Politik demokrasi yang memecah-belahkan umat Islam
Dalam sistem demokrasi, semua parti politik yang bertanding akan menjadikan kuasa dan kedudukan sebagai agenda utamanya dan apabila menang akan terus mengekalkan perlembagaan sedia ada yang ditinggalkan penjajah ke atas mereka. Perkara ini bukan sahaja tidak dapat disangkal, bahkan ikrar untuk mempertahankan perlembagaan ini telah dinyatakan dengan jelas sewaktu para politikus mengangkat sumpah tatkala menjadi ‘wakil rakyat’ (baca: wakil parti) di Parlimen.
Matlamat mereka berebut tampuk pemerintahan akan selalu menghalalkan segala cara yang mereka lakukan meskipun bertentangan dengan hukum syarak. Mereka juga sering bercakaran dan berubah prinsip dalam rangka meraih maslahat yang menjadi asas dalam perjuangan, baik di peringkat bawah mahu pun di peringkat yang paling atas.
Lihat sahaja bekas-bekas Perdana Menteri seperti Muhyiddin, Najib dan Dr. Mahathir yang dulunya berada dalam satu kem, kini telah berpecah kepada tiga kem dan saling bercakaran. Dari sisi lain, ketiga-tiga mereka yang dahulunya pernah menjadi musuh utama kepada PAS, kemudian duduk sebumbung dan makan semeja, semuanya kerana kuasa. Ketua Penerangan PAS Pahang pernah berkata;
“PAS perlukan Umno dan Bersatu. Umno perlukan PAS dan Bersatu. Bersatu perlukan PAS dan Umno. Kalau masing-masing meletakkan penyatuan ummah sebagai keutamaan, maka mesti bersedia berkongsi kuasa bagi menguruskan kuasa” [Harakahdaily, 1/1/2022].
PAS kemudiannya “bergaduh” semula dengan Mahathir, tetapi Najib dan Muhyiddin masih dilihat mesra-PAS, walaupun kebiasaannya hal ini tidak akan bertahan lama.
Inilah realiti parti-parti politik dan para politikus dalam sistem demokrasi, yang tidak pernah aman dari perbalahan, perpecahan dan permusuhan, dan jika mereka berbaik pun, hanya kerana manfaat semasa yang ingin diraih. Hilang manfaat, hilanglah hubungan baik mereka.
Masing-masing individu dan parti mempunyai agenda dan kepentingan yang ingin diraih. Kita sudah menyaksikan hal ini berulang-ulang kali. Apabila maslahat atau manfaat gagal tercapai melalui permuafakatan mahupun pakatan yang cuba dibuat, maka terlerailah hubungan mereka dan masing-masing akan kembali menjadi seteru.
Apa yang menyedihkan ialah para pengikut yang taksub, yang masih tidak nampak bagaimana mereka hanya “dibohongi” oleh orang atasan mereka. Sesetengah pengikut ada yang kebingungan dan keliru dengan sikap para pemimpin mereka terhadap seteru politik mereka. Mereka melihat para pemimpin mereka (dan kadang-kadang mereka sendiri) yang suatu ketika menyumpah seranah dan membenci seteru mereka, kemudian boleh tidur sebantal dan “berpelukan” seakan-akan mereka tidak pernah bermusuhan. Kemudian mereka berpisah dan menyumpah seranah semula, dan kemudian tidur sebantal semula, dalam sebuah “lakonan” yang tidak berkesudahan.
Hakikatnya, situasi beginilah yang diinginkan oleh kuffar Barat dan kaum munafik, agar umat Islam disibukkan dengan saling bercakaran dan mengejar kepentingan. Mereka tidak lagi berfikir untuk menerapkan Islam atau untuk hidup dalam sistem kehidupan yang Islami. Matlamat parti-parti yang bertanding hanyalah untuk berkuasa dan meraih jawatan di dalam tampuk pemerintahan. Kalau pun ada slogan-slogan yang berbau islamik, itu hanyalah sekadar retorik penyedap halwa telinga sahaja.
Justeru kaum Muslimin perlu sedar akan hal ini dan menolak segala perjuangan yang bertujuan untuk memartabatkan sistem demokrasi yang selama ini telah memecahbelahkan umat Islam, dan seterusnya menyahut seruan untuk memperjuangkan syariat Islam secara kaffah di bawah sistem pemerintahan Islam, Khilafah.
Muhammad Amin
Pimpinan Pusat HTM