Peruntukan besar JASA: Bukti betapa pemerintah mengutamakan survival politik berbanding kebajikan rakyat tatkala berdepan krisis

Semenjak pembentangan Belanjawan 2021 yang disampaikan oleh Menteri Kewangan pada Jumaat lalu, pelbagai isu dan kritikan telah dibangkitkan oleh pelbagai pihak. Antara isu yang paling menarik untuk diketengahkan ialah mengenai keputusan kerajaan menghidupkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan memperuntukkan lebih kurang RM85.5 juta untuknya. Apa yang memanaskannya ialah kerana tindakan tersebut mendapat bantahan dan kritikan daripada kedua-dua belah pihak, baik pembangkang mahupun ahli parlimen yang mewakili parti-parti komponen lain yang membentuk kerajaan.

Sementara itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang dipertanggungjawabkan untuk menerajui penubuhan semula unit itu, telah tampil membela keputusan tersebut. Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata penubuhan semula JASA adalah atas desakan kakitangan yang diberhentikan semasa pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu. Zahidi turut menafikan langkah tersebut bermotifkan politik, sebaliknya berkata tugas Jasa adalah ‘melapor kepada kerajaan isu-isu rakyat, kemiskinan rakyat, isu mana tempat paling ramai miskin, apa yang perlu dibantu dan sebagainya’, selain untuk ‘mengukuhkan sahsiah dan pembangunan sosial masyarakat berbilang bangsa’ [Sinar Harian, 9/11/2020].

Persoalannya, bukankah tugas-tugas tersebut telah pun dilaksanakan oleh pelbagai agensi kerajaan yang lain? Misalnya, negara ini sudah pun mempunyai pelbagai jawatankuasa dan agensi antaranya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Kementerian Perpaduan, bahkan telah wujud Jabatan Penerangan di bawah KKMM sendiri – semua ini bagi melaksanakan tugas-tugas yang dinyatakan Zahidi!

Penubuhan semula JASA akan hanya merumitkan lagi kerenah birokrasi yang telah pun wujud ekoran pertindihan tugas serta bidang kuasa dalam perkhidmatan awam. Bukan itu sahaja, malah yang lebih buruk ialah ia akan meningkatkan lagi kos pentadbiran sedangkan peruntukan tersebut sewajarnya disalurkan kepada perkhidmatan yang lebih kritikal seperti keperluan kesihatan, keselamatan negara dan bantuan-bantuan langsung kepada golongan rentan yang memerlukan.

Apa yang pasti ialah penubuhan semula JASA dan peruntukan yang begitu besar kepadanya merupakan satu bentuk pembaziran, dan merupakan langkah politik demi menjamin kelangsungan kerajaan Perikatan Nasional, khususnya kedudukan Perdana Menteri sendiri, melalui propaganda yang disembunyikan di sebalik istilah “komunikasi strategik”.

Apa pun alasannya, kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin ternyata lebih mengutamakan ‘survival’ politik berbanding memenuhi keperluan rakyat, di saat negara sedang berada dalam keadaan getir ekoran ketidaktentuan ekonomi serta pandemik COVID-19 yang masih belum reda.

Inilah hakikat pemerintah dan pemerintahan dalam sistem demokrasi yang rosak ini. Apabila bercakap kepada rakyat, lebih-lebih lagi ketika pilihanraya semakin hampir, mereka bersungguh-sungguh menampilkan imej prihatin dan cakna kepada penderitaan rakyat. Sedangkan hakikatnya mereka lebih mengutamakan kepentingan dan percaturan politik dalam meraih dan mengekalkan kekuasaan. Setuju atau tidak, merekalah yang sebenarnya menjadi punca penderitaan dan kesempitan yang dihadapi oleh rakyat di negara ini!

Wallahu a’lam.