Persekongkolan Pihak Berkuasa Palestin Berusaha Membatalkan Wasiat Rasulullah SAW dan Memberikan Tanah Milik Sahabat, Tamim al-Dari RA Kepada Rusia – Musuh Umat Islam

abbas-putinPada 17/01/2016, Majlis Menteri Pihak Berkuasa Palestin mengumumkan rancangan pengambilalihan sebahagian daripada tanah Sabta al-Maqam oleh Gereja Ortodoks Rusia (al-Maskubiyah) di kota Hebron (Al-Khalil).

Pengumuman ini muncul selepas percubaan terdesak Pihak Berkuasa Palestin untuk memberi hak milik tanah ini melalui institusi rasminya. Percubaan ini bermula dengan mengenakan tekanan kepada pemilik tanah selepas penolakan jawatan kuasa khas terhadap permohonan bagi pemilikan tanah kerana menyalahi undang-undang. Mahkamah dan para hakim telah dikenakan tekanan dan beberapa siri ugutan digunakan untuk memalingkan mereka yang ikhlas daripada berdiri menentangnya.

Walau bagaimanapun, disebabkan pendirian orang-orang yang mulia dari keturunan Tamim dan tokoh berpengaruh dari al-Khalil (Hebron) serta penduduknya, maka rancangan pindah milik tanah ini telah dihalang. Sekarang Pihak Berkuasa Palestin datang dengan helah terbukanya memintas rakyat dan badan kehakiman, mengumumkan hasratnya untuk mengambil alih pemilikan tanah ini untuk manfaat perbendaharaan awam yang kemudian akan memudahkannya (Pihak Berkuasa Palestin) untuk memberi hak milik tanah ini kepada Rusia.

Desakan Pihak Berkuasa Palestin untuk memberikan hak milik tanah ini kepada gereja Rusia merupakan respons ketundukan Mahmoud Abbas, Presiden Palestin di bawah telunjuk penjenayah Rusia dan ia merupakan satu tindakan pengkhianatan kepada Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Ini kerana tanah ini adalah tanah wakaf seorang sahabat Rasulullah SAW yang mulia iaitu Tamim al-Dari RA yang telah dikurniakan oleh Rasulullah SAW kepada beliau dan keturunannya dan baginda mencatatnya secara bertulis bagi mereka.

:«بسم الله الرحمن الرحيم هذا كتاب من محمد رسول الله، لتميم بن أوس الداري، أن له قرية حبرى وبيت عينون، قريتها كلها سهلها وجبلها وماءها وحرثها وأنباطها وبقرها، ولعقبه من بعده، لا يحاقه فيها أحد، ولا يلجه عليهم أحد بظلم فمن ظلمهم أو أخذ من أحد منهم شيئا، فعليه لعنة الله والملائكة والناس أجمعين» 

“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ini adalah surat daripada Rasulullah Muhammad SAW kepada Tamim Bin Aus al-Dari, yang kepadanya hak milik tanah Habra dan Bait ‘Ainoun, seluruh perkampungannya termasuk dataran, gunung, air, tanah pertanian, tumbuh-tumbuhan dan lembu (ternakan) dan kepada keturunannya yang datang setelahnya. Tiada siapa yang akan mencabar dia di dalamnya dan tidak ada yang akan datang kepada mereka secara zalim, maka sesiapa yang menindas mereka atau mengambil apa-apa dari sesiapa di antara mereka, maka dia akan mendapati laknat Allah ke atasnya dan laknat para malaikat dan seluruh manusia”

Maka ketika Umar bin Al-Khattab (ra) menjadi Khalifah dan Allah menjadikannya menguasai al-Sham, Tamim al-Dari datang kepadanya dengan surat Rasulullah SAW dan Umar RA berkata bahawa dia adalah saksi atas hal itu. Lalu Umar memberikan (tanah) itu kepadanya dan berkata kepadanya: “ليس لك أن تبيع” “Ia bukan untuk engkau menjualnya” yang bererti bahawa leher (geran) tanah itu adalah wakaf untuk keluarga Tamim dan tidak boleh dipindahkan kepada selain mereka.

Wahai umat Islam!

Rusia adalah musuh kepada Islam dan umat Islam, manakala jenayahnya di al-Sham, Chechnya, Afghanistan, Crimea dan di lain-lain tempat membuatkan badan menggigil akibat kedahsyatan dan sifat buruk mereka. Ia kini mahu mengambil tanah ini melalui kekerasan dengan alasan mempunyai autoriti, manakala Pihak Berkuasa Palestin yang berkomplot memberi ganjaran kepada Rusia yang sedang kehausan darah umat Islam dengan menyerahkan pemilikan tanah kepada mereka yang mana Rasulullah SAW telah meninggalkannya sebagai tanah wakaf.

Jauh sebelum itu, tetapi tidak jauh dari ingatan kita akan sejarah kelam missionaries berkenaan penjualan dan pengalihan banyak tanah kepada orang-orang Yahudi termasuk Dataran ‘Umar Ibn al-Khattab RA di al-Quds dan tanah Jabal Abu Ghunaim antara lain serta termasuk rumah yang diberkati di al-Aroob. Ia bukanlah suatu yang pelik dan boleh dijangka bahawa rancangan Rusia mengambil alih pemilikan tanah ini sebagai permulaan kepada pemilikan bagi orang-orang Yahudi untuk mereka menubuhkan sebuah penempatan baru di dalam bandar al-Khalil al-Rahman (Hebron) supaya rakyat al-Khalil boleh dibakar oleh mereka seperti mana mereka membakar ad-Dabuya dan Jalan Syahid.

Wahai penduduk di tanah yang diberkati!

Pihak Berkuasa Palestin dan pemimpinnya telah memberikan banyak (tanah) Palestin kepada pihak Yahudi dan telah tertanam dalam diri mereka untuk tunduk kepada Amerika dan negara-negara kufur di samping menjadi pengawal terhadap entiti Yahudi. Atas sebab itu, mereka tidak kisah untuk menyerahkan hak milik tanah ini kepada Rusia yang penuh dengki  dan benci dan jenayah Pihak Berkuasa Palestin serta pemimpinnya ke atas Palestin dan rakyatnya tidak pernah berhenti. Sebaliknya mereka berterusan menjadikan rakyat Palestin supaya menyerah kepada orang-orang Yahudi dan agenda Barat yang menyasarkan agama, tanah dan tempat suci kita. Selain itu, orang Yahudi menumpahkan darah anak-anak kita, memusnahkan rumah kita dan mencabuli al-Aqsa siang dan malam manakala para pemimpin Pihak Berkuasa Palestin berbangga dengan kerjasama keselamatan dengan musuh dan pada masa yang sama, menjerut rakyat dengan meningkatkan cukai mereka.

Wahai orang-orang Kristian di tanah yang diberkati!

Kami akan katakan kepada anda secara khusus di dalam risalah ini bahawa kami katakan kepada anda: kalian telah hidup di kalangan umat Islam selama berabad-abad dan umat Islam telah memelihara anda, harta anda, kemuliaan dan gereja anda. Anda telah hidup di kalangan umat Islam dengan kehidupan yang mulia dan terhormat dan sebahagian dari anda datang dari kawasan lain untuk hidup di tanah yang diberkati. Dan umat Islam menyambut anda dan menempatkan anda dalam kalangan mereka. Dan ketahuilah bahawa Khilafah (Negara Islam) yang berada di atas jalan kenabian, yang kami (Hizbut Tahrir) sedang berusaha untuk menegakkannya kembali ini akan melindungi hak dan menjamin kehidupan anda yang bermaruah di kalangan umat Islam.

Bagi pemerintah yang zalim dan para pemimpin di negara besar dunia, mereka tidak peduli tentang apa pun selain daripada kepentingan mereka sendiri, harta benda mereka dan pengaruh mereka. Ramai daripada anda menyedari hakikat ini dan kami ikhlas dalam nasihat kami kepada anda. Maka janganlah anda mengikuti para pemimpin ini kerana mereka akan merosakkan kehidupan anda dalam kalangan umat Islam. Kami adalah umat Islam, umat yang mulia; kami membawa kebaikan, cahaya dan keadilan kepada semua umat manusia. Kami tidak melanggar atau mengabaikan perjanjian dan kami tidak memudaratkan mereka yang berada di bawah tanggungjawab dan penjagaan kami. Ini merupakan satu peringatan kepada anda, maka ingatlah dan untuk mengesahkan perkara ini kami mengingatkan anda mengenai surat kami kepada mereka yang menguruskan Gereja Maskubiyah bertarikh 25/01/2014, yang menyatakan:

“Salam sejahtera kepada mereka yang mendapat petunjuk: 

Anda tahu bahawa negeri yang telah anda bangunkan gereja ini bukanlah milik anda dan anda telah memajaknya daripada umat Islam dengan akad pajakan. Atas sebab itu, usaha anda untuk memiliki tanah ini dan melibatkan kerajaan Rusia untuk tujuan ini merupakan satu usaha dan campur tangan yang tidak dapat diterima oleh umat Islam. 

Anda telah hidup dalam kalangan umat Islam selama beberapa dekad di mana kami telah memelihara perjanjian di antara kami dengan anda dan kami tidak mengabaikan aspek perlindungan dan penjagaan anda. Umat Islam telah berurusan dengan anda dengan baik seperti mana yang diarahkan oleh Rasulullah SAW yang memerintahkan kami untuk berbuat baik. 

Kami benar-benar menasihati anda untuk menghentikan campur tangan pengacau yang ingin merosakkan hidup anda dalam kalangan umat Islam dan hentikan usaha anda untuk memperoleh pemilikan tanah ini. 

Ada pihak yang mengumpan anda dengan mengatakan bahawa mereka mampu memberi anda pemilikan tanah ini, tetapi anda perlu tahu bahawa ini tidak akan diterima oleh umat Islam dan ketahuilah bahawa negara Khilafah yang telah memajakkan tanah ini kepada anda dan kebenarannya akan kembali tidak lama lagi. Maka peliharalah perjanjian anda dengan kami dan jangan memutuskannya. Jika anda enggan meneruskan perjanjian anda ini, maka ketahuilah bahawa anda-lah yang telah melanggar perjanjian dan bukannya kami.” Tamat.

Wahai penduduk di tanah yang diberkati secara umumnya dan orang-orang Khalil al-Rahman khususnya!

Sesungguhnya, melindungi tanah ini dan menghalang pihak berkuasa Palestin daripada melakukan jenayah ini adalah tanggungjawab kalian dan Allah akan menyoal kalian mengenainya. Kami tahu bahawa kalian mampu untuk memeliharanya kerana ia adalah wasiat daripada Rasulullah SAW khusus kepada kalian. Kami katakan kepada kalian dan orang-orang mulia dari al-Khalil (Hebron) dan Nazhaar yang diwakaf daripada Tamim, berhati-hatilah dengan perjanjian dan rundingan yang terkait dengan pemilikan Rusia walaupun hanya melibatkan sejengkal tanah wakaf. Sebarang konsesi bermakna pembatalan wakaf yang telah diberikan oleh Rasulullah SAW dan ia bermakna menyerahkannya kepada musuh kita.

Kalian telah mampu sepanjang enam tahun yang lalu atau lebih untuk menghalang Pihak Berkuasa Palestin daripada mengambil pemilikan tanah ini untuk selain daripada orang yang sah memilikinya dan hari ini anda mampu untuk menghentikannya dan berpegang teguh dalam masalah ini dan menghalangnya daripada diteruskan oleh penjenayah. Allah bersama kalian dan bersama orang-orang yang benar.

Kepada Perdana Menteri Pihak Berkuasa Palestin, jemaah menteri dan orang-orang di sampingnya, kami menyeru mereka untuk membatalkan keputusan ini dan menolak untuk melindungi penyerahan tanah kepada Rusia yang telah diwakafkan oleh Rasulullah SAW kepada sahabat baginda Tamim al-Dari RA. Itu adalah kerana mereka tidak mempunyai kekuatan atau kuasa di hadapan kemurkaan Allah dan cemuhan kaum Muslimin. Kami katakan kepada mereka apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

«..فمن ظلمهم أو أخذ من أحد منهم شيئا, فعليه لعنة الله والملائكة والناس أجمعين»

“Maka sesiapa yang menindas mereka atau mengambil apa-apa dari sesiapa di antara mereka, maka dia akan menerima laknat Allah dan laknat para malaikat dan seluruh manusia..”

Hizbut Tahrir Palestin

Sumber: pal-tahrir.info