Peranan ulama’ dan mufti

Trump cuba guna cara halus

KUALA LUMPUR 28 Dis. – Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang membuat tawaran menjadikan kawasan pinggir bandar, Abu Dis di Baitulmuqaddis sebagai ibu negara alternatif Palestin merupakan sebahagian agenda jahatnya untuk menghalau penduduk negara itu secara halus.

Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria berkata, tindakan Trump itu disifatkan sebagai terdesak apabila hasratnya sebelum ini mengiktiraf wilayah suci umat Islam itu sebagai ibu negara Israel ditolak oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat dunia umumnya.

Katanya, seandainya Palestin menerima tawaran berkenaan, umat Islam di seluruh dunia mungkin tidak lagi akan mempunyai hak ke atas Masjid Al-Aqsa dan kota suci ketiga itu.

Berita penuh: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/trump-cuba-guna-cara-halus-1.581198


Ulasan:

Dakwah dan perjuangan menegakkan kembali Islam memang tidak lepas daripada peranan penting para ulama’ dalam memimpin umat yang sedang terperosok dengan bermacam-macam masalah dan kemunduran. Sejak dari dahulu lagi, sejarah telah membuktikan bahawa para ulama sentiasa berada di barisan hadapan untuk memimpin umat dan mempelopori perjuangan mengembalikan  syariah.

Amat baik apabila ulama khususnya para mufti mula bertindak menyedarkan umat tentang pentingnya penyatuan umat Islam, peranan kuffar Barat yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) yang sentiasa memusuhi Islam dan perihal-perihal lain yang bersangkutan dengan Islam. Isu Palestin dan Baitul Maqdis ini menjadi bukti pentingnya peranan para ulama dan mufti.

Akan tetapi, tidak ramai para ulama yang mengajak umat untuk meninggalkan sistem kehidupan yang berasaskan sekular kapitalisme ini yang sebenarnya telah begitu banyak melahirkan pelbagai masalah. Dan tidak ramai yang menyeru umat Islam untuk memuhasabah pemerintah dan pemimpin umat Islam untuk mencampakkan sistem kufur ini dan menerapkan sistem Islam secara kaffah (menyeluruh).

Sedangkan pada era sistem pemerintahan Islam sedang menguasai dunia suatu ketika dahulu, terdapat para ulama yang sanggup dihukum oleh penguasa kerana semata-mata mengenggam kebenaran dan berkorban apa sahaja baik keringat, harta bahkan nyawa mereka sendiri semata-mata kerana cintakan Allah SWT dan Rasul-Nya.

Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ ، إِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلا دِرْهَمًا ، إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ ، فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

“Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barangsiapa mengambil warisan tersebut ia telah mengambil bagian yang banyak.” [HR Abu Dawud: 3641, 3642, at-Tirmidzi: 2683, Ibnu Majah: 223, Ahmad: V/ 196 dan Ibnu Hibban. Berkata asy-Syaikh al-Albaniy shahih]

Sesungguhnya umat Islam masa kini begitu memerlukan para ulama dan mufti yang ikhlas dan bersungguh-sungguh memimpin masyarakat melakukan amar makruf nahi mungkar, berjuang mengembalikan syariah dan khilafah termasuk menyeru pemerintah untuk menerapkan Islam secara kaffah.

Wallahua’lam.

Zulfadli