undang-undang.

Walhal, sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT sudah sewajibnya kita menyakini bahawa hanya Allah SWT sahajalah yang berkuasa dan yang layak sebagai  Pencipta dan Pengatur. Firman Allah SWT: “Keputusan itu hanyalah kepunyaan Allah. [TMQ Yusuf (12) : 40].

Dalam sistem demokrasi, kekuasaan dan kedaulatan itu adalah milik manusia sepenuhnya dan ini tidak akan berlaku dalam sistem Khilafah, yang secara jelas meletakkan kedaulatan  milik syara’ manakala kekuasaan pula adalah milik umat. Inilah perbezaan yang cukup ketara dan jelas antara Islam dengan demokrasi. Oleh itu, sudah sewajarnya umat Islam hari ini menolak demokrasi dan berusaha menegakkan kembali Khilafah, bukannya  tunduk dan patut kepada sistem kufur demokrasi. Demokrasi adalah sistem kufur. Adalah haram menyebarluaskannya, haram mengambilnya dan haram mengamalkannya dalam kehidupan individu, masyarakat dan negara.