Perhatian Sultan Muhammad al-Fatih terhadap Kesihatan
Kesihatan termasuk hak asas warganegara, sama halnya dengan keperluan asas lainnya seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, yang menjadi hak setiap warganegara. Atas dasar itulah para khalifah di masa Uthmaniyah, khususnya Sultan Muhammad al-Fatih sangat memperhatikan aspek kesihatan ini. Salah satu bukti perhatian beliau di bidang ini ialah dikeluarkannya sejumlah dasar berkaitan hospital. Al-Fatih mewakafkan sebahagian besar hartanya untuk membangun kemudahan-kemudahan awam seperti sekolah dan hospital. Ada beberapa hospital yang terkenal saat itu, antaranya ialah Dar asy-Syifa’, Dar al-‘Afiyah dan Dar ash-Shihah.
Dalam rangka memberikan perkhidmatan perdana kepada warga Khilafah, Muhammad al-Fatih menetapkan beberapa dasar berkenaan hospital. Hospital tidak boleh memungut bayaran sedikit pun daripada pesakit, dengan perkataan lain hendaklah percuma. Hal ini berlaku bagi sesiapa sahaja tanpa melihat latar belakang bangsa, etnik, status sosial dan agama.
Dalam proses pengkaderan pekerja hospital, khususnya bahagian tukang masak, disyaratkan memahami segala bentuk makanan yang sesuai dengan si pesakit daripada sisi kandungan protein, vitamin dan gizinya. Para doktor wajib melawat pesakit dua kali dalam sehari dan melarang doktor untuk memberikan ubat tertentu kepada pesakit kecuali setelah melakukan diagnosis yang terperinci.
Di setiap hospital ada dua orang doktor umum dan ditambah dengan doktor-doktor pakar di bidangnya seperti pakar perubatan organ, pakar pembedahan, ahli farmasi, sejumlah perawat dan termasuklah petugas keamanan. Sultan mensyaratkan pada semua yang bertugas di hospital untuk memiliki sifat qana’ah, rasa kasih dan kemanusiaan [Muhammad ash-Shalabi, Ad-Daulah al-Uthmaniyah, awamil an-Nuhudh wa asbaab as- Sukuuth].
Muhammad al-Fatih berkeinginan kuat untuk membina hospital dan klinik perubatan, begitu juga akademi kesihatan, bukan sahaja di banda-bandar besar tetapi di setiap kota hingga desa-desa terpencil. Kesedaran beliau akan pentingnya kesihatan ini memberikan sumbangan besar terhadap kemajuan pembangunan di masa pemerintahannya, selain terbukti beliau memiliki kekuatan militer dengan kelengkapan yang canggih serta pasukan yang cukup hebat hingga dapat menaklukkan Konstantinopel.
Selain membangun hospital dan pelbagai jenis akademi, al-Fatih juga membangun kompleks membeli belah, tandas-tandas awam, pasar-pasar besar dan taman-taman terbuka. Hal itu juga dimaksudkan untuk menjaga persekitaran agar tetap bersih dan kondusif dari segi kesihatan. Beliau mengalirkan air ke dalam kawasan banda melalui jambatan-jambatan khusus.
Beliau juga mendorong para menteri, pegawai, orang-orang kaya dan orang-orang terhormat untuk membangun perumahan-perumahan untuk warganegara dengan tetap mempertahankan kemegahan, kenyamanan dan keamanan bandar daripada kerosakan persekitaran.
Demikianlah Sultan Muhammad al-Fatih (831-887 H / 1481-1481 M), Khalifah Uthmaniyah ke-7, membuat dasar-dasar bagi kesihatan bagi negara, bukan dasar-dasar tambal sulam atau terpilih mengikut kepentingan, tetapi dasar yang adil dan terintegrasi, yang dilandasi keimanan akan besarnya tanggung jawab kepemimpinan di hadapan Allah (sw). Semuanya dilakukan berdasarkan keluasan ilmunya, kepatuhannya kepada syariah serta keteguhan, keberanian, kecerdasan, dan dengan kemahuan yang kuat dan gigih, tidak tertipu dengan besarnya kekuasaan dan jumlah tenteranya, serta hati yang ikhlas sebagai pelayan rakyatnya. [] Roni Abu Azka
[Disunting dari: http://hizb-indonesia.info/2013/02/02/perhatian-sultan-muhammad-al-fatih-terhadap-kesehatan/]