Qari Iraq, qariah Malaysia johan Tilawah al-Quran Antarabangsa

 
KUALA LUMPUR 12 Ogos – Qari Iraq, Usama Abdullah dan qariah Malaysia, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman masing-masing muncul johan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-51 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.  Usama yang memperdengarkan Ayat 16 Surah At-Taubah meraih markah 91.96 peratus manakala Sharifah Khasif yang membaca Ayat 51 Surah Al-Anbiya memperoleh 94.75 peratus.  Qari Iran, Jafar Hadi Fardi Aghchay meraih tempat kedua dengan markah 91.92 peratus dan tempat ketiga dimenangi oleh Azhar Darma Djunaidi dari Indonesia dengan 91.71 peratus.  Bagi qariah, peserta Thailand, Natipa Manasia mendapat tempat kedua dengan markah 88.46 peratus manakala Dayang
Nurul Akmalina Yahya dari Brunei memperoleh tempat ketiga dengan 86.21 peratus.   Johan qari dan qariah masing-masing menerima hadiah wang tunai RM14,339, piala, cenderamata dan iringan serta sijil, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima wang tunai RM10,754 dan RM7,169 serta cenderamata dan sijil.   Pertandingan kali ini juga memberikan hadiah sagu hati kepada para peserta berupa wang tunai RM3,584 serta cenderamata dan sijil penyertaan.   Keputusan tilawah diumumkan oleh Pengerusi Jemaah Hakim Tilawah, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz yang juga Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).   Wan Mohd. Sheikh berkata majoriti peserta yang menyertai pertandingan kali ini sudah boleh membaca dengan fasih dari segi sebutan dan taranum.  Menurutnya, bagi peserta lelaki, perbezaan markah begitu tipis dan terdapat empat peserta yang berjaya mendapat markah 90 peratus ke atas.   “Ini jelas menunjukkan persediaan yang rapi telah dilakukan oleh semua peserta sebelum menyertai pertandingan kali ini,” jelasnya.   Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Sultanah Haminah Hamidun berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang pada malam ini.   Turut hadir pada majlis itu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.   Tilawah yang bertemakan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah itu menampilkan 66 peserta mewakili 43 negara melibatkan 42 qari dan 24 qariah.   Majlis yang berlangsung selama tujuh hari itu bermula 5 Ogos lalu dan berakhir semalam.  Penghakiman tilawah dilakukan oleh jemaah hakim yang terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi, setiausaha dan 14 orang hakim yang dilantik oleh Jakim.  Sementara itu, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman, 27, tidak menyangka menjadi johan setelah dua kali mencuba dan menjadi naib johan tahun lalu.   Qariah berdarah kacukan Melayu-Yaman dan berasal dari Ipoh, Perak itu sebelum ini tidak berpuas hati dengan bacaannya pada malam Isnin lalu.  Menurutnya, keinginan untuk terus mencuba merupakan semangat yang diberikan oleh arwah ayahnya yang mahu melihat beliau menjadi johan tilawah peringkat antarabangsa.  “Saya merancang untuk berhenti sebelum umur 30. Tetapi, sebelum berhenti saya akan pastikan ada pelapis yang boleh mengganti saya,” katanya ketika ditemui di sini.   Sharifah Khasif yang menggondol gelaran johan pelbagai peringkat tilawah sejak berusia tujuh tahun berkata, beliau melakukan aktiviti fizikal seperti berenang bagi membantunya mengawal pernafasan.  “Saya juga mengelak daripada mengambil minuman ais dan makanan berminyak bagi menjaga suara,” ujarnya.   Sementara itu, Usama Abdullah bersyukur dengan kejayaannya dan berterima kasih kepada pihak penganjur yang berjaya mengadakan majlis yang penuh gilang gemilang itu.   Katanya, kejayaan ini juga akan menjadi pendorong untuk beliau berusaha lebih gigih memperbaiki bacaan al-Qurannya. “Kejayaan ini merupakan sesuatu yang cukup berharga bukan sahaja untuk diri saya tetapi untuk negara tercinta,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia: 12/08/09

Quran Diturunkan Untuk Apa?

Untuk dipertandingkan setiap tahun? Untuk dibaca sebagai halwa telinga pada majlis-majlis tertentu?  Untuk dipelajari hanya sekadar maklumat semata-mata? Untuk apa sebenarnya al-Quran itu diturunkan? Di sinilah pemahaman yang benar terhadap al-Quran perlu ada di dalam pemikiran setiap dari kita umat Islam hari ini – tidak kiralah samada rakyat biasa mahupun para pemimpin. Setiap dari kita mempunyai kewajiban terhadap al-Quran. Kita wajib mempelajarinya, memahaminya dan melaksanakan isi kandungannya.

Sebagai seorang Muslim kita perlu menyedari bahawa al-Quran yang ada di dalam dada-dada kita, yang tersimpan di rumah-rumah kita dan yang tersusun rapi di masjid-masjid perumahan dan kampung-kampung adalah merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT sebagai petunjuk kepada manusia. ”Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. ” [TMQ  Al Baqarah (2) :185]. Persoalannya kini ialah – apakah kita hari ini, samada pihak individu, masyarakat mahupun negara telah menjadikan al-Quran sebagai petunjuk untuk mengatur kehidupan kita pada hari ini? Dalam konteks individu, mungkin masih ramai umat Islam yang menjadikan al-Quran sebagai petunjuk di dalam kehidupan mereka walaupun  ramai juga yang telah tersasar kehidupan mereka dari petunjuk al-Quran. Namun ini jauh berbeza dengan kehidupan masyarakat dan negara! Faktanya kita dapat melihat bagaimana di kalangan para pemimpin negara yang berkuasa hari ini, mereka tidak lupa menganjurkan pertandingan tilawah setiap tahun, tetapi malangnya mereka lupa dan tidak berusaha malahan sering memberikan alasan yang pelbagai untuk tidak menerapkan isi kandungan ajaran al-Quran yang menjadi kewajiban atas bahu-bahu mereka. Apakah ini sebahagian dari golongan yang diadukan oleh Rasulullah SAW kepada Allah SWT seperti mana yang difirmankan olehNya di dalam al-Quran?

” Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai”. [TMQ  Al Furqaan (25) : 30].

Untuk itu wahai para penguasa umat Islam! Apakah kamu hanya berbangga menjadi penganjur dan pemenang pertandingan tilawah al-Quran, tetapi kamu langsung tidak berusaha untuk  menerapkan al-Quran di dalam kehidupan bernegara pada hari ini sedangkan inilah yang diwajibkan bagi kamu? 

Ingatlah firman Allah SWT ”Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang kafir.  [TMQ Al Maa-idah (5) : 44].

”Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang zalim.  [TMQ Al Maa-idah (5) : 45].

”Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang yang fasik.  [TMQ Al Maa-idah (5) : 47].

Di manakah kedudukan kamu kini wahai para pemimpin negara?