Penjarakan Saf: Antara Khilaf Ulama dan Double Standard Pemerintah

Suasana solat berjemaah telah mengalami perubahan yang sangat menyedihkan sejak wabak covid-19 melanda negara ini. Bermulanya daripada “lockdown” pada bulan Mac tahun ini di mana semua masjid dan surau di seluruh negara ditutup, dan apabila dibuka semula, pelbagai Standard Operating Procedure (SOP) telah dikenakan, termasuk penjarakan saf. Sejak itu, kita menyaksikan buat kali pertama umat Islam telah mengalami perubahan dalam kaifiyat (tatacara) solat berjemaah mereka secara besar-besaran, satu suasana dan satu kaifiyat yang tidak pernah wujud dalam Islam.

Walaupun banyak dalil qath’ie yang menunjukkan bahawa merapatkan saf adalah wajib dan merupakan penyempurnaan solat, dan penjarakan saf seperti hari ini tidak pernah dilakukan dalam solat berjemaah di sepanjang sejarah Islam, namun pemerintah dan para ulama salathin tetap memaksakan penjarakan ini ke atas umat Islam atas pelbagai alasan.

Pada awalnya ramai umat Islam yang akur dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti dan Menteri Agama kerana hujahnya ialah, saf yang rapat akan menularkan penyakit Covid-19, yang boleh membawa maut. Mereka menyatakan bahawa demi menjaga nyawa, maka saf mesti dijauhkan. Mereka juga menyatakan bahawa hukum mendatangkan bahaya (penyakit) kepada orang lain adalah haram berdasarkan banyak dalil, antaranya:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

 Tidak boleh ada mudharat/bahaya dan tidak boleh ada yang membahayakan
[HR Ibn Majah, Ahmad, ad-Daraquthni].

Pelaksanaan perintah dan fatwa penjarakan saf di masjid-masjid dan surau-surau ini sungguh tegas sehingga siapa sahaja yang melanggarnya akan dikenakan hukuman dan denda serta merta. Umat Islam terpaksa akur, kerana di samping takut akan berjangkitnya Covid-19, mereka juga takut dikenakan hukuman dan denda yang tidak ada kompromi di dalamnya.

Ya benar berdasarkan dalil kita wajib menghindar dan mencegah sebarang bahaya, baik ke atas diri sendiri mahu pun orang lain, dan kita setuju bahawa segala langkah pencegahan penyakit wajib dilakukan, namun perlu difahami bahawa dalam mengambil semua langkah tersebut, kaifiyat (tatacara) dalam ibadah (solat) sama sekali tidak boleh diubah, kerana merubah kaifiyat ibadah adalah satu bidaah.

Di saat pemerintah dengan sangat tegas mengeluarkan arahan supaya menjarakkan saf dalam solat, namun, kejadian-kejadian yang berlaku dari semasa ke semasa di depan mata masyarakat telah menyebabkan masyarakat semakin sangsi dengan fatwa-fatwa yang dikeluarkan, dan mempertikaikan peraturan yang dikenakan. Apa tidaknya, mereka melihat orang ramai pergi membeli belah di kedai-kedai dan pasar raya, pergi ke restoran, berada dalam kenderaan awam dan melakukan apa jua urus niaga harian tanpa penjarakan satu meter dan dibiarkan sahaja oleh pemerintah, tidak sebagaimana penjarakan yang dikenakan ketika solat berjemaah.

Lebih menyakitkan apabila masyarakat melihat ahli-ahli politik pergi melawat kawasan, mengadakan mesyuarat, mengadakan program bersama rakyat, bergambar dan sebagainya, tidak pula melakukan penjarakan satu meter. Lebih buruk, semasa berkumpul dan berkempen dalam pilihan raya atau membuat sidang media, ahli-ahli politik ini melanggar dengan selamba akan peraturan penjarakan sosial yang mereka sendiri buat. Ini termasuklah para wartawan yang membuat liputan terhadap kegiatan-kegiatan ahli politik ini, turut mengabaikan penjarakan sosial. Rakyat lebih meluat dan marah apabila ahli-ahli politik ini sering terlepas daripada hukuman, walaupun buktinya cukup kuat, malah mereka sendiri mengaku melanggar SOP, tetapi dalam masa yang sama apabila rakyat yang melanggar SOP, tindakan tegas terus diambil.

Jadi, rakyat semakin mempersoalkan apakah peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan hasil fatwa-fatwa yang dikeluarkan oleh para mufti dan menteri agama yang melarang merapatkan saf, atas alasan boleh membawa kematian, apakah penularan wabak dan kematian itu hanya berlaku di dalam masjid dan surau sahaja, sedangkan di tempat lain tidak?

Para ulama salathin mendakwa bahawa saf solat boleh dijarakkan kerana hal ini merupakan khilaf (perbezaan pandangan) antara ulama. Malangnya, khilaf tersebut telah diambil secara salah oleh mereka dengan “mewajibkan” dan memaksa setiap jemaah supaya menjarakkan saf sejauh satu meter atau lebih antara satu sama lain, suatu hal yang tidak pernah ada dalam pandangan ulama!

Kita akui memang terdapat khilaf di kalangan para ulama berhubung masalah merapatkan saf, sama ada wajib atau sunat, namun tidak pernah wujud pandangan ulama bahawa saf ‘boleh’ dijarakkan satu atau dua meter oleh semua makmum tanpa kecuali, dan tidak pernah wujud pandangan ulama bahawa semua makmum ‘wajib’ menjarakkan saf satu meter sesama mereka demi menjaga nyawa masing-masing. Tidak pernah wujud pandangan seperti ini dan hal seperti ini dalam pandangan ulama mahupun dalam ribuan tahun sejarah Islam!

Walhal penyakit berjangkit pernah wujud di zaman Rasulullah (saw) dan di zaman para Sahabat. Tidak pernah diriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) atau para Sahabat “memerintahkan” atau membuat satu peraturan “mewajibkan” penjarakan saf sejauh satu meter antara satu sama lain. Tidak pernah ada riwayat seperti ini! Riwayat yang ada menjelaskan bahawa orang yang sakit (atau bergejala) dilarang pergi ke masjid, manakala orang yang sihat (tidak bergejala) pergi ke masjid seperti biasa dan menunaikan solat seperti biasa tanpa menjarakkan saf.

Justeru, sungguh jelas kepada kita bahawa peraturan atau “fatwa” yang memerintahkan supaya menjarakkan saf ini, bukan sahaja menyalahi Sunnah, tetapi merupakan double standard pemerintah ke atas kita semua. Tatkala penjarakan dilanggar sewenang-wenangnya di luar solat, malah dilanggar dengan sengaja oleh pemerintah sendiri, namun apabila ingin solat, penjarakan dipaksakan ke atas kita semua seolah-olah akan matilah semua orang yang tidak melakukan penjarakan.

Oleh yang demikian, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa isu sebenar dalam penjarakan saf ini bukanlah isu khilaf antara ulama, tetapi lebih kepada isu politik dan jelas merupakan double standard pemerintah dalam menetapkan peraturan ke atas umat Islam. Khilaf ulama hanyalah sebuah justifikasi, selain dipetik dengan cara di luar konteks.

Wallahu a’lam.