Pertukaran Ketua Menteri: Apa yang rakyat Melaka dapat?

Jika tidak ada angin masakan pokok bergoyang, begitulah perumpamaan yang boleh dilihat di Melaka susulan peletakan jawatan Ketua Menterinya, Sulaiman Md Ali. Orang yang tidak memperhatikan politik sekali pun tahu bahawa tidak mungkin untuk seseorang Ketua Menteri meletak jawatan tanpa apa-apa sebab, apatah lagi jika Ketua Menteri itu datangnya dari Umno.

Tuan punya badan memberikan alasan penat, maka atas sebab itu dia melepaskan jawatannya. Manakala ketuanya, Ahmad Zahid Hamidi menyatakan bahawa Sulaiman meletakkan jawatan atas masalah kesihatan.

Ada laporan menyatakan bahawa Adun Rembia yang juga adalah exco kerajaan negeri, Muhammad Jailani Khamis sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa Melaka bakal mempunyai ketua menteri “tebuk atap atau pintu belakang”. Pergolakan Umno Melaka tidak pernah reda, dan peletakan jawatan Sulaiman menjadi bukti terbaru. Walaupun Umno cuba menyembunyikan segala sengketa dalaman mereka, namun rakyat pasti dapat menghidunya juga.

Melaka, Negeri Sembilan dan Johor merupakan tiga buah negeri di selatan tanah air yang sejak lama menjadi kubu kuat Umno, tetapi kesemuanya tumbang kepada Pakatan Harapan dalam PRU-14, dan ini diakui umum sebagai suatu yang luar biasa.

Namun, setelah berlaku beberapa pergolakan politik di negeri Hang Tuah itu sehingga memaksa kepada pilihan raya negeri, Umno telah menang dengan selesa, yang telah mengembalikan parti Melayu terbesar itu ke istana kekuasaan.

Walaupun kemenangan Umno ini bukanlah menjadi kayu ukur bahawa rakyat Melaka telah kembali menerima mereka kerana peratusan keluar mengundi yang terendah dalam sejarah Melaka, namun faktanya Umno menang dan berkuasa. Ini sudah cukup bagi Umno kerana apa yang penting bagi Umno ialah berkuasa.

Persoalan yang penting sekarang ialah dengan bertukarnya Ketua Menteri yang baru, apakah yang rakyat Melaka dapat? Siapakah yang mendapat keuntungan? Adakah nasib rakyat akan benar-benar berubah? Adakah kehidupan rakyat akan bertukar menjadi lebih baik? Adakah segala masalah kos sara hidup rakyat akan selesai? Dan banyak lagi persoalan lain yang boleh ditanyakan.

Persoalan yang jauh lebih penting daripada semua itu ialah, adakah Ketua Menteri yang baru nanti akan memperjuangkan Islam, atau tetap dengan perjuangan sekular yang sudah sebati dengan Umno? Adakah rakyat Melaka akan dapat melihat dan mengecapi sedikit nikmat daripada pelaksanaan hukum Islam oleh Ketua Menteri yang baru?

Melihat kepada track record Umno, semua orang sudah tahu akan jawapannya!

Inilah yang perlu disedari oleh rakyat Melaka secara khusus, dan rakyat Malaysia secara umum, bahawa Umno, dan parti mana pun yang memerintah dalam sistem demokrasi ini tidak pernah peduli akan penerapan Islam secara kaffah. Mereka hanya menjadi penerus kepada perlembagaan, sistem dan undang-undang sekular warisan kafir penjajah.

Orang Melaka setidaknya perlu sedar bahawa Melaka pernah mencatat sejarah gemilang di Nusantara sebagai sebuah pusat keIslaman. Dari Melakalah masuknya Islam ke Tanah Melayu, dan dari sinilah bermula dan berkembangnya Islam ke negara ini. Malah, Melaka berjaya mencipta sebuah “empayar” yang telah menaikkan Islam di rantau ini, dan mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan Daulah Khilafah.

Tidak ada cara lain jika rakyat Melaka ingin mengembalikan kegemilangan Islam kecuali dengan menolak parti pemerintah yang sudah tegar dengan kesekularannya, lalu mesti bangkit untuk memperjuangkan tegaknya Islam secara kaffah melalui penegakan kembali institusi penerap syariah dan pemersatu ummah, Daulah Khilafah, sebagaimana dahulunya.

Wallahu a’lam.