“Rakan Baik” Bagi Musuh Allah
MARYLAND: Bekas ketua Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA), Jeneral Michael Haydenr memuji kerjasama yang diberi Presiden Libya, Muammar Gaddafi dan menyifatkan kejatuhan rejim itu bakal menyukarkan kepentingan Amerika Syarikat dalam tempoh pendek.
Hayden yang kini bersara, mengetuai CIA mulai 2006 hingga 2009 ketika pentadbiran Presiden George W Bush, berkata kejatuhan Syria juga boleh membantu perisikan Amerika Syarikat tetapi dalam bidang tertentu sahaja.
Bercakap dalam sidang akhbar di Marine Corps University, Hayden berkata CIA pernah bekerja dengan baik bersama Gaddafi dan Mussa Kussa, Menteri Luar Libya.
“Sama ada anda fikir mengenai Gaddafi atau Mussa Kussa… mereka adalah baik dan rakan yang baik dalam memberikan kerjasama membanteras pengganas,” katanya.
Hayden berkata, Presiden Syria, Bashar al-Assad juga ‘rakan yang agak baik’ ketika menentang militan Islam tetapi beliau menyokong puak radikal Syiah.
Namun Hayden mendakwa, gelombang kebangkitan yang sedang berlaku di dunia Arab sebenarnya memberi manfaat kepada Amerika untuk tempoh masa panjang dengan perubahan dinamik di rantau itu. – AFP
Sumber : Berita Harian 27/04/2011
“Rakan Baik” Bagi Musuh Allah
Pengkhianatan pemimpin umat Islam dalam menekan serta menindas umat sedikit demi sedikit terbongkar. Ia malahan suatu yang tidak perlu di bongkar lagi lantaran ia keluar dari mulut- mulut “rakan” mereka sendiri. Sebelum ini, pendedahan Wikileaks telah memaparkan ramai pemimpin umat Islam yang nyata merupakan tali barut dan penyembah Barat. Mereka lebih suka berurusan serta mengikut telunjuk Barat dalam menindas umat Islam dan bersekongkol dengan Barat berbanding menurut tuntutan Islam dalam kepemimpinan. Yang jelas, setelah para pemimpin ini tidak diperlukan lagi, mereka akan dicampak oleh “rakan” mereka dengan mudah dan penuh kehinaan. Apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir telah membuktikan perkara ini, malah perkara yang sama mungkin akan turut berlaku di Libya dan Syria.
Apa yang jelas, melalui pendedahan oleh bekas Agensi Perisikan Pusat Amerika ini, umat seharusnya faham bahawa segala polisi luar Amerika Syarikat selama ini hanya menjurus kepada kepentingan strategik mereka. Hatta dalam menangani sebarang isu kemanusiaan sekalipun, mereka tetap akan menyelitkan seberapa banyak manfaat yang boleh mereka raih. Sebagai pengamal, penjaga serta pengembang ideologi Kapitalis, keuntungan material serta manfaat yang akan diperoleh adalah matlamat utama untuk mereka capai. Islam telah mengharamkan sebarang tindakan yang meletakkan urusan umat Islam di tangan kaum kuffar. Tindakan para pemimpin umat Islam yang bersekongkol dengan Barat dalam memerangi umat Islam adalah bertentangan dengan firman Allah ini.
“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menjadikan orang-orang Yahudi dan Nasrani sebagai wali bagimu, sebahagian mereka adalah wali bagi sebahagian yang lain. Barang siapa di antara kamu mengambil mereka sebagai wali, maka sesungguhnya dia termasuk golongan mereka” [TMQ al-Ma’idah (5):51].
Nyata, sungguh berat celaan yang Allah hamburkan ke atas mereka dengan menyamakan mereka (pemimpin umat Islam yang khianat) dengan kaum Yahudi dan Nasrani. Oleh itu, pemimpin seperti ini haruslah diganti dengan seorang Khalifah kaum Muslimin yang ikhlas melaksanakan seluruh hukum-hakam Islam dalam pemerintahan. Marilah kita semua mengorak langkah menuju kepada perubahan yang sebenar dengan mengembalikan kehidupan Islam dan Khilafah, serta mencampak jauh-jauh para pemimpin yang khianat ini ke lembaran sejarah dalam keadaan yang penuh penghinaan. Wallahu a’lam.