Penyelesaian Islam Untuk Masalah Gay Dan Murtad
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita mengenai seorang rakyat Malaysia yang belajar di Kanada yang secara terbuka mengakui bahawa dirinya seorang gay dan ateis. Kerajaan Kanada telah meluluskan permohonannya dan dia kini di beri perlindungan di negara kufur itu. Hazim Ismail, seorang pelajar Universiti Winnipeg telah mendapat status “orang pelarian” yang dilindungi dan dia tidak perlu lagi pulang ke Malaysia yang didakwa tidak selamat untuknya.
Kes murtad dan homoseksual dalam kalangan Muslim bukanlah suatu yang baru, bahkan telah lama menjadi virus, khususnya dalam kalangan anak-anak muda, apatah lagi para pelajar yang melanjutkan pelajaran ke luar negara yang terdedah dengan cara hidup bebas di negara yang mereka belajar. Inilah realiti yang berlaku di bawah penerapan sistem dan undang-undang buatan manusia seperti Kanada. Suatu perbuatan yang menjijikkan dan dosa besar di sisi Islam, tetapi di sisi manusia yang tidak bertamadun, ia diakui sah bahkan disokong serta pelakunya dilindungi.
Islam tidak memaksa seseorang untuk memeluk agama Islam. Namun, tatkala seseorang itu telah bergelar Muslim, maka dia secara automatik terikat dengan segala hukum-hakam Islam yang mengatur kehidupan manusia dengan sempurna. Islam dengan tegas melarang penganutnya untuk keluar dari Islam dan melarang seseorang itu menjadi homoseksual, lesbian, transgender mahupun biseksual. Bahkan kedua jenis perbuatan ini, iaitu murtad dan penyimpangan seksual ini merupakan dosa besar di sisi Islam yang mana Islam telah menetapkan hukuman tertentu untuk pelakunya. Demikianlah Islam menjaga kebenaran dan kesucian agama ini dan menjaga kehormatan, maruah serta akhlak pemeluknya.
Setiap penyimpangan perbuatan manusia dari apa yang Allah SWT tetapkan, sekiranya tidak diselesaikan dengan hukum Allah, maka sudah pasti akan menimbulkan kerosakan dan malapetaka yang berpanjangan di muka bumi ini serta mendatangkan azab yang pedih bagi pelakunya di akhirat. Firman Allah SWT,
“Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, walhal (hukum) siapakah yang lebih baik dari hukum Allah bagi orang-orang yang yakin” [TMQ al-Ma’idah (5):50].
“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah Rasul takut akan ditimpa cubaan (di dunia) dan azab yang pedih (di akhirat)” [TMQ al-Nur (24):63].
Hukuman Bagi Gay
Gay atau homoseksual adalah orang lelaki yang tertarik sesama lelaki dari segi seksual dan melakukan hubungan seks melalui dubur atau dalam istilah arabnya ‘liwat’. Perbuatan liwat yang haram, keji dan terkutuk ini telah dilakukan oleh kaum Nabi Lut sehingga Allah SWT membinasakan mereka. Sabda Nabi SAW,
“Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, Allah melaknat siapa sahaja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut” [HR Ahmad].
Hukuman untuk kaum gay atau homoseksual ini adalah hukuman mati dan tidak ada khilafiyah (perbezaan pendapat) di antara para fuqaha’ termasuklah di antara para sahabat Nabi SAW mengenainya. Sabda Nabi SAW,
“Siapa sahaja yang kalian dapati melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (liwat), maka bunuhlah keduanya (peliwat dan yang diliwat)” [HR al-Khamsah, kecuali an-Nasa’i].
Namun, dalam pelaksanaan hukuman bunuh tersebut, para sahabat Nabi SAW berbeza pendapat mengenai tatacara (uslub) hukuman mati ke atas golongan gay ini. Menurut Ali bin Thalib RA, kaum gay mesti dibakar dengan api hingga mati. Menurut Ibnu Abbas RA, mesti dicari bangunan yang paling tinggi di suatu tempat, lalu dihumbankan si gay tadi dengan kepala ke bawah dan setelah jatuh ke tanah, dilempari dengan batu. Menurut Umar bin al-Khattab RA dan Utsman bin Affan RA, golongan homoseksual ini dihukum dengan cara dihempapkan dinding tembok kepadanya hingga mati. Meskipun para sahabat Nabi SAW berbeza pendapat tentang uslub (cara) pelaksanaan hukuman, namun semuanya sepakat bahawa golongan homoseksual ini wajib dihukum mati [Abdurrahman Al-Maliki, Nidzamul Uqubat].
Hukuman Untuk Si Murtad
Murtad ialah keluar daripada Islam. Bagi orang yang murtad (yang telah baligh dan berakal), ia terlebih dahulu diajak untuk kembali kepada Islam hingga tiga kali disertai peringatan. Jika ia kembali, maka akan diterima dan jika menolak maka akan dihukum dibunuh. Firman Allah SWT,
“Barangsiapa yang murtad di antara kamu dari agamanya, lalu dia mati dalam kekafiran, maka mereka itulah yang sia-sia amalannya di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya” [TMQ al-Baqarah (2):217].
Imam Bukhari meriwayatkan dari Ikrimah yang berkata,
“Dihadapkan kepada Amirul Mukminin Ali karamAllahu wajhah, orang-orang zindiq, lalu beliau membakar mereka. Berita itu disampaikan kepada Ibnu Abbas dan Ibnu Abbas berkata, ‘Seandainya aku, tidaklah aku bakar mereka kerana Nabi SAW bersabda, ‘Jangan kamu menyeksa dengan seksaan Allah, akan tetapi pasti akan aku bunuh mereka kerana sabda Nabi SAW ‘Barangsiapa yang menukar agamanya, hendaklah kamu bunuh akan dia.”
Dalam riwayat Imam Ahmad disebutkan,
“Allah dan RasulNya telah menetapkan, bahawa orang yang murtad dari agamanya maka dia mesti dibunuh.”
Berkaitan pembahasan orang yang murtad dianjurkan untuk bertaubat dalam tempoh tiga hari adalah berdasarkan hadis dari Marwan, bahawa Rasulullah SAW memerintahkan agar menasihati (mengembalikan) orang yang murtad kepada Islam. Abu Bakar juga pernah melakukan hal seperti ini. Daruquthni dan Baihaqi mengeluarkan hadis,
“Bahawa Abu Bakar RA menasihatkan wanita yang murtad untuk bertaubat. Wanita itu bernama Ummu Qurfah, di mana dia kafir setelah masuk Islam. Wanita itu tidak mahu bertaubat, sehingga beliau (Abu Bakar) membunuhnya.”
Anjuran taubat selama tiga hari, bukanlah qayyid (batasan). Tiga hari adalah batas minimum yang umumnya memungkinkan terjadinya insaf. Jika dalam tempoh itu masih juga tidak mahu insaf, maka tempoh itu boleh dilanjutkan (oleh Qadhi). Sebab, maksud dari anjuran bertaubat adalah menyedarkan dia tentang Islam, dan supaya dia kembali kepada Islam sehingga dia mesti diberikan masa yang mencukupi untuk bertaubat.
Diriwayatkan bahawa Abu Musa memberi kesempatan bertaubat kepada seorang yang murtad. Kemudian Mu’az memerintahkan untuk membunuhnya, lalu Abu Musa membunuh orang murtad tersebut, setelah memberi kesempatan taubat kepadanya selama dua bulan sebelum kedatangan Mu’az (sebagai Qadhi). Walau bagaimanapun, taubat hanya diterima jika dia tidak mengulangi kemurtadannya. Jika ternyata dia mengulanginya, maka taubatnya tidak diterima dan dia mesti dibunuh segera tanpa diberi tempoh lagi (tidak dikira lagi sama ada dia bertaubat atau tidak) [Abdurrahman Al-Maliki, Nidzamul Uqubat].
Diriwayatkan oleh Asyram dari Thibyana bin Umarah,
“Bahawa seorang lelaki dari Bani Saad melintas ke Masjid Bani Hanifah, sedangkan mereka ketika itu membaca sajak Musailamah al Kadzab. Kemudian lelaki itu pergi kepada Ibn Mas’ud dan menceritakan kejadian itu. Kemudian mereka (yang membaca sajak tadi) didatangi dan mereka disuruh bertaubat. Semuanya telah meninggalkan jalan keyakinan mereka kecuali seorang lelaki, di mana Ibn Nuwahah berkata kepadanya, “Sungguh aku melihat engkau satu kali, dan aku menduga engkau telah bertaubat, dan aku melihatmu mengulangi lagi perbuatanmu itu. Maka lelaki tersebut dibunuh.”
Seperkara yang perlu diperhatikan ialah dari segi perlaksanaan hukuman di mana mereka yang dibenarkan untuk membunuh orang murtad adalah negara (pemerintah) atau orang yang ditugaskan oleh negara (Qadhi). Mana-mana individu atau jemaah tidak boleh melakukannya. Tugas individu atau jemaah hanyalah sebatas menasihati si murtad agar kembali kepada Islam, seterusnya memberi peringatan, ancaman dan memuhasabah pemerintah yang tidak menerapkan hukum Islam.
Khatimah
Inilah yang wajib dilakukan oleh pemerintah pada hari ini yakni menghukum bunuh si pelaku homoseksual dan juga murtad. Malangnya hal ini tidak dilakukan, malah di Malaysia pada hari ini tidak ada undang-undang pun untuk menghukum gay atau si murtad secara khusus. Kerana itulah, golongan ini begitu berani menonjol, malah dengan beraninya memperjuangkan hak mereka atas alasan kebebasan yang diberikan oleh demokrasi.
Bagi kes Hazim yang telah mendapat perlindungan di Kanada, kita perlu melihat apakah terdapat perjanjian ekstradisi di antara Malaysia dan Kanada. Jika ada, maka Kanada mesti mengembalikan Hazim ke Malaysia untuk dihukum. Jika tidak ada, boleh sahaja bagi Malaysia meminta Kanada menyerahkan Hazim atau pun Malaysia memulakan perjanjian ekstradisi bilateral jika disetujui oleh Kanada. Ini bagi memastikan tidak ada seorang pun warganegara yang bebas melakukan apa-apa kesalahan dengan cabut lari ke negara lain. Persoalan sama ada Kanada akan menyerahkan Hazim atau tidak adalah persoalan lain, kerana apa yang penting sekarang ialah persoalan menjalankan usaha/kewajipan untuk menghukum pelaku kesalahan.
Wallahu a’lam.