Peringatan Kepada Mereka Yang Berhukum Selain al-Quran

1) Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa’ ayat ke 60:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ أَنَّهُمْ آمَنُوا بِمَا أُنزِلَ إِلَيْكَ وَمَا أُنزِلَ مِن قَبْلِكَ يُرِيدُونَ أَن يَتَحَاكَمُوا إِلَى الطَّاغُوتِ وَقَدْ أُمِرُوا أَن يَكْفُرُوا بِهِ وَيُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُضِلَّهُمْ ضَلَالًا بَعِيدًا (60)

“Tidakkah engkau (wahai Muhammad) melihat (merasa hairan) terhadap orang-orang (munafik) yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan (al-Quran) kepada-mu dan apa yang diturunkan sebelum-mu? Mereka hendak bertahkim kepada taghut, walhal mereka diperintahkan agar mengingkari taghut itu. Dan syaitan pula sentiasa ingin menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh” [TMQ an-Nisa’ (4): 60].

2) Dr Syeikh Wahbab az-Zuhaili dalam kitab tafsirnya menjelaskan balaghah di awal ayat ini iaitu (أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ يَزْعُمُونَ), ialah istifham yang bermaksud ta’ajub (hairan/pelik)[Tafsir al-Munir]. Kehairanan ini dapat dilihat apabila ada manusia yang mengaku telah beriman dengan al-Quran, tetapi mereka tidak mahu mengambil hukum apa yang terkandung dalam al-Quran.

3) Maka dalam ayat ini, Allah SWT ingin menunjukkan kepada Rasulullah SAW, bagaimana keadaan orang-orang yang menzahirkan keimanan mereka kepada al-Quran, tetapi mereka lebih suka untuk berhukum dengan taghut.

4) Taghut, sepertimana yang disebut oleh Sheikh Abdurrahman Ibn Nasir as-Sa’di ialah:

وهو كل من حكم بغير شرع الله فهو طاغوت

“Sesiapa yang berhukum selain daripada syariat Allah maka itu taghut.”

5) Oleh itu, jelas bahawa setiap hukum yang diterapkan dan diamalkan tidak bersumberkan al-Quran itulah yang dimaksudkan dengan hukum taghut. Ini termasuk dalam setiap aspek baik pemerintahan, politik, pendidikan, sosial, ekonomi, dan lain-lain. Apabila seseorang tidak menjalankan hukum sepertimana yang Allah turunkan dalam aspek-aspek tersebut, bermaksud mereka telah bertahkim dengan hukum taghut. Allah SWT sendiri telah menyatakan golongan seperti ini telah tersesat dalam kesesatan yang sangat jauh.

6) Dalam menafsirkan ayat ini, Ibnu Katsir dalam tafsirnya menyebut:

هَذَا إِنْكَارٌ مِنَ اللَّهِ، عَزَّ وَجَلَّ، عَلَى مَنْ يَدَّعِي الْإِيمَانَ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ وَعَلَى الْأَنْبِيَاءِ الْأَقْدَمِينَ، وَهُوَ مَعَ ذَلِكَ يُرِيدُ التَّحَاكُمَ فِي فَصْلِ الْخُصُومَاتِ إِلَى غَيْرِ كِتَابِ اللَّهِ وَسُنَّةِ رَسُولِهِ…

“Ayat ini merupakan pengingkaran daripada Allah azza wa jalla terhadap orang yang mendakwa beriman dengan apa yang diturunkan-Nya kepada Rasul-Nya, dan terhadap para anbiya’ yang terdahulu, namun dalam memutuskan berbagai persengketaan, mereka berhukum bukan kepada Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya…”

… وَالْآيَةُ أَعَمُّ مِنْ ذَلِكَ كُلِّهِ، فَإِنَّهَا ذَامَّةٌ لِمَنْ عَدَلَ عَنِ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَتَحَاكَمُوا إِلَى مَا سِوَاهُمَا مِنَ الْبَاطِلِ، وَهُوَ الْمُرَادُ بِالطَّاغُوتِ هَاهُنَا

“…Ayat tersebut mencakupi lebih umum daripada hal itu semua. Sebab ia mengandungi celaan terhadap orang yang menyimpang daripada al-Kitab dan as-Sunnah. Sedangkan berhukum kepada selain keduanya merupakan kebatilan dan itulah yang dimaksud dengan taghut dalam ayat ini” [Tafsir Ibn Katsir].

7) Oleh itu, kepada seluruh kaum Muslimin, perhatikanlah keadaan kita pada hari ini. Dalam keadaan kita menyakini bahawa al-Quran sebagai panduan kehidupan, namun adakah hukum-hukum yang bersandarkan al-Quran semuanya telah kita amalkan? Mungkin dalam aspek peribadi kita berusaha dalam mengamalkannya. Tetapi lihatlah dalam aspek-aspek lain seperti dalam soal masyarakat dan bernegara. Adakah hari ini, setiap persengketaan yang berlaku kita merujuk kepada al-Quran sebagai penyelesai masalah? Atau kita lebih suka merujuk kepada undang-undang atau peraturan yang lahir daripada akal buatan manusia. Ingatlah setiap hukum yang tidak bersumber daripada al-Quran dan as-Sunnah, itulah hukum taghut.

8) Jawapannya memang tidak. Institusi negara yang hari ini tidak menerapkan Islam. Demokrasi yang dijaja sebagai sistem terbaik selama ini sebenarnya telah menjadikan manusia (wakil rakyat) mengambil peranan tuhan sebagai pembuat hukum. Maka inilah taghut terbesar ketika ini, iaitu penerapan sistem demokrasi.

9) Lalu di sinilah peranan kita bersama untuk mengubah keadaan ini. Kita tidak boleh membiarkan hukum taghut ini diterapkan di atas tanah kaum Muslimin ini. Memang para penguasa hari inilah yang menerapkan hukum taghut ini. Tetapi ancaman Allah SWT juga akan terkena kepada mereka yang berdiam diri terhadap mereka. Oleh sebab itu, sebagai umat Islam kita wajib memuhasabah pemerintah hari ini agar keluar daripada hukum taghut, seterusnya menerapkan Sistem Islam. Kita juga wajib bersama-sama menggembleng tenaga untuk menegakkan semula Khilafah. Dengan ini, in shaa Allah segala hukum taghut akan dimusnahkan, hukum Allah SWT akan berjaya ditegakkan semula.

10) Selagi mana keadaan yang tidak Islami ini dibiarkan, hukum taghut terus diterapkan maka selagi itulah kehidupan ini terasa sempit dan jauh daripada rahmat Allah SWT. Hal ini berlaku kerana kita telah berpaling daripada peringatan Allah SWT. Oleh itu, ambillah iktibar wahai seluruh kaum Muslimin!

وَمَنْ أَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِي فَإِنَّ لَهُ مَعِيشَةً ضَنْكًا وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَىٰ

“Barangsiapa yang berpaling dari peringatan-Ku maka dia akan mendapatkan penghidupan yang sempit dan Kami akan mengumpulkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”[TMQ Thaha (20): 124].