Pluralisme: Adik Beradik Sekularisme Dan Yang Seangkatannya

jamil-khirFahaman pluralisme bertentangan Islam – Jamil Khir
 
ALOR SETAR 18 Dis (Bernama) — Fahaman pluralisme agama adalah bertentangan dengan ajaran Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.  Beliau berkata, fahaman pluralisme agama mampu membuat orang Islam terpesong dari landasan Islam sebenar.  “Fahaman pluralisme agama ialah satu kronologi yang dianggap sebagai kepelbagaian dan kemajmukan dengan membawa maksud semua agama adalah sama dan benar.  “Hal ini amat bertentangan dengan ajaran Islam sebenar kerana ia menyentuh soal akidah umat Islam.  “Islam adalah agama yang Ad-Din dan sempurna dan fahaman ini mampu memesongkan akidah umat Islam kerana membawa kesamarataan kepada semua agama,” katanya di sini hari ini.  Beliau diminta mengulas tentang pandangan tokoh Islam yang berpendapat bahawa golongan yang mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan merupakan mereka yang berfahaman pluralisme ala John Hick dan perlu ditentang kerana fahaman tersebut bertentangan dengan ajaran Islam. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 18/12/10

 
Pluralisme Bertentangan Dengan Islam. Bagaimana Pula Dengan Sekularisme, Nationalisme, Demokrasi, Kapitalisme Dan Seangkatan Dengannya?

Sebagai seorang Islam, Jamil Khir perlu membuka matanya luas-luas, memasang telinga dan membuka pintu hatinya agar tidak hanya melihat pluralisme sahaja yang bertentangan dengan Islam, bagaimana pula dengan fahaman-fahaman lain seperti  sekularisme, nationalisme, demokrasi, kapitalisme yang sedang berakar umbi di dalam kehidupan individu, masyarakat dan Negara pada ketika ini? Kajian sejarah telah membuktikan bahawa kesemua idea-idea tersebut lahir daripada barat dan bertentangan dengan ajaran Islam. Kita dapat menyaksikan dengan jelas bagaimana para pemerintah sekular hari ini yang terus menunjukkan kesetiaan dan ketaatan mereka kepada idea-idea kufur di atas. Hakikat ini tidak dapat disembunyikan atau dinafikan oleh mana-mana pihak yang ikhlas kepada Allah dan rasulNya, hanya mereka-mereka yang enggan menerima kebenaran sahaja yang menafikannya.

Pemerintahan negara kita hari ini adalah berasaskan kepada ideologi kapitalisme yang menerima pakai demokrasi sebagai sistem pemerintahan manakala idea sekularisme menjadi asas kepada munculnya ideologi kaptalisme ini. Sementara itu, ikatan nationalisme (ashobiyyah) terus dijadikan sebagai asas untuk mengatur ikatan masyarakat. Sedangkan secara jelas Allah SWT telah mengingatkan di dalam firmanNya: “Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi. [TMQ Ali ‘Imran (3) : 85]. Untuk itu sudah tiba masanya bagi Jamil Khir melakukan muhasabah ke atas  Najib agar mengambil Islam secara keseluruhan di dalam pemerintahannya dan seterusnya membuang sejauh-jauhnya segala bentuk idea-idea kufur di atas kerana kesemuanya itu akan menjadi suatu penyesalan yang amat besar di hari akhirat kelak buat dirinya sendiri. Lihat SN205 – AGAMA BARU ITU BERNAMA PLURALISME! SN239 – KEBEBASAN DI BAWAH SISTEM DEMOKRASI