Pilihanraya Dalam Sistem Kufur Demokrasi Membazirkan Wang Semata-mata
MELAKA 23 Nov. – Kos mengendali pilihan raya umum ke-13 nanti dijangka mencecah RM300 juta berbanding RM200 juta bagi pilihan raya umum yang lepas, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof. Beliau berkata, anggaran itu adalah sekiranya pilihan raya itu dijalankan secara serentak di semua negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan yang kini dikuasai pembangkang. “Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan untuk proses pilihan raya umum akan datang ialah pertambahan bilangan pemilih serta peralatan-peralatan bantuan seperti kotak undi, penindik dan kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas Taklimat Pegawai Pengurus dan Penolong Pegawai Pengurus Pilihan Raya Umum ke-13 di sini hari ini. Abdul Aziz berkata, langkah melaksanakan undi pos di luar negara juga menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan proses pilihan raya akan datang kerana ia melibatkan kos yang tinggi. Beliau berkata, SPR perlu membelanjakan sekurang-kurangnya US$10 bagi kos penghantaran untuk seorang pengundi pos di luar negara. – Bernama
Sumber: Utusan Malaysia 23/11/11
Jutaan Duit Rakyat Dikorbankan Semata-mata Untuk Melangsungkan Pilihanraya Dalam Sistem Kufur Demokrasi
Pesta pilihanraya demokrasi yang di amalkan di Malaysia sejak merdeka nampaknya sudah semakin hampir. Pelbagai petanda sudah mula ditunjukkan oleh pihak pemerintah dan pembangkang. Malah SPR, sebagai badan yang dikritik hebat oleh pihak pembangkang kerana berpihak kepada parti pemerintah sekular UMNO dan komponennya, juga tidak ketinggalan.
Dari kos pengendalian pesta kufur yang dikatakan akan meningkat sehingga RM300 juta berbanding hanya RM200juta untuk PRU yang lepas, menunjukkan bagaimana pesta kufur tersebut sebenarnya mengorbankan wang rakyat yang bukan sedikit jumlahnya. Ini belum lagi diperkirakan jumlah kos kempen yang akan dibelanjakan oleh pihak yang bertanding, samada di pihak pemerintah mahupun pembangkang. Semua ini kerana merebut sejumlah 222 kerusi parlimen, yang pada hakikatnya memberikan kuasa kepada wakil rakyat yang dipilih itu untuk merompak hak Allah SWT dalam soal membuat dan menggubal undang-undang.
Apakah pihak yang bertanding di dalam pesta kufur itu kelak sedar akan hakikat ini? Umat Islam kini hakikatnya sudah terbius dengan racun demokrasi. Lebih menyedihkan, gerakan Islam yang diharapkan untuk mengembalikan umat ke jalan yang lurus turut terbenam di dalam lumpur sistem kufur demokrasi ini. Inilah sepak terajang dunia politik kapitalisme yang akan terus menjerat umat Islam dengan sistem yang pastinya akan terus mengundang murka Allah SWT.
Demokrasi merupakan sistem pemerintahan kufur yang sudah membarah dan membius di dalam pemikiran umat Islam hari ini dan nampaknya, buat ke sekian kalinya, ia akan terus menjadi asas pertarungan umat Islam di Malaysia untuk saling bersaing bagi merebut kekuasaan yang pastinya akan melanjutkan dan memperpanjangkan lagi usia sistem kufur tersebut. Amat malang bagi umat Islam di Malaysia khasnya dan dunia amnya kerana masih lagi tertipu dengan pembohongan dan penipuan sistem kufur ini. Sampai bila wahai kaum Muslimin yang masih berfikir?
Lihat: SN049 – PILIHANRAYA : Sampai Bila Akan Menjadi Topeng Demokrasi