Program Khusus Para ibu Muslimah Anjuran MHTM: “Keluargaku Syurgaku”
Pendaftaran peserta bermula jam 9.30 pagi di mana peserta telah dibekalkan dengan bahan-bahan program. Majlis bermula jam 10.15 pagi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran Surah At-Tahrim dari ayat 6 hingga 8 telah dibacakan oleh Pn Zainab.
Pembentang pertama Ustazah Amani dengan memberi huraian terperinci mengenai tajuk yang merupakan tema program iaitu “Keluargaku Syurgaku” . Para jemputan menghayati maksud seterusnya beriman dengan ayat keenam surah At-Tahrim iaitu,
“ Hai orang-orang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak menderhakai terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.” [TQM at-Tahrim (66): 6]
Seterusnya pembentang menceritakan ciri-ciri calon ahli syurga dan keistimewaan syurga seperti yang dijanjikan Allah melalui Kitab Al-Qur’annya bagi membangkitkan keinginan dan kerinduan kepada syurga dalam kalangan semua yang hadir pada hari tersebut. Pembentukan keluarga menurut Islam dimulai dengan perkahwinan dua insan yang bertaqwa serta bercita-cita melahirkan generasi bertaqwa seperti yang dinyakan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
“Dan orang-orang berkata: ‘Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.’” [TMQ al-Furqan (25): 74]
Rahsia pendidikan anak-anak menurut Luqman Al-Hakim melalui surah Luqman ayat 12 hingga 19 dan tanggungjawab seorang muslimah sebagai hamba Allah, isteri yang menyenangkan, ibu serta anggota masyarakat turut dikupas dan dikongsi bersama audiens. Sebelum mengakhiri pembentangan, kisah tiga tokoh muslimah unggul iaitu Ummu Sulaim binti Milhan, Asma’ binti Abu Bakar dan Al-Khansa’ binti Amru dipaparkan sebagai muhasabah dan motivasi menjadi ibu yang dijanjikan syurga.
Pn Asma’ seterusnya mengendalikan sesi interaksi dengan para jemputan dimulai dengan tayangan video pembunuhan bayi melalui proses pengguguran secara klinikal. Riak wajah mengerikan dan sedih dapat dilihat daripada hadirin yang menyaksikan. Inilah di antara bahana yang menimpa manusia natijah pengabaian syariat Islam termasuklah pergaulan lelaki dan wanita dan penutupan aurat. Generasi kini yang tergamak melakukan pelbagai dosa salah satunya berpunca dari hilangnya pendidikan dari si ibu yang sepatutnya dibina dengan aqidah dan syari’at Islam. Pembentang juga menjelaskan bagaimana peranan Khilafah dalam memastikan syari’at Islam yang Kaffah ini diterapkan. Justeru itu, para ibu dan pelajar-pelajar dari beberapa institusi pengajian yang hadir diseru untuk terus belajar dan mempraktikkan Islam dalam kehidupan.
Keprihatinan peserta terhadap isu yang dibincangkan terserlah apabila mereka mengutarakan beberapa persoalan pada sesi soal jawab. Majlis kemudian diakhiri dengan bacaan doa oleh Puan Khadijah dan majlis bersurai tepat jam 12.30 tengahari.
Di kesempatan ini, MHTM cawangan Batu Pahat, Muar dan Tangkak mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kedua-dua pembentang, AJK, para peserta dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan diskusi program ini. Semoga segala usaha mendapat keredhaan Allah dan diterima sebagai amal kebaikan di sisi-Nya. Wallahu’alam.