Pragmatisme politik di Malaysia
Tidak dinafikan bahawa Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 yang julung kali diadakan telah mencatat sejarahnya tersendiri. Ia melibatkan 19 buah parti politik yang bergabung membentuk kerajaan selepas PRU-15 yang lalu.
“Dulu lawan, kini kawan” seolah-olah menjadi slogan tidak rasmi yang diangkat dalam konvensyen ini, kerana musuh-musuh politik yang sebelumnya tidak pernah menjangkakan boleh berada sepentas, ternyata berjaya berucap di pentas yang sama.
Seperti biasa, segala berita dan portal yang pro kerajaan telah mengangkat dan memuji konvensyen ini habis-habisan, seolah-olah Malaysia akan menjadi sebuah negara yang sangat sejahtera selepas ini hasil kerajaan perpaduan yang telah terbentuk.
Di sebalik segala pujian melangit terhadap konvensyen ini, satu persoalan menarik yang boleh ditanyakan ialah, atas dasar apakah kesemua parti politik ini bergabung membentuk kerajaan?
Sebelum menjawab persoalan di atas, satu fakta ketara yang dapat kita saksikan daripada konvensyen tersebut ialah idealisme perjuangan yang telah digadaikan oleh parti-parti politik yang selama berpuluh tahun bermusuhan!
Walaupun ada yang berpandangan bahawa gabungan tersebut merupakan sebuah pengorbanan besar oleh parti-parti politik yang bermusuhan demi Malaysia tercinta, dan demi menjunjung saranan YDPA untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersatu padu, fakta bahawa mereka telah menggadai idealisme perjuangan tetap merupakan sebuah hakikat yang akan tersemat dalam lipatan sejarah politik Malaysia sampai bila-bila.
Sebenarnya gabungan parti-parti politik yang telah lama bermusuh, kemudian bergabung untuk membentuk pemerintahan bukanlah satu perkara baru di Malaysia. Cuma bezanya dengan kerajaan perpaduan kali ini ialah gabungan pemerintahan itu terbentuk setelah PRU, bukan sebelumnya. Itu sahaja.
Jadi, jika kita kembali kepada persoalan atas dasar apakah mereka bergabung, boleh berkongsi pemerintahan, boleh duduk semeja dan berucap sepentas antara satu sama lain? Jawapannya sama sahaja sama ada dulu atau sekarang tanpa mengira parti manakah yang terlibat, iaitu pragmatisme!
Sejak gabungan antara parti-parti politik yang bermusuhan pertama kali terbentuk puluhan tahun yang lalu, sehinggalah kepada gabungan yang terbentuk pada hari ini, semuanya bergabung atas dasar manfaat, dan manfaat apa lagi jika bukan kekuasaan?! Mereka semuanya dan sebenarnya adalah parti-parti yang pragmatik sehingga sanggup menggadaikan idealisme perjuangan yang mereka canangkan kepada rakyat sejak penubuhan mereka.
Itu dari satu sudut. Dari sudut lain yang jauh lebih penting ialah persoalan, apakah gabungan parti-parti atau kerajaan perpaduan yang mereka bangga-banggakan itu memerintah berdasarkan Islam, atau hanya mengekalkan segala sistem, perlembagaan dan undang-undang yang datangnya daripada penjajah?
Jawapannya sudah terang lagi bersuluh!
Sebagai Muslim, inilah ukuran kita yang sebenarnya jika kita ingin melihat dan menilai sesuatu samada baik atau tidak. Kita tidak akan menilai sebuah perpaduan sebagai baik jika perpaduan itu bukan atas dasar Islam. Kita tidak akan menilai sebuah pemerintahan itu baik jika pemerintahan itu bukan atas dasar Islam. Inilah ukuran kita.
Hatta jika kesemua parti politik yang ada di Malaysia ini bergabung untuk membentuk pemerintahan atau membentuk kerajaan perpaduan, tetapi meminggirkan hukum Allah, maka tidak ada kebaikan sedikit pun dengan gabungan atau pemerintahan tersebut! Tidak ada kebaikannya untuk mereka, dan tidak ada kebaikannya untuk rakyat apabila dinilai daripada kacamata Islam.
Seperkara lagi yang rakyat perlu sedar ialah sifat pragmatisme politik di Malaysia ini sudah banyak kali berulang dan semakin menjadi-jadi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jadi tidak mustahil sedikit pun yang gabungan yang ada sekarang ini akan berpecah lagi. Ya, langsung tidak mustahil yang mereka akan kembali menjadi lawan dan kembali “melaknat” antara satu sama lain sebagaimana dahulunya.
Inilah hakikat pragmatisme politik di bawah sistem demokrasi, kerana semuanya telah diajar oleh demokrasi untuk berbaik dan bergaduh demi manfaat, bukannya demi Islam. Tidak ada kawan atau musuh yang abadi dalam kamus mereka, kerana apa yang abadi bagi mereka hanyalah manfaat.
Wallahu a’lam.