Penyediaan Aset Keselamatan Negara Suatu Kewajipan dan Bukan Polemik Politik Sekular
KUALA LUMPUR 10 Dis. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihak pembangkang akhirnya terpaksa akur dengan kemampuan kapal selam negara menyelam di dasar laut selepas diberi peluang menaiki KD Tun Razak di Pulau Langkawi, semalam.
Perdana Menteri berkata, mereka juga telah menyaksikan kehebatan dan kemampuan kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu dalam mempertahankan negara.
“(Dahulu) mereka kata kapal selam ini tidak boleh menyelam, tetapi mereka akhirnya terpaksa akur dengan kenyataan bahawa kapal selam ini boleh menyelam.
“Malah (mereka juga) menyaksikan betapa hebatnya kemampuan kapal selam ini,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Permata 2011 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Hadir sama Penaung Program Permata Negara (Permata), Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan dua Timbalannya, Prof. Dr. P. Ramasamy dan Datuk Dr. Mansor Othman berpeluang menaiki kapal selam KD Tun Razak atas jemputan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2011.
Selepas merasai sendiri pengalaman menaiki kapal selam itu, Guan Eng akhirnya mengakui aset tersebut amat diperlukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.
Guan Eng pada sidang akhbarnya berkata, kapal selam TLDM boleh menyelam dan kenyataannya itu bercanggah dengan dakwaan pembangkang di Dewan Rakyat sebelum ini.
Persetujuan mengenai perolehan dua kapal selam milik TLDM iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak ditandatangani antara Malaysia dan Perancis pada f2002 dengan harga RM2.5 bilion termasuk pakej pemindahan teknologi.
Penganalisis pertahanan sebelum ini menyifatkan proses dan harga itu sebagai adil serta berbaloi.
Dalam pada itu Najib berkata, semua pihak harus berani menghadapi sebarang kritikan iaitu dengan meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap setiap program dilaksanakan seperti mana program Permata.
“Anggaplah kritikan itu sebagai perangsang kepada kita untuk melakukan yang terbaik. Jangan patah semangat. Kuatkan iltizam dan kita buktikan apa yang kita laksanakan ini dibuat secara bersungguh-sungguh terutama program-program berkaitan kesejahteraan rakyat.
“Mereka yang mengkritik itu hanya mahu menjadikan program-program yang kita laksanakan sebagai modal politik sahaja,” katanya.
Selain projek kapal selam katanya, langkah kerajaan memperkenalkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) juga tidak kurang hebatnya menerima kritikan daripada pakatan pembangkang sedangkan kewujudannya adalah untuk membantu mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah.
“Pelbagai tuduhan mereka lemparkan termasuk mengatakan barangan yang dijual di KR1M mutunya rendah,” katanya.
Sumber : Utusan Online 11/12/2011
Penyediaan Aset Keselamatan Negara Suatu Kewajipan dan Bukan Polemik Politik Sekular
Setelah lebih 21 bulan sejak dicabar oleh pembangkang mengenai isu pembelian kapal selam ini, akhirnya Kementerian Pertahanan melalui menterinya Zahid Hamidi membenarkan Lim Guang Eng selaku wakil pembangkang untuk “mencuba” aset baru pertahanan negara ini. Sebelum ini, negara kecoh dengan kos pembelian 2 buah kapal selam buatan Perancis ini yang telah memakan lebih daripada RM3 billion. Pastinya, wang yang digunakan ini merupakan hasil titik peluh rakyat. Selain itu, tender yang dikeluarkan oleh pemerintah kepada sebuah syarikat pengantara sesama pembelian turut di kritik hebat oleh pihak pembangkang yang menyatakan terdapat banyak unsur rasuah dalam pembelian ini.
Aset peperangan merupakan suatu yang kritikal untuk dikuasai oleh sesebuah negara. Malah, untuk menyediakan peralatan perang (bukan sekadar pertahanan) merupakan suatu kewajipan yang harus dipikul oleh pemerintah di samping kewajipan – kewajipan menerapkan hukum Islam yang lain. Ini berdasarkan firman Allah :
“Dan persiapkanlah diri untuk menghadapi merekadengan kekuatan apa sahaja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang kamu tambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu dapat menggentarkan musuh Allah, musuh kamu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak ketahui sedangkan Allah mengetahui mereka. Apa-apa yang kamu belanjakan dijalan Allah nescaya disempurnakan Allah balasannya kepada kamu sedangkan kamu tidak dizalimi”.[TMQ al-Anfaal(8):60]
Aspek keselamatan negara bukanlah suatu modal politik yang boleh dimainkan oleh pemerintah mahupun pembangkang. Ia merupakan suatu kewajipan untuk dilaksanakan dan bukannya sekadar menjadi gimik memancing undi pilihanraya. Negara sepatutnya menyediakan dan membangun aset keselamatan dan peperangan negara ke tahap yang paling optimum. Dasar kepada industri berat negara haruslah bertunjangkan peperangan iaitu menyediakan peralatan yang terbaik untuk digunakan semasa berjihad. Adalah lebih menyedihkan sekiranya wang yang sekian banyak ini sekadar dapat “membeli” 2 buah kapal selam dari negara musuh umat Islam dan bukannya digunakan untuk membangun sendiri segala aset keselamatan negara. Lebih tragis lagi sekiranya wang ini mengalami ketirisan dan masuk ke kantung kroni- kroni pemerintah.
Sampai bila lagi kita boleh mengharapkan pemerintah yang suka membelanjakan wang rakyat, tanpa perancangan yang ideologis dan tanpa akauntabiliti yang jelas? Adakah kita tenteram dengan pelbagai penyelewengan yang bermaharajalela, seolah-olah negeri umat Islam ini adalah milik mereka? Marilah kita bersama-sama melakukan perubahan dengan menjadikan Islam sebagai tunjang kepada pemerintahan negara bukannya pemerintahan yang didasari dan diimplementasi oleh tangan-tangan yang kotor. Wallahu a’lam.