Perjudian Merosakkan Masyarakat

Keputusan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS mengharamkan perjudian di Kedah dan Langkawi telah mendapat kritikan daripada orang-orang bukan Islam dan golongan liberal. Rata-rata menyatakan bahawa langkah tersebut telah dianggap menyekat kebebasan orang-orang bukan Islam daripada hak untuk memenuhi kehendak mereka sesuai dengan apa yang termaktub di dalam perlembagaan sekular negara ini.

Di sini disertakan beberapa fakta-fakta penting tentang perjudian dan kesannya  ke atas masyarakat. Perjudian telah diharamkan oleh hampir kesemua agama di dunia termasuklah agama Buddha, Kristian, Yahudi (Judaism), Hindu dan Bahai. Jadi, adalah suatu pembohongan mengatakan bahawa perjudian adalah hak orang bukan Islam untuk dilaksanakan di dalam masyarakat majmuk ini [rujukan: Wikipedia Religion and Gambling].

Disebabkan aktiviti perjudian ini telah dibiarkan menjadi amalan yang meluas di Barat, sarjana- sarjana Barat telah banyak melakukan kajian tentang kesan perjudian kepada masyarakat. Sebuah laporan daripada Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders (DSM) yang dibuat oleh American Psychiatric Association pada 1994, mendedahkan bahawa orang-orang yang ketagih berjudi akan mengalami masalah mental, emosi dan masalah kewangan yang akhirnya boleh menyebabkan seseorang itu terjerumus ke dalam jenayah berat. Kajian penyelidikan yang dibuat oleh Abbott et al. (1995); Boreham et al. (1996), Lorenz et al. (1986) mendedahkan bahawa keluarga si penjudi akan mengalami masalah kewangan dan emosi.

Kajian yang dibuat oleh Moran (1969), Livingston (1974), Custer (1978), McCormick et al.  (1984), Lesieur et al. (1991) dan Thompson et al. (1996) mengatakan bahawa sebanyak 20% daripada orang yang ketagih judi mempunyai hasrat untuk membunuh diri. [https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK230628/ 14 Jan 2023]. Suatu laporan daripada The Wall Street Journal pada 2013 mendedahkan bahawa hanya 13.5% daripada orang yang berjudi yang memenangi pertaruhan mereka [https://www.wsj.com/articles/how-often-do-gamblers-really-win-1381514164].

Kajian tersebut juga mendedahkan bahawa dikalangan 10% penjudi yang membuat pertaruhan terbesar, 95% daripada mereka akan kalah dan kehilangan wang pertaruhan mereka. Jumlah bilangan  penjudi yang kalah wang pertaruhan mereka melebihi USD 5000 (RM 22,500) adalah melebihi jumlah para penjudi yang menang wang pertaruhan mereka di dalam nisbah 128:1.

Kajian turut mendedahkan bagaimana seorang ketagih judi dari Switzerland yang berjudi di dalam perjudian online Bwin, yang berjudi sebanyak 3 hari seminggu sebanyak 1000 kali setiap kali dan kehilangan USD 110,000 (RM 500,000) dalam masa dua tahun.

Suatu laporan daripada parti politik DAP yang mengkritik pengharaman perjudian di Kedah, sendiri telah melapuran pada Julai 2005, bahawa bekas Ketua Menteri Sabah, Osu Sukam, mengalami kerugian RM31.6 juta dan berhutang sebanyak RM7.1 juta kepada suatu kasino di London, United Kingdom selepas setahun bersara daripada jawatannya [https://dapmalaysia.org/all-archive/English/2005/july05/lks/lks3557.htm 14 Jan 2023].

Earl Grinois, seorang Profesor dalam Ekonomi dari Baylor University Texas US, di dalam laporannya yang bertajuk The Hidden Social Costs of Gambling pada 2011, bahawa industri perjudian selalunya akan mengumumkan jumlah cukai yang mereka membayar kepada kerajaan, sebagai suatu keuntungan untuk pembangunan masyarakat, tetapi kerugian yang dialami oleh setiap penjudi yang kehilangan wang mereka sehingga mengalami masalah mental, emosi, muflis dan bunuh diri selalunya tidak diumumkan bahkan disorokkan daripada orang awam, yang tidak mengetahui tentang kerosakan yang diakibatkan oleh perjudian. Beliau mengatakan bahawa kerugian yang ditanggung oleh negara yang terpaksa membuat rehabilitasi kepada penjudi adalah sebanyak USD 9393 (RM 42,200.00 setiap tahun) setiap orang.

Jelaslah di sini bahawa industri perjudian hanya membawa kerosakkan kepada segolongan besar penduduk di dalam masyarakat dan hanya menguntungkan hanya sebilangan kecil syarikat syarikat perjudian kapitalis di dalam masyarakat. Operasi pusat-pusat perjudian terbesar di dunia seperti Las Vegas dan Macau belum dan tidak akan mengalami kerugian kewangan, disebabkan oleh operasi perjudian mereka bukanlah tertakluk kepada nasib semata-mata sepertimana kebarangkalian melontar duit syiling untuk mendapat kepala atau ekor setiap kali lontaran. Tetapi operasi perjudian mereka adalah meletakkan setiap kaki judi akan kalah setiap kali membuat pertaruhan dan hanya segelintir akan menang pertaruhan mereka. Kaki judi yang menang akan diiklankan oleh syarikat operasi perjudian untuk menarik minat orang ramai untuk mencuba “nasib” mereka yang kebanyakkan daripada mereka akan mengalami kehilangan wang pertaruhan. Akibatnya jurang di antara yang paling kaya dengan yang miskin akan bertambah besar, sebagaimana terjadi di dalam suatu negara kapitalis, inilah sebabnya itu parti komunis China telah mengharamkan perjudian sejak merampas kuasa pada 1949.

Dalam Islam, perjudian adalah ditegah dan merupakan suatu dosa besar yang dibalas oleh azab siksa oleh Allah (SWT) sebagaimana di dalam ayat di bawah:

“Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya minuman keras, berjudi, (berkurban untuk) berhala, dan mengundi nasib dengan anak panah, adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah (perbuatan-perbuatan) itu agar kamu beruntung. Dengan minuman keras dan judi itu, setan hanyalah bermaksud menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu, dan menghalang-halangi kamu dari mengingat Allah dan melaksanakan salat maka tidakkah kamu, mau berhenti?” [TMQ (5): 90-91].

Manfaat yang diraih oleh kerajaan dan operasi perjudian adalah lebih kecil berbanding dengan kerosakan yang dialami oleh sebahagian besar penduduk masyarakat. Hukum hukum Islam adalah bertujuan untuk menjaga masyarakat, tentang harta, nyawa, mental seseorang di dalam masyarakat.

WaAllahu A’lam bisawwab.