Ketaksamaan akses kepada kesihatan menuntut penyelesaian sistemik

Pandemik COVID-19 benar-benar memberikan kesan yang besar terhadap segenap aspek kehidupan. Perkhidmatan kesihatan pastinya merupakan antara sektor yang menerima kesan langsung daripada penularan wabak ini. Situasi getir ini bukan sekadar melanda Malaysia, bahkan turut menggugat negara-negara kuasa besar termasuk Amerika Syarikat.

Dari satu sudut, negara ini menyaksikan keberhasilan langkah-langkah pengawalan dan pencegahan yang diambil dalam aspek kesihatan awam. Walau bagaimanapun, sudah semestinya masih banyak ruang yang boleh ditambahbaik, terutamanya dari sudut komunikasi dan kerjasama daripada semua pihak termasuklah dalam kalangan rakyat di negara ini. Kesemua ini memainkan peranan penting dalam memastikan kejayaan dalam membendung wabak ini.

Namun dari sudut yang berbeza, pandemik COVID-19 dan langkah pengawalannya juga menyebabkan banyak sumber kesihatan dikerahkan bagi membendung wabak ini. Keadaan ini juga memberikan kesan terhadap penyampaian rawatan kesihatan terhadap penyakit-penyakit lain, apabila temujanji dan prosedur tidak kritikal di sebahagian hospital awam telah dijadualkan semula bagi memberi keutamaan terhadap usaha membendung COVID-19.

Dalam pada itu, kesan tidak langsung COVID-19 terhadap ekonomi juga menyebabkan semakin ramai pesakit tertumpu kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan awam. Kos rawatan yang nominal di fasiliti kesihatan awam menjadikannya sebagai tumpuan oleh pesakit biarpun sektor ini seringkali sesak sehingga menatijahkan waktu menunggu yang lama. Sedangkan dalam masa yang sama, fasiliti swasta mengalami penurunan bilangan pesakit kerana rata-rata pesakit tidak lagi berkemampuan untuk mendapatkan rawatan di fasiliti tersebut.

Jumlah pesakit di hospital dan klinik swasta di negara ini dilaporkan merosot hampir 70%, menurut sebuah kenyataan daripada Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh yang dipetik media baru-baru ini [Free Malaysia Today, 22/11/2020].

Keadaan sebegini berkemungkinan mewujudkan polarisasi dalam sektor kesihatan, yang menyaksikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana memenuhi fasiliti kesihatan awam sementara golongan berpendapatan tinggi cenderung mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan swasta.

Dengan kata lain, polarisasi ini wujud kerana perkhidmatan kesihatan yang diberikan berdasarkan kemampuan untuk seseorang itu membiayainya. Jika anda miskin, maka anda perlu datang seawal mungkin bagi mendapatkan nombor giliran sebelum menunggu dalam tempoh yang lama bagi mendapatkan rawatan.

Polarisasi ini juga menyebabkan ketaksamaan akses terhadap perkhidmatan pakar dalam bidang-bidang tertentu. Saban tahun, begitu ramai pakar yang beralih ke sektor swasta kerana tawaran pendapatan yang lebih tinggi. Manakala pakar yang berada di sektor awam pula bukan sekadar menanggung beban tugas yang besar, tetapi dalam masa yang sama terlibat dalam melatih pakar-pakar baharu.

Keadaan bertambah buruk apabila jumlah penduduk di negara ini yang mengeluarkan belanja sendiri (out-of-pocket payment) bagi membiayai kos rawatan perubatan mereka semakin meningkat. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Malaysia National Health Account yang diterbitkan pada 2015, pembiayaan sebegini merupakan yang kedua tertinggi dalam perbelanjaan kesihatan keseluruhan di negara ini. Secara tidak langsung ini menunjukkan bahawa penyaluran perkhidmatan kesihatan di negara ini tidak menyeluruh dan tidak efektif.

Dengan berlatarbelakangkan ketidaktentuan ekonomi dan kemerosotan pendapatan susulan COVID-19, tidak mustahil lebih ramai yang akan menjadi miskin akibat terpaksa mengeluarkan belanja besar bagi mendapatkan rawatan (catastrophic health expenditure).

Senario yang hampir sama pernah terjadi ketika krisis ekonomi Asia melanda pada tahun 1997/1998 dahulu. Namun, tiada usaha yang menyeluruh diambil bagi menangani isu ketaksamaan akses antara sektor kesihatan awam dan swasta. Sebaliknya, masalah lebihan tawaran perkhidmatan dalam sektor kesihatan swasta cuba ditangani dengan mempromosikan pelancongan kesihatan bagi menarik kehadiran pesakit luar. Jelas bahawa solusi yang diambil pada waktu itu lebih mengutamakan pertimbangan ekonomi dan bertujuan untuk menyelamatkan sektor swasta berbanding menjaga kebajikan rakyat.

Namun, penularan COVID-19 kali ini pastinya menggugat sektor pelancongan kesihatan susulan kawalan pergerakan merentas sempadan dan ketidaktentuan ekonomi global. Justeru, mekanisme yang lebih menyeluruh dan bersifat sistemik perlu dilaksanakan bagi menangani isu ini.

Kebelakangan ini para pemegang taruh dalam bidang kesihatan rata-rata membincangkan inisiatif kerjasama awam-swasta (public-private partnership). Kerjasama ini antara lain melibatkan langkah kerajaan menggunakan perkhidmatan daripada pihak swasta bagi mengurangkan beban di sektor kesihatan awam. Namun, tanpa mekanisme pembiayaan yang berkesan kerjasama sebegini sukar untuk dilaksanakan secara adil dan telus.

Dalam Islam, kesihatan merupakan salah satu jaminan kepada semua yang wajib diatur dan dipenuhi oleh negara, secara percuma. Dengan kata lain, kesihatan merupakan hak semua, dan bukannya keistimewaan mana-mana pihak. Apatah lagi hendak dijadikan sebagai ‘komoditi’ seperti yang disaksikan dalam sektor kesihatan di kebanyakan negara dunia yang cenderung kepada pendekatan ekonomi neo-liberal dalam sistem kapitalis ini.

Maka, menurut Islam, menjadi tanggungjawab negara untuk memastikan segala fasiliti dan sumber mencukupi bagi menyalurkan perkhidmatan kesihatan. Islam tidak meletakkan faktor untung rugi demi memastikan kesihatan manusia terjamin. Walau bagaimanapun, Islam tidak menghalang kewujudan sektor kesihatan swasta. Hanya sahaja, pertimbangan yang sepatutnya diberikan keutamaan ialah penyaluran rawatan kesihatan yang berkualiti dan berpatutan.

Justeru, bagi menangani isu ketaksamaan akses dan liputan perkhidmatan kesihatan, perubahan sistemik mesti dilakukan bagi menangani permasalahan dasar sektor kesihatan. Pandangan ekonomi neo-liberal dalam sistem ekonomi kapitalis yang diamalkan sejak beberapa dekad kebelakangan ini menyebabkan sektor kesihatan didorong oleh faktor manfaat, sehingga menyebabkan perkhidmatan kesihatan seolah-olah menjadi ‘komoditi’ yang diperdagangkan. Sudut pandang sebegini wajib diubah kerana ia jelas bertentangan dengan pandangan Islam terhadap jaminan kesihatan oleh negara.

Di samping itu, negara juga boleh mewujudkan dana khas bagi pesakit mendapatkan rawatan di fasiliti swasta sekiranya fasiliti awam sudah terlalu sesak. Sudah semestinya langkah ini mesti melalui kaedah atau mekanisme pembiayaan yang telus. Selain itu, negara juga boleh menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan oleh pihak swasta melalui pembelian strategik. Kesemua ini boleh dicapai dengan mewujudkan badan yang berperanan mengkoordinasi sumber-sumber kesihatan.

Ruang yang terhad menerusi penulisan artikel ini pastinya tidak akan mampu untuk mengemukakan penyelesaiannya secara terperinci. Namun, inilah gambaran secara ringkas mengenai punca dan hala tuju dalam menangani isu ini yang dikhuatiri semakin melebar susulan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi yang melanda negara.

Wallahu a’lam.