Pilihanraya demokrasi medan pertembungan raih kepentingan parti, bukan kepentingan umat
Meskipun Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjung Piai telah berakhir, namun pergelutan politik di antara parti-parti yang bertanding masih belum selesai dan masih hangat dibincangkan oleh media dan juga rakyat. Perkembangan sebegini jelas menunjukkan bahawa parti-parti yang bertanding hakikatnya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan rakyat yang kononnya diwakili mereka.
Seperti mana pilihanraya-pilihanraya sebelum ini yang menyaksikan rakyat keluar mengundi dengan harapan agar calon pilihan mereka membawa kepentingan dan keluhan mereka ke Parlimen, PRK Tanjung Piai turut memaparkan senario yang sama. Namun terdapat nilai tambah pada PRK kali ini yang dijadikan medan ukuran sokongan rakyat terhadap kerajaan PH setelah terwujudnya Muafakat Nasional yang membentuk kekuatan baru bagi blok pembangkang.
Apa pun, harapan rakyat seringkali berkecai tidak kira siapa pun yang memenangi pilihan raya, kerana janji yang ditabur oleh calon tidak lebih sekadar menanam tebu di tepi bibir. Inilah hakikat pilihanraya dalam sistem demokrasi kerana calon yang bertanding adalah mewakili parti dan “ditaja” oleh parti, bukannya oleh rakyat. Maka sudah semestinya kepentingan parti yang akan diutamakan. Rakyat hanya menjadi mangsa pembohongan secara berterusan.
Mengulas mengenai isu ini, Wan Hisham Wan Salleh, pimpinan pusat Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) berkata, “Apa yang berlaku (kekalahan dan kemenangan) dalam pilihanraya hanyalah mengakhiri kepentingan politik satu kelompok dan memberi laluan kepada kelompok yang lain pula (untuk) meraih matlamat politiknya,”
“Ketika kepentingan parti diutamakan, maka kepentingan rakyat selalu pula dikorbankan. Inilah realiti sistem demokrasi yang sering merugikan rakyat di setiap negara yang menerapkan sistem ini,” ujar beliau dalam sebuah kenyataan di laman sosial Facebook yang diterbitkan semalam.
Beliau turut menegaskan bahawa keputusan PRK Tanjung Piai ini seharusnya membuka mata umat Islam bahawa kemenangan mana-mana pihak tidak akan merealisasikan kepentingan rakyat tetapi ia menjadi ruang dan peluang kepada parti yang menang untuk meraih agenda politik kelompoknya.
PRK Tanjung Piai yang berlangsung pada 16 November lalu menyaksikan calon BN daripada MCA, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng muncul sebagai pemenang dengan majoriti lebih besar berbanding sebelum ini iaitu sebanyak 15,086 undi. Wee memperoleh 25,466 undi daripada 128 peti undi mengatasi lima pencabarnya.
Pencalonan Wee sebelumnya menimbulkan kontroversi dan menjadi bahan propaganda politik rentetan “perkahwinan” UMNO-PAS yang kononnya bertujuan memperkuat agenda Melayu-Islam, tapi dalam masa yang mempertaruhkan calon Cina di Tanjung Piai.
Manakala kekalahan calon Bersatu dikaitkan antara lain dengan protes penyokong PH terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung isu penyerahan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apa yang pasti, pilihanraya dalam sistem demokrasi hanya merupakan medan perebutan kuasa antara kelompok-kelompok yang bertanding untuk meraih kepentingan masing-masing, dengan mengatasnamakan kepentingan rakyat. Inilah hakikatnya.