Rafah Terkepung: Ya Allah! Singkirkanlah Pengkhianat Umat Ini Segera
Perhatian dunia sekarang ini tertumpu ke Rafah, yang menjadi sasaran serangan terbaru entiti Yahudi ke atas lebih sejuta rakyat Palestin yang berlindung di situ, yang merupakan kem pelarian terpadat di dunia saat ini.
Video-video mula tersebar di alam maya, termasuklah video seorang ibu yang berada dalam ketakutan bersama anak kecilnya, merayu agar dunia Islam melakukan sesuatu untuk menyelamatkan mereka yang kini terkepung dan tidak ada lagi tempat untuk menyelamatkan diri.
Kaum Muslimin di Rafah kini benar-benar hanya menunggu saat kematian, dan segala seruan, rintihan dan rayuan mereka dilihat serta didengar oleh seluruh dunia. Malangnya, para penguasa Muslim yang jumlahnya lebih daripada 50 orang, apatah lagi penguasa yang berada di sekitar Palestin, yang di tangan mereka ada kekuatan tentera, tetap sahaja membatu, seolah-olah tidak ada apa-apa yang berlaku.
Sesungguhnya tidak ada lagi pengkhianatan terbesar di abad ini kecuali pengkhianatan para penguasa Muslim terhadap Palestin. Mereka menyaksikan pembantaian Palestin di depan mata mereka tetapi mereka tidak berbuat apa-apa. Malah lebih buruk, mereka tetap sahaja menjalin hubungan baik dengan entiti Yahudi si perampas dan pembunuh itu.
Para penguasa inilah yang sebenarnya terus mempertahankan kewujudan entiti Yahudi, malah memberi kekuatan kepada entiti haram tersebut melalui pelbagai bekalan makanan, minyak, peralatan dan sebagainya dengan hubungan dagang yang mereka jalinkan.
Benarlah kata-kata seorang ulama tersohor suatu waktu dahulu bahawa sesungguhnya “Israel” itu merupakan bayangan rejim-rejim Arab, apabila rejim-rejim itu lenyap, maka akan lenyaplah pula bayangannya.
Cuma, kata-kata tersebut kini sudah boleh diperluas kepada rejim Arab dan juga selain Arab, kerana ternyata kini seluruh rejim di dunia Islam sudah menjadi “iron dome” kepada “Israel”.
Walaupun jumlah umat Islam sekarang sekitar 2 bilion berbanding dengan jumlah kaum Yahudi di Palestin sekitar 9.5 juta, namun apabila mereka dipimpin oleh para pengkhianat dan pengecut, maka nasib langsung tidak menyebelahi umat yang mulia ini.
Ini belum dibandingkan lagi jumlah tentera kaum Muslimin dengan jumlah tentera Yahudi, yang beratus kali ganda bezanya. Apa lagi jika “diukur” dari segi keberanian yang mana tentera kaum Muslimin merupakan orang yang terkenal mencintai kematian (syahid) sedangkan tentera Yahudi sangat terkenal dengan orang yang takutkan mati.
Benarlah suatu ungkapan bahawa sejumlah anjing yang dipimpin oleh seekor singa dapat mengalahkan sejumlah singa yang dipimpin oleh seekor anjing. Inilah realiti para pemimpin umat Islam pada hari ini, yang rata-ratanya menjadi “anjing” kepada Barat, hanya tunduk dan patuh kepada tuannya. Mereka setia berkhidmat kepada tuannya, dan tidak akan sesekali melanggar arahan, demi mengharapkan sedikit habuan.
Justeru, seramai mana pun jumlah umat Islam, mereka sudah pasti tidak akan mencapai kemenangan di bawah pemimpin seperti ini.
Sejarah Islam sudah cukup banyak membuktikan bahawa lemah dan hancurnya kekuatan umat Islam dan Negara Islam, adalah kerana pengkhianatan dalaman. Sesungguhnya musuh itu tidak kuat, tetapi kerana pengkhianatan dalamanlah, apatah lagi pengkhianatan oleh golongan yang memegang kekuasaan, maka sekukuh mana pun tubuh umat Islam, akhirnya ia tumbang jua.
Di era moden ini, kita menyaksikan pengkhianatan pemimpin di depan mata kita sendiri, pengkhianatan demi pengkhianatan. Kita menyaksikan terlepasnya Palestin ke tangan Yahudi adalah kerana pengkhianatan. Kita menyaksikan entiti haram Yahudi itu terus wujud dan boleh terus survive, adalah kerana pengkhianatan. Kita menyaksikan tentera Muslim yang diam membisu di saat saudara-saudara mereka dibunuh beramai-ramai, adalah kerana pengkhianatan.
Saat ini pula kita sedang menyaksikan Rafah terkepung dan bermandi barah, kerana apa jika bukan kerana pengkhianatan? Para pemimpin telah mengkhianati amanah kepimpinan yang Allah letakkan di bahu mereka.
Berbalik kepada kata-kata ulama tersohor di atas, maka untuk kita membebaskan Palestin dan sekali gus mengalahkan entiti Yahudi yang rapuh itu, tidak lain tidak bukan caranya ialah dengan melenyapkan para pengkhianat tersebut.
Usaha yang bersungguh-sungguh dan syarie wajib dilakukan walaupun sukar, memakan masa dan memerlukan pengorbanan yang luar biasa untuk melenyapkan golongan pengkhianat yang berkuasa. Di samping berusaha, kita hendaklah senantiasa panjatkan doa kepada Allah Yang Maha Kuasa agar menyingkirkan para pemimpin yang khianat dan bacul ini, dan menggantikannya dengan pemimpin yang amanah, berani, ikhlas, bertakwa, yang selayaknya, yang sayangkan umat ini, dan umat ini menyayanginya.
Wallahu a’lam.