Pujian Obama hanyalah penipuan

altObama puji umat Islam
 
WASHINGTON 2 Sept. – Presiden Barack Obama memuji umat Islam di Amerika Syarikat (AS) atas sumbangan mereka memperkayakan budaya negara ini.

Presiden AS itu menyertai Setiausaha-Setiausaha Kabinet, anggota kor diplomatik dan ahli Kongres untuk memberi penghargaan kepada apa yang beliau sifatkan sebagai ‘sebuah agama besar serta komitmennya terhadap keadilan dan kemajuan’.

“Sumbangan umat Islam kepada Amerika terlalu banyak untuk disenaraikan kerana masyarakat Islam begitu terjalin erat dengan struktur komuniti kita dan negara kita,” kata Obama pada satu majlis berbuka puasa di White House malam tadi.

Turut hadir dua anggota Kongres beragama Islam iaitu ahli-ahli Dewan Perwakilan, Keith Ellison dan Andre Carson di samping duta dari negara-negara Islam dan duta Israel ke Washington, Michael Oren.

Obama bercakap tentang seorang lagi tetamu undangan, Bilqis Abdul-Qaadir, yang memecahkan rekod negeri bagi kutipan mata terbanyak dalam sukan bola keranjang sebagai seorang pelajar sekolah tinggi di Massachusetts.

“Sebagai seorang pelajar cemerlang, sebagai seorang atlet yang akan memasuki Universiti Memphis, Bilqis menjadi inspirasi bukan sahaja kepada gadis-gadis Islam tetapi juga kepada kita semua,” kata Presiden itu. – AP

Sumber: Utusan Malaysia 03/09/2009

PUJIAN OBAMA, APAKAH KERANA GENTAR KEPADA KHILAFAH?

Siapa yang tak kenal Obama, Presiden sebuah negara yang memikul ideologi kapitalisme dan menguasai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pengamal kapitalis apatah lagi penegak kapitalis tidak akan pernah menyatu dengan Islam. Malah apa yang akan berlaku adalah sebuah pertembungan yang dahsyat dan tidak akan pernah berhenti sehingga kiamat. Justeru, tidakkah kita merasa pelik dan aneh dengan ucapan terima kasih dan pujian Obama terhadap Islam? Apakah ini satu lagi polemik Obama untuk memadamkan kezaliman mereka terhadap dunia Islam melalui hujanan bom di Iraq dan Afganistan?  Atau apakah ini merupakan manifestasi kegentaran sang presiden terhadap kehadiran Negara Khilafah yang akan mencorakkan dunia dengan Islam? Obama perlu sedar bahawa umat Islam tidak pernah lalai dan leka mengenai masalah ini. Umat Islam tidak mudah di’beli’ dengan kata-kata manis beliau. Lihat saja isu di lembah Swat, umat Islam tidak tertipu dengan polemik Obama bahawa perang ini sebenarnya bukanlah perang antara tentera Pakistan melawan tentera Taliban, tetapi ianya merupakan perang proksi antara Amerika Syarikat (AS) dan Mujahideen Islam. Dalam isu Palestin pula, umat Islam tidak pernah lupa dengan ucapan Presiden AS di Mesir yang dengan tegas menyatakan bahawa negara Yahudi harus tetap wujud di atas tanah yang didudukinya (Palestin) dan dia tidak akan menerima apa pun alternatif selain ini!

Wahai Sang Presiden rejim AS yang hina, umat Islam sentiasa berpegang kepada firman Allah dalam Surah Ali-Imran(3):118:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka suka apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka di mulut-mulut mereka, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah Kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu (mahu) memahaminya”.

Umat Islam tidak akan pernah tertipu  dengan pujian dan sandiwara musuh Allah. Janji Allah pasti akan berlaku. Allah pasti akan memenangkan Islam atas kekufuran dan kata-kata manis Obama tidak akan membawa apa-apa makna ketika itu.