Punca Berleluasanya Rasuah dan Penyelesaian Islam dalam Memutuskan Rantaiannya

Saban hari kita disajikan dengan pelbagai kisah rasuah sehingga boleh dikatakan sudah menjadi santapan biasa di negara ini. Baru-baru ini dilaporkan kes ‘Macau Scam’, dan sindiket perjudian dalam talian yang pelakunya dikatakan membelanjakan antara RM2 hingga RM4 juta sebulan kepada pelbagai pihak demi menutup jenayahnya.

Itulah antara sebahagian kes besar yang dilaporkan, manakala yang tidak terlapor atau tidak dapat dikesan tentu datanya lebih menggerunkan.

Jika diperhatikan, secara umumnya kes rasuah tidak menunjukkan sebarang tanda pengurangan, sebaliknya semakin menjadi-jadi dari semasa ke semasa. Walhal setiap kali pilihanraya umum, slogan membasmi rasuah dan menangani ketirisan menjadi antara slogan utama parti-parti yang bertanding, khususnya parti pemerintah. Tatkala mendapat kuasa, pemerintahannya dipenuhi dengan rasuah, dari sekecil-kecil sampailah sebesar-besarnya!

Malaysia telah mempunyai satu badan untuk mencegah aktiviti rasuah, yang telah dinaiktaraf menjadi sebuah suruhanjaya. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan betapa seriusnya amalan rasuah yang berleluasa di negara ini. Namun, rasuah tidak kunjung kurangnya. Malahan terdapat dakwaan wujud orang dalam yang turut terlibat dalam aktiviti rasuah. Rasuah nampaknya sudah menjadi darah daging bagi sesetengah pihak.

Sesungguhnya, jika diperhatikan, terdapat beberapa faktor yang menyuburkan rasuah di negara ini seperti mana yang mungkin turut terjadi di beberapa buah negara lain:

Pertama: Sistem rosak yang dicorakkan oleh ideologi yang rosak. Lahirnya idea-idea kebebasan dan sikap materialistik dalam kalangan masyarakat mendorong berlakunya rasuah bagi tujuan meraih kekayaan yang sukar dicapai secara jujur. Ini merupakan natijah diterapkan idea kebebasan dan kapitalisme yang membuka pintu-pintu yang memungkinkan terjadinya kemaksiatan. Dalam kapitalisme, antara doktrin utama yang menunjanginya ialah matlamat hidup untuk meraih sebanyak mungkin manfaat tanpa memperhatikan soal halal dan haram, di samping sikap individualistik yang berleluasa dalam masyarakatnya.

Kedua: Kelemahan individu. Terdapat pegawai yang memanfaatkan jawatan dan kekuasaan mereka untuk mengayakan diri dan kroninya. Hal ini berlaku kerana para pegawai tidak menganggap jawatannya itu sebagai amanah, sebaliknya melihatnya sebagai kesempatan untuk menyedut dan mencuri kekayaan daripada perbendaharaan negara, yang sepatutnya digunakan untuk menyantuni dan menguruskan rakyat. Ada juga pegawai yang pada mulanya jujur dan berintegriti, namun setelah hidup dalam persekitaran yang menganggap rasuah sebagai ‘kebiasaan’, maka akhirnya mereka tewas kepada bisikan syaitan dan dorongan hawa nafsu.

Ketiga: Faktor Masyarakat. Persekitaran masyarakat yang menganggap budaya rasuah sebagai perkara biasa dan menjadi satu kelaziman yang dipaksakan ke atas mereka. menyebabkan perkara ini sukar untuk dibendung. Penerimaan masyarakat terhadap budaya rasuah ini, tidak semestinya terjadi dengan kerelaan akibat kejahilan mereka terhadap keharamannya, akan tetapi terdapat segelintir yang memilih untuk bergelumang dalam budaya rasuah ini, sebagai ‘syarat’ yang tidak dapat dielakkan demi ‘survival’ dalam dunia kapitalisme yang penuh persaingan ini.

Keempat: Penguatkuasaan undang-undang  yang lemah. Hukuman dan undang-undang yang ketat sekalipun tidak bererti seandainya tidak disertakan dengan penguatkuasaan yang tegas dan tidak memilih bulu. Namun, tidak dapat dinafikan terdapat pihak yang terlepas daripada penguatkuasaan undang-undang hanya kerana mereka berkuasa atau mempunyai hubungan erat dengan mereka yang berada di tampuk kekuasaan. Umum sudah mengetahui tentang penguatkuasaan undang-undang sekarang yang tajam ke bawah dan tumpul ke atas.

Kelima: Kerenah birokrasi yang merumitkan urusan. Tidak dinafikan kepentingan mempunyai garis panduan dan tatacara dalam melaksanakan sebarang urusan. Namun, adanya tatacara yang tidak efisien dan lambat menyebabkan sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan menawarkan dan menerima ‘duit kopi’ bagi mempercepat urusan. Perkara ini merupakan ‘rahsia terbuka’ yang membarah dalam urusan perkhidmatan awam di negara ini. Walaupun bukan semua pegawai atau penjawat awam yang terlibat dalam amalan keji ini, namun akibat tindakan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab, imej keseluruhan sektor perkhidmatan telah tercalar oleh persepsi buruk ini.

Penyelesaian Islam terhadap rasuah

Hanya dengan penerapan ideologi Islam dalam sistem Islam (Khilafah) yang mampu memutuskan rantaian rasuah yang sudah membarah ini. Dengan penerapan hukum-hukum Islam secara menyeluruh, pintu-pintu rasuah akan tertutup. Antara langkah-langkah dalam membanteras rasuah yang dapat dilaksanakan oleh negara ialah:

Pertama: Meningkatkan ketakwaan para pemerintah, pegawai, dan pelaksana undang-undang, serta umat Islam keseluruhannya. Ini akan membuatkan mereka sedar akan pengawasan Allah (swt) dan menghindari amalan rasuah meskipun tatkala tiada orang lain yang memperhatikan. Mereka hanya takut kepada Allah (swt) dan menyedari bahawa setiap perbuatan mereka akan dihisab di akhirat kelak.

Kedua: Mengaudit kekayaan para pegawai sebelum dan selepas menjabat sesuatu jawatan yang diamanahkan kepadanya. Perkara ini dilakukan dengan tujuan untuk bertabayyun dan mengetahui jumlah kekayaan seseorang pegawai, yang tidak seharusnya melangkaui pendapatannya yang sepatutnya. Melalui langkah ini, secara tidak langsung akan menghilangkan syak wasangka majikannya (pemerintah) mahupun rakyat, kepadanya serta memupuk ketelusan.

Ketiga: Penguatkuasaan hukuman yang tegas dan takzir berat tanpa memilih bulu. Penguatkuasaan hukuman yang tegas akan menjadi ‘deterrent’ (zawajir) yang mampu mencegah dirinya dan mana-mana pihak daripada melakukannya, selain menjadi penebus dosa (jawabir) kepada pelakunya di akhirat. Penekanan bahawa seksa yang pedih di akhirat jika pelakunya tidak dihukum di dunia mampu mendorong pelakunya untuk bertaubat dan menyerah diri. Hal ini tidak wujud dalam sistem yang diterapkan sekarang.

Keempat: Kepimpinan melalui teladan. Umum mengetahui bahawa pemimpin pada hari ini adalah korup, dan merekalah yang menerima rasuah paling besar dalam hierarki ‘kerasuahan’. Atas dasar ini orang bawahan pun turut terikut. Seorang pemimpin seharusnya menunjukkan teladan yang baik kepada orang bawahannya. Contohnya Khalifah Umar Bin Abdul Aziz yang begitu menjaga diri daripada mengambil atau menggunakan harta umat yang bukan menjadi haknya, di mana beliau mematikan lampu di dalam pejabat beliau ketika menerima kedatangan anaknya yang merupakan urusan peribadi dan tiada kaitan dengan urusan negara.

Kelima: Dalam Islam, status para pegawai negara merupakan Ajir (pekerja), sedangkan negara yang di wakili oleh Khalifah atau orang-orang yang diberi autoriti oleh Khalifah (seperti Wali) merupakan Musta’jir (majikan). Hak-hak dan kewajipan di antara Ajir dan Musta’jir di atur melalui akad ijarah (kontrak). Pendapatan yang diterima oleh Ajir di luar daripada gajinya, seperti hadiah, tidak akan dibenarkan kerana merupakan perolehan harta yang diharamkan. Hadiah yang dimaksudkan di sini adalah imbalan yang tidak mungkin akan diperolehi seandainya seseorang itu tidak memegang jawatan yang sedang disandangnya.

Keenam: Ketetapan Islam berhubung tanggungjawab keluarga dalam memenuhi keperluan nafkah, galakan membantu sesama Muslim, dan jaminan keperluan oleh negara. Islam menjamin keperluan asas untuk setiap warganegara (Khilafah), baik Muslim mahupun ahlu zimmah, di samping menyediakan ruang bagi mengembangkan kekayaan sehingga mampu memenuhi keperluan sekunder melalui jalan yang sah dan halal. Di samping itu, masyarakat yang dibina dengan tsaqafah Islam juga pasti tidak akan mengamalkan individualisme yang mengakibatkan seseorang itu terpaksa bertindak mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan saudaranya atau jiran tetangganya. Hal ini sekali gus menghapuskan dorongan untuk terlibat dalam rasuah atas desakan kesempitan hidup seperti yang terjadi dalam sesetengah kes rasuah hari ini.

Demikianlah beberapa langkah dalam memutuskan rantaian rasuah. Pembasmian rasuah hanya dapat kita perolehi apabila diterapkan syariat Islam. Tidak ada aturan lain selain daripada aturan Allah (swt) yang mampu membanteras kejahatan ataupun kemaksiatan yang berleluasa pada hari ini. Manakala syariat Islam pasti tidak akan tertegak kecuali adanya negara (Khilafah) yang akan menegakkannya.

Wallahu a’lam.