Deklarasi Rakyat Hanyalah Pragmatisme Politik

deklarasi_rakyatDeklarasi Rakyat telah sedikit sebanyak mengejutkan dunia politik Malaysia baru-baru ini, bukanlah kerana agenda untuk menjatuhkan Datuk Sri Najib Tun Razak, kerana agenda untuk menjatuhkan Perdana Menteri Malaysia itu telah lama berkumandang, khususnya sejak meletupnya isu 1MDB. Namun apa yang mengejutkan kali ini ialah bagaimana musuh atau seteru politik yang paling ketat di Malaysia seperti Tun Dr Mahathir  dan kelompoknya dari kalangan UMNO, yang terkenal bermusuhan dengan DAP, PKR dan PAS, tiba-tiba boleh duduk semeja dalam satu gabungan. Pastinya ramai di kalangan kita tertanya-tanya bagaimana fenomena seperti ini boleh berlaku dalam dunia politik?

Hakikatnya, perkara seperti ini bukanlah suatu yang asing dalam dunia politik demokrasi. Ini kerana asas sistem demokrasi adalah sekularisme yang memisahkan agama daripada kehidupan. Agama langsung tidak berperanan dalam sistem pemerintahan, politik, ekonomi atau lain-lain sistem, kecuali sedikit dalam hal-hal bersifat individu dan kekeluargaan sahaja. Sekularisme memandang bahawa baik dan buruknya sesuatu perkara bukanlah ditentukan oleh ‘agama’ tetapi ditentukan oleh ‘manfaat’. Begitu juga dengan objektif yang ingin dicapai oleh parti-parti politik iaitu manfaat dan segala jalan untuk mencapai objektif tersebut, walaupun haram di sisi agama, tetapi akan menjadi ‘halal’ di sisi mereka apabila terdapatnya manfaat. Sekutu disayangi bukan kerana kebenaran dan musuh dibenci bukan kerana kebatilan tetapi sayang dan benci adalah bersandarkan kepada manfaat semata-mata.

Falsafah pragmatisme merupakan bahagian yang integral dalam arena politik demokrasi. Istilah pragmatisme berasal dari kata Yunani, ‘pragma’ yang diertikan sebagai perbuatan atau tindakan manakala kata ‘isme’ bererti aliran atau ajaran atau fahaman. Dengan demikian, ‘pragmatisme’ membawa maksud ajaran yang menekankan bahawa pemikiran itu hendaklah menuruti tindakan. Kriteria kebenaran pada pragmatisme adalah berapa besarkah “faedah” atau “manfaat” yang wujud dalam sesuatu tindakan/perkara. Suatu teori atau hipotesis dianggap oleh pragmatisme sebagai benar apabila ia membawa suatu hasil yang bermanfaat, dengan kata lain, suatu teori adalah benar if it works (apabila teori tersebut dapat diaplikasikan).

Amalan pragmatisme sangat sinonim dalam kancah politik Malaysia. Contoh mudah yang telah kita saksikan sepanjang sejarah ialah gabungan beberapa parti politik atau para politikus yang sebelumnya merupakan seteru politik seperti kewujudan Gagasan Rakyat (Semangat 46, DAP, PRM, PBS dan yang lain) pada tahun 1990an, diikuti dengan kewujudan Angkatan Perpaduan Ummah (APU – Semangat 46, PAS, Berjasa, Hamim dan Kimma), seterusnya muncul pula Barisan Alternatif (PAS, DAP, PRM dan Parti Keadilan) pada tahun 1999 dan ditukar nama kepada Pakatan Rakyat pada tahun 2008 dan terbaru wujudnya Pakatan Harapan (PAN, DAP dan PKR) serta ‘Blok Ketiga’ (PAS dan Ikatan).

Kesemua mereka ini bergabung atas dasar manfaat dan sudah beberapa kali sebahagian mereka menjadi musuh ketat dan bersekutu dan bermusuh semula dan bersekutu lagi. Di peringkat antarabangsa kita boleh melihat Kesatuan Eropah yang mengikat sejumlah negara  Eropah atas dasar manfaat ekonomi juga sedang menghadapi krisis kerana kepentingan yang mengikat mereka, iaitu ekonomi, dilihat tidak mencapai matlamatnya. Beberapa negara Eropah mula berhasrat untuk keluar daripada Kesatuan Eropah termasuklah Britain, setelah berkurang atau hilangnya manfaat.

Apa yang amat jelas ialah, sekutu dan seteru dalam sistem politik demokrasi sentiasa tidak kekal dan boleh berubah-ubah bergantung kepada manfaatnya. Fakta ini tidak ubah seperti yang diucapkan oleh Lord Palmerston, bekas Perdana Menteri Britain di dalam House of Commons, “Kita tidak mempunyai sekutu yang abadi atau musuh yang abadi, tetapi kepentingan (manfaat) kitalah yang abadi. Dan tugas kita adalah untuk mengikuti kepentingan itu”. Oleh itu, konsep pragmatisme seperti yang dipegang oleh para politikus demokrasi mengharuskan mereka untuk bersekutu apabila ada manfaat bersama yang ingin diperoleh dan apabila manfaat ini hilang, maka mereka kembali berkelahi. Pendek kata, hari ini mereka bermusuhan, esok mereka bersahabat dan lusa mereka bermusuhan semula dan begitulah seterusnya, bergantung kepada manfaat yang wujud.

Di dalam kitab Nidzamul Islam (Peraturan Hidup Dalam Islam) karangan Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, dalam bab Qiyadah Fikriyyah (Kepimpinan Berfikir), beliau menjelaskan bahawa  antara ikatan sesama manusia yang paling lemah dan bersifat sementara ialah ikatan manfaat. Ikatan ini sangat rapuh dan bila-bila masa sahaja akan terurai apabila manfaatnya hilang. Ikatan yang paling kuat pula ialah ikatan mabda’ (ideologi). Mabda’ Islam ialah aqidah aqliyah (akidah yang terbentuk melalui proses berfikir) yang melahirkan syariat  dan sistem (nidzam) Islam. Akidah Islam menyatakan bahawa seluruh alam semesta, manusia dan hidup ini, serta apa yang ada sebelum dan selepas kehidupan, diciptakan oleh Allah SWT. Kebenaran hakikat ini merupakan bukti yang nyata dan tidak dapat disangkal oleh sesiapapun.

Syariat Islam yang lahir daripada akidah Islam berfungsi untuk menjawab dan menyelesaikan pelbagai persoalan dan masalah dalam kehidupan manusia baik dari aspek politik, pemerintahan, ekonomi, sosial dan lain-lain. Kejayaan syariat Islam menyatukan umat manusia dalam sebuah Daulah Khilafah tanpa mengira agama, bahasa, kaum dan warna kulit telah terbukti dalam lintasan sejarah selama lebih 13 abad. Ikatan ideologi atau mabda’ merupakan ikatan yang kuat kerana ikatan ini diasaskan kepada kebenaran yang boleh dibuktikan dengan akal dan bukan manfaat. Walaupun hubungan manusia hilang manfaatnya, ikatan mabda’ Islam tetap kekal kerana kebenarannya yang tidak pernah hilang.

Berdasarkan fakta, jelas bahawa ikatan yang selama ini wujud dalam gabungan parti-parti politik atau ikatan yang baru terbentuk di antara para politikus/individu dalam Deklarasi Rakyat merupakan ikatan pragmatisme yang amat lemah dan mereka akan bercerai bila-bila masa sahaja apabila manfaat yang dikongsi bersama telah hilang. Paling lama pun apabila Najib berjaya dijatuhkan, nescaya akan bercerai berailah semula gabungan ini. Justeru, ikatan seperti ini sesungguhnya tidak layak bagi umat Islam selaku umat yang terbaik (khair al-ummah). Umat terbaik mestilah diikat dengan ikatan mabda’ dan akidah Islam, sebuah ikatan yang tidak akan putus selama-lamanya. Umat Islam wajib meninggalkan cara politik pragmatisme ala Barat ini dan kembali kepada jalan siyasah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat yang berasakan wahyu daripada Allah Azza wa Jalla, bukannya berasaskan manfaat.

Wallahu a’lam.