Peringatan Hari Muallaf di Belanda : Islam Memperkayakan Hidupku
“Kami mempunyai ramai orang baru yang memeluk agama Islam.Tujuan persidangan ini adalah untuk cuba membantu mereka dalam menyelesaikan masalah, baik di dalam masyarakat Muslim mahu pun dalam masyarakat Belanda,” kata Dusiters yang telah memeluk Islam sejak sepuluh tahun yang lalu.
Dia menyatakan bahawa kadang-kadang para mualaf itu menghadapi pelbagai masalah kerana keluarga mereka takut tentang perkara tersebut (memeluk Islam) dan juga masyarakat Muslim yang ada tidak tahu bagaimana cara untuk menangani orang-orang yang baru menjadi mualaf. “Dalam masyarakat Belanda, terdapat ramai orang yang skeptik (ragu-ragu) terhadap Islam dan kadang-kadang kita mempunyai beberapa kes di mana mualaf menghadapi masalah besar dengan keluarga mereka. Kami ingin membantu mereka dalam menjalani kehidupan ini tanpa masalah,” kata Duisters.
Perhimpunan besar ini menghimpunkan antara para mualaf Belanda dengan umat Islam dari Turki, dari dunia Arab dan dari Suriname sambil mendengar ceramah yang disampaikan oleh penceramah-penceramah antarabangsa yang terkenal seperti Hussein Yee dari Malaysia, Pierre Vogel dari Jerman, bersama-sama dengan penceramah-penceramah muda Belanda seperti Ali al Khattab, dan Elsa van de Loo yang merupakan wakil pemuda Belanda bagi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu. Selama persidangan itu berlangsung, tujuh orang Belanda termasuk tiga wanita telah memeluk Islam.
Duisters berkata: “Islam memperkayakan hidupku. Sekarang saya mempunyai kehidupan yang stabil. Saya tahu apa yang harus saya ajarkan kepada anak-anak saya supaya menjadi Muslim yang baik dan juga sebagai warganegara Belanda yang baik.”
Dia menyatakan bahawa jumlah umat Islam di Eropah juga semakin meningkat. Ramai orang telah memeluk Islam kerana banyak mendengar tentang Islam sehingga mereka ingin tahu tentang Islam dan mereka mula membaca Al-Quran dan Hadis.
Tetapi dia juga menyalahkan kaum Muslimin kerana tidak melakukan perkara yang sepatutnya dalam menjelaskan tentang Islam. “Kaum Muslimin di Belanda mempunyai banyak peluang untuk memberikan gambaran yang baik tetapi selalunya mereka gagal,” keluhnya.
Marck Reuvers, orang yang bertanggungjawab dalam sidang akhbar dan yang juga merupakan seorang wartawan mengatakan kepada Kuna bahawa “ini adalah hari yang sangat istimewa. Inilah hari yang disebut sebagai Hari Mualaf di Belanda.” “Tujuan daripada pertemuan ini adalah untuk menunjukkan bahawa orang Belanda yang menjadi mualaf adalah merupakan sebahagian daripada umat yang lebih besar,” kata Reuvers yang memeluk Islam pada tahun 2007. “Saya sedang mencari sesuatu yang dapat membuatkan hidup saya lebih bermakna. Setelah menjadi seorang Muslim, saya mempunyai tujuan dalam hidup. Saya merasa sangat bahagia dan tenang,” katanya.
Abdel Krim memeluk Islam pada tahun 2008. Dia sedang mempersiapkan dirinya untuk menjadi pekerja sosial. Saya memerlukan Tuhan dalam hidup saya. Saya suka kepada cerita tentang Nabi Ibrahim, Musa, Isa, tetapi saya tidak menyukai gambar-gambar dalam gereja dengan Tuhan yang berkulit putih,” katanya.
“Saya terlalu mencintai Isa dan saya terlalu mencintai Musa dan saya menemui mereka dalam Islam. Peraturannya jauh lebih murni. Tidak ada perkauman dalam Islam,” kata pemuda Muslim Belanda yang berjanggut itu kepada Kuna.
Dia mengatakan bahawa seseorang Muslim harus melakukan banyak penjelasan kepada masyarakat Belanda setelah ia memeluk Islam. “Anda berhenti minum arak, anda berhenti merokok, anda berhenti mengumpat orang. Jadi orang-orang yang berada di sekitar tertanya-tanya mengapa anda tidak minum arak, mengapa anda memiliki janggut?”, katanya.
Van der Putten Malleen juga seorang wartawan yang bekerja di sebuah siaran radio Islam Belanda mengaitkan sebuah cerita aneh ketika dia menjadi mualaf. Dia memeluk Islam semenjak enam tahun lalu, katanya kepada Kuna. Van der Putten mengatakan “Suatu hari ia mengucapkan beberapa perkataan yang buruk terhadap seorang Muslim. Kemudian dia berkata pada dirinya sendiri mengapa aku berkata hal-hal yang buruk itu tentang Islam sedangkan aku tidak tahu apa-apa tentang Islam.” Dia pergi ke sebuah kedai buku dan membeli beberapa buah buku tentang Islam dan membacanya dan akhirnya dia menjadi seorang Muslimah. Dia mengatakan bahawa umat Islam seharusnya menyampaikan kepada orang ramai dan juga kepada jiran tetangganya dalam menjelaskan tentang Islam dan harus ada lebih banyak interaksi.
Elsa van de Loo, wakil pemuda Belanda dalam Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengatakan kepada Kuna bahawa dia memeluk Islam semenjak satu tahun setengah yang lalu. Ayahnya berasal dari Belanda dan ibunya dari Republik Dominika. “Saya dibesarkan sebagai seorang Katolik tetapi saya tidak mempraktikkan agama saya,” katanya. Pemudi mualaf Belanda itu mengatakan bahawa dia mula untuk membaca Al-Quran dalam bahasa Belanda.
“Pada awalnya sukar bagi saya untuk memahaminya dan saya tidak kenal ramai orang Islam yang akan menjelaskan Islam kepada saya. Kemudian pada suatu hari saya bertemu dengan seorang gadis Muslim dari Moroko yang mula menjelaskan tentang Al-Quran dan Islam,” katanya.
“Ada banyak perkara yang saya sedang mencari-cari jawapannya dan saya menemui jawapan itu di dalam Islam. Saya merasa sangat baik. Islam memberi saya kedamaian. Di masa lalu, saya merasa gelisah. Saya tidak tahu apa yang saya lakukan dalam kehidupan ke mana sahaja saya pergi. Sekarang saya mempunyai jawapannya”, katanya kepada Kuna.
Sumber: syabab.com