Peranan Muslimah dalam Mendirikan Kembali Daulah Khilafah : Bab 2 – Kewajipan Amar Makruf Nahi Mungkar

BAB 2 : AMAR MAKRUF, NAHI MUNGKAR – KEFARDHUAN KEPADA MUSLIMAH
Salah satu daripada kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada umat Islam ialah memastikan supaya Islam diterapkan secara kaffah (menyeluruh) dalam setiap aspek kehidupan mereka. Kewajipan ini tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa adanya kesedaran dalam masyarakat untuk melakukan amar makruf, nahi mungkar. Mengajak kepada kebaikan dan mencegah daripada melakukan kemungkaran merupakan salah satu kewajipan bagi setiap individu muslim, sama ada lelaki atau wanita.  Kewajipan ini telah disebutkan berulang kali dalam banyak nas-nas Al-Quran dan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Di antaranya ialah:
 

Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan wanita, sebahagian mereka menjadi penolong kepada sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari yang mungkar, melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa dan Maha Bijaksana [TMQ at-Taubah (9): 71]
 
Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat baik dan mencegah dari kemungkaran dan sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang beruntung”. [TMQ ali-Imran (3) : 104]
 
Kalian (umat Islam) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh berbuat yang makruf, dan mencegah dari kemungkaran, dan beriman kepada Allah [TMQ ali-Imran (3) : 110]
 
Mereka itu adalah orang-orang yang bertaubat, beribadah, memuji Allah, mengembara (demi ilmu dan agama), rukuk, sujud, menyuruh berbuat makruf dan mencegah dari yang mungkar dan yang memelihara hukum-hukum Allah. Dan gembirakanlah orang-orang yang beriman.” [TMQ at-Taubah (9) : 112]

Sekiranya diperhatikan dengan saksama, nas-nas berkaitan kewajipan melakukan amar makruf dan nahi mungkar adalah bersifat umum. Ini bermakna mengajak individu muslim untuk melakukan kebaikan adalah wajib, sepertimana mencegah mereka daripada melakukan kemungkaran. Kewajipan tersebut juga perlu dilakukan tanpa  mengira kedudukan individu, termasuklah dengan menyeru para pemimpin umat Islam untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu wa Taala dan memuhasabah mereka jika melakukan pelanggaran terhadap perintahNya. Malah,ini merupakan tingkat tertinggi dalam kewajipan amar makruf nahi mungkar kerana pemimpinlah yang berkuasa untuk menerapkan hukum-hukum di dalam negara berdasarkan ideologi yang diyakininya.

Kewajipan untuk mentaati pemimpin sering dijadikan alasan untuk memaksa umat Islam mendiamkan diri terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin mereka. Wahai umat Islam! Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan kalian untuk memuhasabah pemimpin dalam mengatur urusan umat agar bersesuaian dengan syariat Islam. Allah juga memerintahkan kalian untuk menentang segala bentuk penyelewengan dan pengkhianatan mereka terhadap umat, mengabaikan kepentingan umat, menolak hukum-hukum Allah Subhanahu wa Ta’ala atau menerapkan hukum-hukum selain yang disyariatkan di dalam Islam! Ketahuilah, ketaatan kepada pemimpin hanya berlaku dalam perkara-perkara yang makruf, iaitu di dalam melaksanakan hukum-hukum Islam. Haram hukumnya mentaati pemimpin di dalam perkara-perkara mungkar, iaitu perkara-perkara yang haram di sisi syariat Islam. Di sinilah, umat Islam wajib untuk  mengkaji dan mendalami tsaqafah Islam agar mempunyai ilmu untuk membezakan yang haq (makruf) dan yang bathil (mungkar), seterusnya mampu menjalankan tanggunjawab untuk memuhasabah pemimpin.

Allah telah mengancam dengan keras melalui sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam, bahawa barangsiapa yang diam atas kemungkaran yang dilakukan oleh seseorang daripada mereka, walaupun di dalam hatinya membenci kemungkaran tersebut; sebagai golongan yang memiliki selemah-lemah iman! Dan barangsiapa yang menyuarakan kebencian mereka dan bertindak ke atas perlakuan mungkar yang dilakukan di hadapannya, maka merekalah golongan yang memiliki iman yang paling teguh!. Ini berdasarkan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:
 
Akan ada para pemimpin (umara) yang kalian kenali (kemudian kalian taati) dan (ada pula yang kemudian) kalian ingkari. Barangsiapa yang mengetahuinya, maka ia terlepas, dan barangsiapa yang mengingkarinya maka ia selamat. Kecuali orang yang meridhai dan mengikutinya (mereka tidak selamat).[HR. Muslim dan Tirmidzi]

GANJARAN YANG BESAR MELALUI AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR
Perintah untuk melaksanakan amar makruf nahi mungkar adalah sangat jelas. Allah Subhanahu wa Ta’ala mewajibkannya walaupun tindakan tersebut berisiko untuk menyebabkan kemudharatan, termasuklah sehingga menyebabkan kematian.  Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda,

Penghulu para syuhada’ ialah Hamzah bin Abu Mutalib dan pemuda yang menyatakan kebenaran (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) di hadapan pemimpin yang zalim, lantas ia dibunuh[HR Al-Hakim]

Allah juga telah mengancam umat Islam dengan seksaan yang keras sekiranya mereka bersikap berdiam diri terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh pemimpin, serta tidak bertindak untuk mengubah kemungkaran tersebut.  Huthaifa bin Al-Yaman meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam,
 
Demi Zat yang jiwaku di tanganNya, (sungguh kalian memiliki dua pilihan iaitu) benar-benar memerintah berbuat makruf dan melarang membuat mungkar, ataukah Allah akan mendatangkan seksa dari sisiNya yang akan menimpa kalian. Kemudian setelah itu kalian berdoa, maka doa itu tidak akan dimakbulkan[HR Tirmidzi]

Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga bersabda dalam hadis lain,
 
Sesungguhnya apabila manusia melihat kezaliman di lakukan tetapi tidak melakukan tindakan apapun untuk menghentikannya, maka Allah pasti akan membalasi mereka (semuanya) ”  [HR Tirmidzi]
 
 ”Tidak sekali-sekali, dengan nama Allah, Hendaklah kamu menyuruh kepada kema’rufan dan mencegah kemungkaran, memegang tangan orang yang zalim dan menyeru mereka untuk berbuat baik dan berpegang kepada kebenaran, jika tidak , Allah akan menjadikan hati-hati sebahagian daripada kamu cenderung kepada hati-hati mereka, dan Melaknat kamu sebagaimana Allah Melaknat mereka. “  [Riwayat Abu Daud dan Tirmizi – Hadith Hasan]
 
Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla tidak akan mengazab segolongan umat kerana perbuatan (dosa) segelintir orang dari kalangan mereka, sehinggalah apabila mereka melihat kemungkaran dilakukan secara terang-terangan di hadapan mereka, yang mereka mampu untuk mencegahnya, tetapi mereka tidak mencegahnya. Maka, jika itu terjadi, Allah pasti akan menurunkan balasan (azab) kepada segelintir pendosa itu dan keseluruhan umat tersebut ”  [HR Ahmad]

Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khattab Radiallahu Anhu, beliau pernah menyampaikan khutbah di masjid berkaitan dengan usul membataskan jumlah mahar yang boleh diterima oleh calon isteri. Sebelum sempat mengakhiri khutbahnya, seorang wanita muslimah berdiri untuk memperbetulkan pandangan Umar. Wanita itu bertanya, “ Bagaimana mungkin engkau membataskan apa yang telah dibenarkan oleh Allah Subhanah wa Ta’ala? (hak wanita dalam menentukan maharnya)”. Umar akur dengan kebenaran hujah wanita tersebut, mengakui bahawa dirinya telah tersilap, dan kemudian menarik semula hukum pembatasan mahar. Perhatikan, wanita muslimah tersebut tidak sedikit pun berasa takut untuk menegur Umar yang terkenal dengan sikap tegas dan keras, apatahlagi ketika itu Umar bergelar Khalifah. Apabila menyedari Umar telah melakukan kesilapan pelanggaran hukum Allah Subhanahu wa Ta’ala, beliau dengan segera memuhasabah semula khalifah. Inilah salah satu contoh tindakan amar makruf nahi mungkar yang perlu dicontohi oleh umat Islam hari ini.

Terdapat banyak lagi contoh teladan daripada para wanita terdahulu. Asma’  binti Abu Bakar, tidak pernah berhenti untuk mempertahankan Islam, dengan terus menyatakan yang haq, mencegah kebatilan sehinggalah beliau telah menjangkau usia tua. Beliaulah yang menempelak pemimpin Hajjaj Ibnu Yusuf yang telah menentang khalifah dan membunuh anaknya, Abdullah bin Zubair.

Walaubagaimanapun, terdapat pandangan yang menolak kewajipan memuhasabah pemimpin dengan alasan tindakan tersebut akan menyebabkan perpecahan dalam umat. Segelintir pihak berpendapat adalah lebih baik untuk menguruskan hal peribadi masing-masing daripada disibukkan dengan mencari-cari kesalahan pemimpin untuk dijadikan modal kritikan dan mengapi-apikan rasa kebencian dalam umat. Mereka juga beranggapan adalah tidak wajar untuk membantah pandangan umum yang telah sedia diterima masyarakat walaupun hal-hal tersebut bertentangan dengan Islam.

Hal ini sangat bertentangan dengan perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala dan bercanggah dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam. Seorang individu Muslim yang berani menyuarakan kebenaran dalam usaha untuk memuhasabah pemimpin adalah setanding dengan ketua para syuhada’ di syurga! Bukankah kedudukan tersebut menunjukkan tindakan  ini sangat mulia di sisi syariat? Tambahan lagi, menghapuskan kemungkaran tidak mungkin dilakukan sekiranya umat berdiam diri melihat tindakan pemimpin yang tidak sesuai dengan syariat. Begitu juga, penyatuan umat Islam wajib di atas dasar akidah Islam dan kepatuhan kepada hukum-hukum syariat Islam. Selain dari itu, ia hanya layak disebut berganding bahu dan tolong menolong ke arah kemungkaran! Naudzubillahimindzalik!

Kesimpulannya, muslimah hari ini wajib untuk bersama-sama terlibat dalam tugas amar makruf, nahi mungkar semata-mata untuk memastikan hanya syariat Islam sahaja yang ditegakkan di tengah-tengah umat. Tugas ini termasuklah menasihati pemimpin dan memuhasabah tindakan-tindakan mereka yang tidak selari dengan Islam. Inilah yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala, diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam dan dicontohkan oleh para sahabat sehingga ada dikalangan mereka yang menerima seksaan dari kaum kuffar. Para Khulafa’ Ar-Rasyidin juga telah menunjukkan teladan yang baik sebagai pemimpin umat dalam menerima muhasabah dari kaum muslimin. Inilah ciri pemimpin terbaik sepanjang zaman yang sentiasa memperjuangkan kebenaran dan menerapkan sistem Islam secara syumul sehingga lahirlah penyatuan umat hanya berasaskan akidah dan syariat Islam.
Ketika Saidina Abu Bakar Radhiallahu Anhu dilantik sebagai khalifah, beliau berdiri di atas mimbar, memuji Allah Subhanahu wa Ta’ala dan berkata, 

Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah dirimu, (kerana) orang yang sesat itu tidak akan membahayakannya apabila kamu telah mendapat petunjuk  [TMQ al-Maidah (5): 105].

Wahai kaum muslimin, sesungguhnya kalian telah salah mentafsirkan ayat ini. Aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Barangsiapa yang melihat kemungkaran tetapi tidak mencegahnya dan tidak mengubahnya, maka sesungguhnya Allah Subhanah wa Ta’ala akan mendatangkan balasan azab dariNya dengan cepat” .

.…….akan bersambung Bab 3…….