Perhimpunan Wanita dan Angan-Angan Dasar Wanita Negara 2009
KUALA LUMPUR 25 Ogos
Sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2009 berlangsung penuh meriah dengan kehadiran lebih 3,000 tetamu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.
Hadirin terdiri daripada para pemimpin dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat, agensi kerajaan, institut pengajian tinggi (IPT), persatuan belia dan golongan kurang upaya serta warga emas pelbagai kumpulan etnik.
Acara tahunan yang disambut sejak 25 Ogos 1962 itu bertujuan menghargai dan mengiktiraf kedudukan wanita yang banyak menyumbang kepada pembangunan negara.
Diberi tema Wanita 1st, sambutan Hari Wanita tahun ini mencatatkan sejarah tersendiri apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Dasar Wanita Negara -2009 kesinambungan daripada dasar sama yang pertama kali digubal pada 20 tahun lalu.
Ia dasar yang mendukung prinsip tiada diskriminasi berasaskan gender seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan banyak lagi.
Dasar Wanita Negara 2009 diberi nafas baru yang mencerminkan usaha kerajaan untuk mengarus perdanakan wanita daripada aspek pembangunan bangsa dan negara.
Di samping itu, ia dianggap rangka tindakan yang progresif dan dinamik, sebagai panduan kepada wanita Malaysia mencorakkan landskap pembangunan ekonomi, sosial dan politik negara.
Langkah penggubalannya juga dianggap sejajar perubahan persekitaran dan keperluan masa depan terutama dalam menghadapi dunia globalisasi dan iklim ekonomi yang semakin kompetitif.
Beberapa pembaharuan yang diketengahkan menerusi Dasar Wanita Negara 2009 ialah pembudayaan kesaksamaan gender meliputi badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.
Selain langkah drastik untuk meningkatkan bilangan kaum hawa di peringkat pembuat keputusan dan menggalakkan sinergi pelbagai sektor bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi wanita.
Perdana Menteri dalam ucapannya berkata, kerajaan komited terhadap penyediaan persekitaran kondusif bagi menyerlahkan lagi potensi seramai 13.9 juta wanita di Malaysia.
“Saya bersetuju dengan kenyataan Datuk Seri Shahrizat (Abdul Jalil) bahawa pelaburan ke atas wanita adalah pelaburan paling bijak.
“Namun, pulangannya perlu ada jaminan agar dapat menyumbang kembali kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur malam tadi.
Hadir sama, isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Faizah Mohd. Tahir.
Perdana Menteri kemudiannya turut berbuka puasa bersama para tetamu sebelum bersolat jemaah Maghrib, Isyak dan sunat Tarawih.
Sumber : Utusan Malaysia
Saat dan ketika ini demokrasi dianggap sebagai sebuah Sistem Politik terbaik dunia Ternyata salah satu harapan ‘pejuang’ wanita ini mahupun masyarakat terhadap Negara demokrasi adalah kemampuan mencipta kesejahteraan dan keamanan untuk semua orang terutamanya kaum wanita dan anak-anak. Hakikatnya, sejak berdirinya Negara ini hingga ke hari ini, demokrasi yang di terapkan dan di perjuangkan gagal membawa kesejahteraan dan keamanan bagi kaum wanita.
Malahan dunia Barat Amerika dan Eropah, yang merupakan pelopor demokrasi ternyata tidak pernah sekali pun menepati apa yang sering mereka propagandakan tentang kehebatan demokrasi. Seringkali kita dihidangkan dengan fakta-fakta pembuktian kejahatan demokrasi yang tidak dapat di sangkal terhadap kaum wanita.
Sebuah kajian yang dijalankan selama lima tahun terhadap sembilan negara kesatuan Amerika mendapati bahawa 60% peguamcara wanita mengaku pernah mengalami gangguan seksual. Begitu juga data-data yang dikumpulkan oleh sebuah universiti penyelidikan perubatan Amerika (University of Medical Research) pada tahun 1998, menunjukkan bahawa 63% dari tentera wanita AS mengalami penderaan fizikal ataupun seksual selama mereka menjalani perkhidmatan ketenteraan mereka. Manakala kajian yang sama mendapati 43% dari perajurit wanita ini dilaporkan diperkosa di dalam perkhidmatan itu.
Di sudut lain, BBC melaporkan hampir 25% wanita di United Kingdom pernah mengalami penderaan atau keganasan rumah tangga di dalam kehidupan mereka. Setiap 60 saat, pasukan polis Britain mendapat panggilan untuk menangani masalah penderaan dalam rumah tangga dan menerima 1300 aduan kes yang sama. Setiap minggu 2 wanita maut disebabkan keganasan rumah tangga. Kes-kes rogol terjadi setiap minit di Amerika dan Britain manakala satu pertiga dari wanita pernah menjadi mangsa keganasan seksual pada umur 18 tahun. Begitu juga di AS dan UK, kes rogol dilaporkan meningkat 500% antara tahun 1996-1997.
Ini adalah fakta-fakta yang mengerikan! Apakah hal ini yang ingin ditiru dan dicapai oleh kaum wanita di Malaysia? Adalah amat jelas bahawa berbagai permasalahan wanita pada saat ini, mengukuhkan bukti kegagalan demokrasi dalam menjamin keadilan, keamanan dan kesejahteraan wanita. Masihkah kita berharap kepada demokrasi? Sistem yang telah berabad- abad dilaungkan memberi sejuta harapan kebaikan, namun sehingga ke saat ini kebaikan yang diidam-idamkan tidak pernah tercapai, bahkan bayangnya juga tidak kelihatan!
Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab memperlakukan wanita sebagai manusia yang rendah nilainya. Kaum wanita ketika itu dianggap sebagai harta benda yang boleh diwarisi. Bayi perempuan dianggap sebagai aib, sehinggakan orang-orang Arab Jahilliyyah menguburkan hidup-hidup bayi perempuan yang baru lahir.
Namun Rasullullah Sallallahu alaihi wa Sallam datang membawa risalah Islam yang di wahyukan oleh Allah Subhanahu wa Taala, untuk melenyapkan semua bentuk kezaliman tersebut dan mengembalikan hak-hak kaum wanita.
Tindakan yang memeras dan mengabaikan hak-hak wanita semuanya di hapus sebagaimana dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wa Taala:
“Hai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mempusakai wanita dengan jalan paksa dan janganlah kamu menyusahkan mereka Karena hendak mengambil kembali sebagian dari apa yang Telah kamu berikan kepadanya, terkecuali bila mereka melakukan pekerjaan keji yang nyata dan bergaullah dengan mereka secara patut. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) Karena mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak.” [TMQ An Nisa’ (4):19]
Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam juga bersabda:
“Barangsiapa yang memiliki anak perempuan, dan ia tidak menguburnya hidup-hidup, tidak menghinanya, dan tidak cenderung kepada anak laki-lakinya, maka Allah akan memasukkannya ke dalam syurga.”
Islam juga menetapkan bagaimana kewajipan seorang suami terhadap isterinya sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi wa Sallam:
“Wahai manusia, memang benar kalian memiliki hak atas isteri kalian, tapi mereka juga punya hak atas kalian. Ingatlah, bahwa kalian telah mengambil mereka sebagai isteri atas kepercayaan dan izin Allah. Jika mereka taat, maka mereka berhak diberi nafkah dan pakaian serta kebaikan. Berlaku baiklah kepada mereka, karena mereka adalah pasangan dan penolong kalian.”
Penghargaan tinggi atas tugas-tugas perempuan sebagai ibu dan pengatur rumah tangga juga diberikan Islam sebagaimana Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam bersabda:
“Pada masa kehamilan hingga bersalin, dan hingga berakhirnya masa menyusui, seorang perempuan mendapatkan pahala yang setara dengan pahalanya orang yang menjaga perbatasan Islam.” [HR. Thabrani]
Nabi Sallallahu Alaihi wa Sallam juga pernah bersabda:
“Ketika seorang perempuan menyusui anaknya, untuk setiap tegukan itu ia akan mendapatkan pahala seolah-olah ia baru dilahirkan sebagai seorang manusia, dan ketika ia menyapih anaknya, para malaikat menepuk punggungnya sambil berkata, ‘Selamat! Semua dosa-dosamu.””
Bukti demokrasi gagal memelihara wanita adalah fakta yang tidak dapat di sangkal lagi. Sudah semestinya keadaan yang menyedihkan dan mengerikan ini perlu diubah. Sistem demokrasi yang gagal ini perlu di ubah kepada sebuah sistem yang menurut sejarah telah terbukti mampu menyelesaikan permasalahan kehidupan dan memelihara kaum wanita iaitu Sistem Pemerintahan Islam yang sebenar. Apakah kita ingin hidup di bawah naungan Khilafah dengan segala kemuliaannya terhadap kaum wanita? Atau pun kita masih memilih untuk hidup di dalam lembayung demokrasi kapitalis dan membiarkan akal-akal pemikiran dangkal ‘pejuang-pejuang’ wanita ini mengheret kita ke lembah kehinaan dengan berbagai permasalahan yang tiada penghujungnya?
Wallahu ‘alam