Perjanjian Saudi-Mesir: Pelaburan RM63 bilion dan dua buah pulau – harga yang menutup mata Raja Salman terhadap kezaliman Sisi
Kerajaan Mesir dan Arab Saudi bersepakat memeterai perjanjian untuk menubuhkan dana pelaburan berjumlah hampir RM63 bilion yang ditandatangani oleh Presiden Abdel Fattah al-Sisi dan Raja Salman di Istana Abdeen, Kaherah pada minggu lalu.
Perjanjian tersebut merupakan sebahagian daripada kesepakatan yang dicapai oleh kedua-dua kerajaan ekoran kunjungan rasmi selama empat hari Raja Salman ke Mesir. Di samping mewujudkan dana pelaburan, kedua-dua kerajaan turut bersepakat dalam menubuhkan zon ekonomi bebas di Sinai, serta membangunkan loji jana kuasa elektrik. Sebuah zon perindustrian berkeluasan 6 kilometer persegi juga akan didirikan di sekitar Terusan Suez.
Selain itu, kedua-dua kerajaan tersebut turut memeterai perjanjian diplomatik berkaitan persempadanan maritim yang menyaksikan dua buah pulau di Selat Tiran diserahkan kepada Saudi dan pembinaan jambatan menyeberangi Laut Merah.
Kunjungan Raja Salman ke Mesir merupakan sebahagian daripada langkah yang diambil bagi meraih sokongan yang lebih kukuh daripada rejim al-Sisi dalam menangani isu-isu keganasan serta menghadapi ancaman pengaruh Iran di rantau Timur Tengah. Saudi juga mengharapkan agar Mesir memberikan komitmen yang lebih utuh dalam membantu perikatan yang diketuai Saudi dalam konflik di Yaman.
Sesungguhnya kerjasama antara Mesir dan Saudi ini, walaupun jarang kedengaran, tetapi bukanlah suatu yang pelik. Kedua-dua negara merupakan pengikut setia kepada AS yang menjadi tuan mereka. Jadi, walaupun mereka menjalin hubungan ekonomi yang dilihat mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negara, tetapi cubaan mereka untuk memperkuatkan pengaruh dan kekuasaan antara satu sama lain sedikit pun tidak boleh lepas dari cengkaman Amerika Syarikat di rantau tersebut.
AS mendukung Sisi sepenuhnya sebagaimana AS mendukung Salman sepenuhnya kerana kedua-dua ketua negara ini memberi manfaat yang besar kepada AS. Selagi keduanya berguna untuk AS, maka selagi itulah AS cuba memperkukuhkan kedudukan dan kuasa keduanya dari sebarang ancaman.
Serangan ke atas Yaman yang diketuai oleh Saudi bersama 34 negara adalah atas arahan dan restu AS. Segala kekejaman yang dilakukan oleh al-Sisi ke atas rakyatnya di Mesir, juga disokong sepenuhnya oleh AS. Hakikat kekejaman al-Sisi ke atas umat Islam di Mesir diketahui sepenuhnya oleh Saudi. Sepatutnya Saudi menasihati atau mengancam Mesir di atas kekejaman ini, tetapi ia sebaliknya menjalin kerjasama dengan menabur habuan dan bersepakat dengan rejim al-Sisi bagi mendapat sokongan untuk memerangi umat Islam.
Selepas selesai memeterai perjanjian di Mesir, Raja Salman kemudiannya meneruskan lawatannya ke Turki bagi mengukuhkan komitmen dan sokongan daripada pentadbiran Erdogan. Sedangkan hakikatnya hubungan Turki dan Mesir dingin ekoran penggulingan Dr. Morsi dan perbezaan pendirian antara kedua-dua negara terhadap rejim Bashar di Syria.
Kita tidak nafikan kebaikan kerjasama antara negeri umat Islam, tetapi kerjasama tersebut sepatutnya dijalin sebagai umat yang satu dan sebagai negeri yang satu, bukannya sebagai umat yang berbeza dan negeri yang berbeza. Kerjasama itu juga sepatutnya ialah untuk manfaat umat Islam, bukan manfaat peribadi, apatah lagi manfaat untuk Amerika yang merupakan musuh Islam.
Inilah permainan para pembesar umat Islam dalam mengukuhkan kedudukan masing-masing dan bukannya untuk kepentingan umat. Lebih buruk, apabila apa sahaja yang mereka lakukan, kepentingan utama yang mereka jaga hakikatnya ialah Amerika Syarikat dan mereka sekali-kali tidak akan berani melakukan sesuatu yang tidak diingini oleh negara kafir itu.
Sesungguhnya, keadaan begini akan berterusan sehinggalah umat Islam menyedari hakikat keburukan dan ketundukan para penguasa mereka terhadap kehendak kuasa-kuasa kuffar, serta pengkhianatan mereka terhadap umat. Umat Islam perlu terus menggembleng usaha untuk meruntuhkan rejim yang menindas dan menggerakkan segenap upaya ke arah mengembalikan semula Khilafah atas jalan kenabian.