Pertembungan AS-China di Laut China Selatan: Apakah Kedudukan Malaysia?
Buat pertama kalinya dalam sejarah Amerika Syarikat (AS), Presiden negara tersebut telah menjemput sepuluh orang pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) untuk menghadiri Persidangan Khas Pemimpin (Special Leaders’ Summit) US-ASEAN di Sunnylands, California pada 15 dan 16 Februari lalu bagi membincangkan isu-isu penting melibatkan hubungan antara negara-negara terbabit. Dalam ucaptama yang disampaikan semasa pembukaan persidangan tersebut, Obama menyatakan bahawa AS akan memainkan peranan yang lebih meluas dan mendasar di rantau Asia Pasifik, termasuklah di Asia Tenggara. Menurutnya lagi, hubungan AS dan negara-negara di Asia Tenggara sangat penting kerana rantau tersebut mewakili satu pertiga daripada ekonomi dunia serta merupakan rakan dagang AS yang keempat terbesar. Hubungan eksport AS ke Asia Tenggara juga berperanan menampung sejumlah lebih daripada 500,000 pekerjaan.
Persidangan di Sunnylands ini merupakan kesinambungan daripada persidangan ASEAN yang berlangsung pada November 2015 dan berkait rapat dengan penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) yang baru sahaja dilancarkan dua bulan lalu. Dalam pada itu, sebanyak empat buah negara ASEAN (Brunei, Malaysia, Singapura dan Vietnam) telah pun menyertai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), manakala tiga lagi negara ASEAN lain iaitu Indonesia, Filipina dan Thailand sedang dalam proses untuk menyertainya. Perlaksanaan TPPA ini juga merupakan salah satu agenda AS dalam memainkan peranan yang lebih penting di rantau ini, khususnya dalam bidang perekonomian.
Meskipun tidak dinyatakan secara terbuka, hakikatnya usaha-usaha sebegini sebenarnya merupakan sebahagian daripada strategi AS untuk mengekalkan hegemoninya di rantau ini sekali gus membendung perkembangan pengaruh sebuah lagi kuasa besar yang sedang membangun iaitu China. Hal ini jelas dapat dilihat daripada intipati Deklarasi Sunnylands yang antara lain memberikan penekanan terhadap kedaulatan wilayah negara-negara ASEAN serta isu kebebasan untuk belayar (freedom of navigation) berdasarkan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS) [lihat: Joint Statement of the U.S.-ASEAN Special Leaders’ Summit: Sunnylands Declaration; Feb. 15-16, 2016]. Kesemua langkah yang telah diambil ini bertepatan dengan strategi umum AS di rantau Asia, khususnya dalam mengekang kemaraan pengaruh China, melalui dasar “Pivot to Asia” yang direncanakan oleh pentadbiran Barack Obama.
Di sebalik keangkuhan AS dalam menyebarkan pengaruhnya di seluruh pelosok dunia, hakikatnya negara tersebut kini berada dalam keadaan yang secara relatifnya sangat lemah. Bahkan negara tersebut ternyata masih belum pulih sepenuhnya daripada kesan kegawatan ekonomi yang melanda pada tahun 2008. Malahan, kesan perang di Afghanistan dan Iraq yang berpanjangan serta isu Korea Utara yang masih tidak kunjung padam telah menambah buruk lagi keadaan. Keadaan ini telah membuka ruang kepada beberapa buah negara kuasa besar lain untuk mencabar hegemoni AS, seperti tindakan yang diambil oleh Rusia dan China di Ukraine, Syria dan rantau Asia Tenggara.
Meskipun AS masih merupakan kuasa adidaya (superpower) yang menerajui percaturan politik antarabangsa, namun negara tersebut sudah tidak mampu untuk terus berlagak sebagai polis dunia secara bersendirian dan terpaksa bergantung kepada negara-negara pengekornya untuk melakukan kerja-kerja kotornya. AS berusaha untuk meminimumkan keterlibatannya secara langsung dalam konflik di rantau luar, sebaliknya hanya memberikan sokongan dari segi kepakaran dan teknologi untuk ditangani oleh negara lain. Misalnya, AS telah menggunakan Arab Saudi untuk mengekang kemaraan pengaruh Iran di Yaman khasnya serta di Timur Tengah amnya, dengan memanipulasikan sentimen pertembungan mazhab. Dalam pada itu, kemerosotan pengaruh AS juga telah menyebabkan Rusia berani campur tangan melalui proksinya di Ukraine. Presiden Rusia, Vladimir Putin turut mengambil kesempatan bersama China dalam cubaan menggagalkan rencana AS terhadap Syria sehingga memaksa konflik berlarutan.
Sementara itu, China turut mengambil peluang untuk mencabar hegemoni AS di rantau Asia Pasifik, termasuklah di Asia Tenggara. Meskipun China banyak bergantung kepada AS dalam hubungan perdagangan, namun hakikat ini tidak menghalangnya daripada berusaha menjadi kuasa besar serantau. Kepesatan pembangunan China mulai ketara pada awal dekad 90-an setelah negara tersebut mulai melonggarkan campur tangannya terhadap pasaran ekonomi, sekali gus beralih kepada dasar pasaran yang lebih terbuka. Pelabur-pelabur asing turut memanfaatkan dasar baru perdagangan China itu kerana negara tersebut mampu menyediakan tenaga kerja pada kos yang minimum. Sejajar dengan perkembangan yang pesat, negara tersebut memerlukan sumber bumi, khasnya sumber tenaga, yang besar bagi meneruskan momentum pembangunannya.
Namun, secara geografinya China tidak mempunyai sumber tenaga yang mencukupi untuk menampung keperluan domestiknya. Oleh itu, China berusaha menjalin kerjasama penerokaan minyak di Sudan dan perjanjian import minyak dari Venezuela. Namun, AS telah berjaya menggagalkan usaha penerokaan minyak oleh China di Sudan melalui pemisahan Sudan Selatan dan Sudan Utara. Hal ini menyebabkan China terpaksa berusaha keras mencari alternatif bagi memenuhi keperluan tenaganya. Maka perhatian China kembali kepada rantau Asia Tenggara, khususnya di Laut China Selatan (LCS) yang telah sekian lama menjadi rebutan negara tersebut dengan beberapa negara jirannya. Kedudukan strategik LCS sebagai laluan perdagangan utama dunia di mana setiap tahun sebanyak USD50 trillion nilai dagangan melaluinya, kekayaan sumber perikanan serta potensi sumber minyak dan gas yang terdapat di kawasan tersebut menjadikannya sebagai sasaran utama China bagi menjana pembangunan domestiknya sekali gus mengukuhkan pengaruhnya selaku ‘pencabar’ kuasa besar serantau.
Latar belakang Pertindihan Tuntutan di Laut China Selatan
Sejarah pertindihan tuntutan ke atas kepulauan yang terletak di LCS bermula selepas tamat Perang Dunia Ke-2 apabila Republik China yang berada di bawah Parti Koumintang pimpinan Chiang Kai Shek melakarkan peta tuntutan yang dikenali sebagai “Sebelas Garis Putus” (“11-dash line”) pada 1 Disember 1947. Legasi tuntutan tersebut kemudiannya diteruskan oleh Republik Rakyat China, namun diubah menjadi “Sembilan Garis Putus” sewaktu zaman Zhou Enlai dengan pengecualian di Teluk Tonkin atas dasar persahabatan dengan Vietnam yang dikuasai parti komunis. Namun, pada 7 Mei 2009, China telah mengemukakan bantahan kepada PBB atas tindakan Malaysia dan Vietnam menghantar penghujahan secara bersama di Suruhanjaya berkenaan Batasan Pentas Benua (Commission on the Limits of the Continental Shelf) untuk menyemak batasan pentas benua negara masing-masing.
Pertindihan tuntutan di LCS telah mencetuskan perselisihan antara China dengan negara-negara di sekelilingnya, bahkan pernah melibatkan pertempuran kecil sebagaimana yang berlaku pada tahun 1974 antara tentera laut China dan Vietnam di Kepulauan Paracel yang menjadi rebutan. Pada tahun 2014, sebanyak tiga buah kapal perang China yang terdiri daripada dua buah kapal pemusnah dan sebuah kapal pendaratan amfibia telah menceroboh Beting Serupai (James Shoal) seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Xinhua [The Star Online, 26/1/2014]. Tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada siri pencerobohan yang dilakukan ke atas kawasan yang terletak kira-kira 80 batu nautika daripada Sarawak sepanjang tahun 2013 dan 2014.
Kehadiran kapal pengawal pantai China turut dilaporkan dari semasa ke semasa sejak tahun 2013 oleh kumpulan nelayan yang beroperasi di Gugusan Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals), kira-kira 84 batu nautika daripada pantai Miri. Dalam perkembangan terkini, China telah bertindak membangunkan pos tentera di Pulau Woody serta menghantar jet pejuangnya ke sana. Terdahulu, China turut melengkapkan pulau tersebut dengan sistem peluru berpandu darat ke udara HQ-9 serta melengkapi pulau tersebut dengan radar berfrekuensi tinggi. Pulau Woody merupakan pulau terbesar yang terletak dalam kepulauan Paracel yang menjadi tuntutan China, Taiwan, dan Vietnam. AS kemudiannya telah bertindak balas dengan menghantar kapal pemusnah Curtis Wilbur untuk meronda di perairan berhampiran Pulau Triton pada 30 Januari lalu atas nama ‘kebebasan untuk belayar’, di samping bertujuan untuk menghantar mesej bahawa negara Uncle Sam itu tidak akan berdiam diri dalam menghadapi tindakan agresif China.
Kebergantungan kedua-dua buah negara, khususnya dalam perdagangan memaksa mereka untuk berkompromi melalui pendekatan diplomasi dan rundingan melibatkan negara-negara yang turut serta dalam pertindihan tuntutan tersebut. Meskipun dari sudut kemajuan sains dan teknologi, AS mendahului China dalam beberapa aspek, namun China bukanlah sebuah negara yang mampu untuk ditundukkan dengan mudah sebagaimana yang dilakukan oleh AS ke atas Iraq di bawah Saddam Hussein semasa Perang Teluk.
Belajar dari Perang Teluk, China telah berusaha membangunkan teknologi ketenteraannya tanpa terlalu bergantung kepada kuantiti semata-mata. Bahkan China telah membangunkan sistem peluru berpandu balistik anti-kapal pengangkut (DF-21D) dan merancang untuk mendapatkan kapal pengangkut pesawat bagi menguatkuasakan doktrin A2/AD (Anti Access/Area Denial) di Laut Timur China serta mengukuhkan rondaan di LCS. Semestinya langkah-langkah ini menjadikan percaturan geopolitik di rantau Asia menjadi semakin rumit dan sedikit demi sedikit menghakis hegemoni AS selaku sebuah kuasa adidaya.
Demikianlah putaran roda geopolitik dunia yang bakal menyaksikan berkuburnya penguasaan unilateral AS dalam percaturan antarabangsa semenjak keruntuhan Kesatuan Soviet pada tahun 1991.
Gajah Sama Gajah Berperang, Pelanduk Mati Di Tengah-tengah
Semenjak runtuhnya Khilafah pada 3 Mac 1924, umat Islam hidup dalam negara-negara bangsa yang kecil dan lemah. Negara-negara bangsa ini sering menjadi mangsa percaturan dan medan tempur kuasa besar kaum kuffar. Ia merupakan suatu yang terbalik jika dibandingkan semasa umat Islam menguasai dunia di bawah pemerintahan Khilafah. Khalifah bukan sahaja mengatur urusan kaum Muslimin, tetapi turut juga mengatur perjalanan politik dunia. Kini hal itu tidak lagi dapat disaksikan dan dunia telah dikuasai oleh AS dan beberapa kuasa kuffar yang lain yang sedang menyaingi AS. Pertembungan antara sebuah kuasa adidaya dengan kuasa yang lain yang semakin berkembang pasti mendatangkan kesan terhadap kesemua negara di rantau terbabit. Apa yang lebih menyedihkan ialah apabila negeri-negeri kaum Muslimin-lah yang sering menjadi mangsa dan tersepit di antara kepentingan kuasa-kuasa besar tersebut.
Secara geopolitiknya, sebahagian daripada LCS turut dimiliki oleh Malaysia. Namun, di bawah pimpinan yang sekular, penakut dan tidak amanah, Malaysia hanya terus berdiam diri ketika wilayahnya diceroboh. Pemimpin Malaysia hanya berani bersuara di kaca televisyen atau di surat khabar sahaja mengutuk tindakan pencerobohan oleh kuasa-kuasa besar, itu pun setelah perkara itu terdedah di media. Tatkala China, Rusia, Korea Utara dan beberapa negara kuffar yang lain berusaha untuk menyaingi Amerika dalam segenap sudut, khususnya ketenteraan, Malaysia, Indonesia, Brunei dan negeri-negeri kaum Muslimin lainnya terkenal tunduk kepada kuasa Barat, malah ‘merajakan’ Obama habis-habisan.
Kerana kedayusan dan pengkhianatan para pemimpinlah, maka umat Islam terus diperkotak-katikkan oleh kuasa-kuasa kuffar di pentas antarabangsa, sehingga apabila kuasa-kuasa besar ini menceroboh wilayah kita, pemimpin terus memilih untuk bermain golf dan menghisap darah rakyat hingga kering. Akhirnya, kuasa-kuasa besar hanya melihat Malaysia dan lain-lain negeri umat Islam di Asia Tenggara ini hanya sebagai boneka dan bahan mainan yang mereka boleh gunakan pada bila-bila masa. Malaysia dan Indonesia yang sepatutnya menjadi pengawal dan penjaga yang kuat terhadap LCS atau pun Selat Melaka, dua laluan laut utama dunia yang berada di wilayah kita ini, tidak ubah umpama orang tua buta sahaja di sisi Amerika dan China dan lain-lain kuasa besar. Jika AS dan China sanggup berperang demi mendapatkan kawalan ke atas dua laluan penting ini, Malaysia bukan hanya sekadar mampu menonton, bahkan tidak mustahil menjadi mangsa yang tersepit, ibarat gajah berperang sesama mereka, pelanduk mati di tengah-tengah!
Inilah keadaan negeri umat Islam selagi ia tidak diperintah oleh seorang Khalifah yang berani dan bertakwa. Sejarah telah menyaksikan bagaimana para Khalifah dahulu menjaga wilayah Khilafah, termasuklah laluan laut, sehingga negara-negara kuffar terpaksa meminta izin sebelum dapat melaluinya. Di zaman pemerintahan Khalifah Salim ke-3 contohnya, tinta emas sejarah Islam mencatatkan bahawa Amerika terpaksa membayar cukai tahunan kepada walinya di Algeria sebanyak 642,000 dolar emas dengan penambahan 12,000 lira emas Uthmani sebagai ganti pembebasan para tawanan Amerika yang ada di Algeria dan pemberian izin kepada kapal-kapal Amerika untuk belayar dengan aman di Lautan Atlantik dan Laut Mediteranean tanpa menghadapi tentera laut Uthmani di wilayah Algeria.
Inilah apa yang sebenarnya wajib dilakukan oleh pemimpin sekarang. Namun, realitinya tidaklah demikian dan realiti ini akan terus berlanjutan selagi negara ini berada di bawah pimpinan orang yang tidak sepatutnya.
Khatimah
Umat Islam pada hari ini berada dalam keadaan yang lemah ekoran perpecahan berasaskan bangsa dan negara yang dilakarkan oleh penjajah Barat. Negeri-negeri kaum Muslimin sengaja dipecahkan sedemikian rupa agar umat ini tidak mampu untuk menentukan hala tujunya sendiri sehingga terpaksa bergantung kepada negara kuffar sama ada secara langsung ataupun melalui badan-badan antarabangsa. Sedangkan hakikatnya umat Islam telah dikurniakan Allah dengan wilayah yang amat strategik, kekayaan sumber alam dan jumlah populasi dan kekuatan yang cukup besar untuk bersaing dengan kuasa kuffar di peringkat antarabangsa. Hizbut Tahrir sedang berusaha mengembalikan semula Negara Khilafah al-Rasyidah ala minhaj nubuwwah yang akan mengembalikan kekuatan umat Islam di persada antarabangsa dan Insya Allah ia akan kembali menjadi super power dunia yang akan menghancurkan hegemoni AS dan kuasa kuffar yang lain dan seterusnya membawa rahmat ke seluruh alam. Sudah tiba masanya untuk umat ini bangkit dan berusaha bersama-sama Hizbut Tahrir dalam melaksanakan usaha yang besar lagi mulia ini.
“Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah (kemenangan) itu amat hampir” [TMQ al-Baqarah (2): 214].