Politik kepartian dalam demokrasi: Demi kepentingan rakyat atau kemandirian elit politik?

Barisan Nasional (BN) dilihat sedang menuju ke pengakhirannya setelah empat lagi parti komponennya di Sarawak bertindak mengumumkan keluar daripada pakatan politik tersebut dan menubuhkan gabungan politik baharu yang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak. Semenjak tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, beberapa parti komponen telah bertindak meninggalkan gabungan tersebut sehinggalah hanya tinggal empat parti sahaja yang masih kekal di dalam BN, iaitu UMNO, MCA, MIC, dan Gerakan.

Sumber berita: sinarharian.com.my

Komentar:

Benarlah ungkapan yang menggambarkan senario politik tanah air hari ini, bahawa “dalam politik tiada sekutu yang kekal, tiada pula seteru yang kekal, – yang kekal hanyalah manfaat”. Semenjak kalah dalam PRU-14 yang lalu, masing-masing berusaha untuk mengelak daripada dikaitkan dengan BN yang menerajui tampuk pemerintahan negara selama enam dekad yang lalu.

Parti-parti komponen BN di Sarawak melihat bahawa keterlibatan mereka dengan rejim pemerintah terdahulu (BN) sebagai suatu bentuk liabiliti, apatah lagi dengan terpalitnya bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan skandal-skandal penyelewengan seperti 1MDB. Sekiranya mereka masih bersama dengan BN, pastinya akan menyebabkan mereka sukar untuk kekal berkuasa kerana bimbang persepsi negatif yang boleh mengakibatkan mereka tumbang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan diadakan pada 2021.

Jelaslah bahawa tindakan mereka ini adalah suatu yang bersifat pragmatik demi menjamin keberlangsungan politik mereka, bukanlah kerana memikirkan kepentingan rakyat negeri Sarawak yang berdepan dengan keperitan hidup serta dianaktirikan daripada pembangunan oleh kerajaan pusat dahulu. Pastinya bukan kerana mereka memperjuangkan nilai integriti dan menolak kleptokrasi, kerana kepincangan dan ketirisan yang berlaku dalam kerajaan pimpinan BN dahulu bukannya baru-baru ini sahaja terbongkar dan diketahui umum.

Keadaan yang sama juga dapat dilihat di Sabah, apabila UPKO dan komponen lain BN mengambil keputusan untuk meninggalkan BN bagi membentuk kerajaan bersama Warisan di Sabah. Kini, hanya UMNO sahaja yang membentuk komponen BN di Sabah. Apakah mereka benar-benar memperjuangkan nasib rakyat Sabah atau sekadar ingin memastikan kemandirian politik mereka semata-mata? Tidakkah mereka menyedari bahawa selama ini Sabah yang kaya dengan hasil bumi merupakan antara negeri termiskin di negara ini di bawah pemerintahan kerajaan BN dahulu? Jika benar mereka memperjuangkan kepentingan rakyat, sudah lama mereka meninggalkan BN atau setidak-tidaknya menuntut keadilan.

Sementara itu, keadaan yang sama turut berlaku di Semenanjung. Terdahulu, beberapa orang wakil rakyat BN juga telah mengumumkan lompat parti sepertimana yang disaksikan di negeri Johor. Kita juga telah menyaksikan ahli-ahli UMNO yang menjadi tulang belakang BN selama ini berduyun-duyun meninggalkan UMNO bagi menyertai PPBM (Bersatu). Peralihan ini begitu ketara sehinggakan ada yang menyuarakan kebimbangan bahawa Pakatan Harapan (PH) akan menjadi BN 2.0 sekiranya kemasukan bekas ahli-ahli UMNO-BN ke dalam PH dibiarkan tanpa kawalan.

Sesungguhnya, percaturan politik kepartian yang berlaku di negara ini bukanlah demi kepentingan rakyat jelata semata-mata. Sebaliknya percakaran dan perebutan kuasa yang terjadi tidak lebih daripada sekadar menjamin survival puak-puak elit politik yang memegang tampuk pemerintahan. Pastinya mereka yang terpalit dengan skandal-skandal dan penyelewengan akan berusaha untuk terus kekal memerintah agar mereka terselamat daripada didakwa.

Demi menjamin keberlangsungan politik jugalah, mereka sanggup untuk menebalkan muka dan mengetepikan prinsip yang dijunjung selama ini semata-mata bagi meraih kekuasaan. Pihak-pihak yang suatu ketika dahulu dianggap mustahil untuk duduk semeja, kini bersama-sama membentuk kerajaan. Apakah jaminan keutuhan kerajaan yang terbentuk ini? Andainya telah hilang manfaat daripada ikatan yang terjalin, pastinya ikatan tersebut akan terlerai. Manakala rakyat pula yang selama ini sanggup bertelagah dan berseteru sehingga ada yang memutuskan ikatan persaudaraan pula akan terus dipermainkan. Sampai bila ingin kita terus ditipu dan dipermainkan seperti bidak-bidak catur dalam perebutan kuasa antara elit-elit politik ini?