Ramadhan 1437: Madrasah takwa yang tidak seharusnya dicemari dengan perkara melalaikan

Gambar Min Muqawwimat 040616Alhamdulillah, kita masih berkesempatan untuk sekali lagi menyambut Ramadhan yang penuh berkat.Bulan yang dirindui dan dinanti-nantikan oleh setiap insan yang bertakwa di mana dalam bulan inilah, kita dapat lihat semaraknya amalan-amalan ruhiyaholeh umat Islam di merata tempat, khususnya di malam hari.Pendek kata, kita sentiasa dapat menyaksikan dan merasakan kelainan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain dari aspek amalan dan aktiviti umat Islam.

Ketaranya perubahan umat Islam di bulan Ramadhan sehingga banyak pihak menggelarkan bulan yang dilalui ini sebagai ‘madrasah’ Ramadhan. Tatkala melalui madrasah ini, seorang Muslim memang dilihat lebih baik berbanding bulan-bulan sebelumnya, khususnya dari segi ibadah mahdhah dan juga akhlaknya. Jika selama ini seseorang itu mungkin tidak pernah atau sangat jarang ke masjid menunaikan solat wajib, namun di bulan ini, masjid dipenuhi dengan mereka yang ingin menunaikan solat sunat (tarawih). Itulah antara kehebatan madrasah Ramadhan yang dapat kita saksikan. Namun sayangnya momentum yang terbina ini seringkali terhenti tatkala masuknya 1 Syawal. Atas dasar inilah munculnya istilah “Muslim Ramadhan” kerana ternyata “keMuslimannya” itu hanya terlihat di bulan Ramadhan. Bila masuk bulan Syawal sahaja, maka masjid terus dilupakan dan ramai yang kembali kepada perangai asal masing-masing.

Pada tahun ini, dalam kegembiraan umat Islam mengimarahkan Ramadhan, buat kesekian kalinya umat Islam “diganggu” dengan perkara lagha(sia-sia) yang boleh menjauhkannya daripada mengingati Allah dan mengingati penderitaan saudara-saudaranya yang lain.Ramadhan tahun ini “dicemari” dengan Pertandingan Bola Sepak Piala Eropah yang menyaksikan 24 buah negara bertarung untuk merebut piala berprestij tersebut. Walaupun siaran langsung perlawanan dijangka berlaku di sepertiga malam di waktu setiap orang sedang enak tidur, namun “godaan” perlawanan biasanya berjaya meluluh lantakkan jiwa setiap peminat bola sepak yang pastinya akan bangun kerana tidak sanggup melepaskannya. Inilah fenomena biasa yang terjadi dalam kalangan umat Islam setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak di bulan Ramadhan. Lebih menyedihkan, kebelakangan ini sudah banyak restoran yang menyiarkannya di layar besar secara terbuka, yang mengundang ratusan penggemar sukan tersebut untuk menontonnyasecara “berjamaah” kerana ingin merasa keseronokan bersorak-sorai umpama berada dalam stadium.

Walaupun Islam tidak melarang aktiviti riadah dan hiburan yang tidak bertentangan dengan syarak, namun umat Islam sepatutnya menjauhi aktiviti yang sia-sia yang tidak mendatangkan manfaat baik untuk diri sendiri mahupun untuk umat. Ramai ulama yang sering menasihati umat Islam agar meninggalkan perkara-perkara lagha (melalaikan) dan sia-sia. Sebagai Muslim yang sentiasa mencari keampunan dan keredhaan Allah SWT, apatah lagi di bulan Ramadhan, kita tidak seharusnya terpengaruh dengan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat untuk kita baik didunia mahupun akhirat. Alangkah baiknya jika masa tersebut diisi dengan amalan-amalan yang boleh mendatangkan pahala dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sesungguhnya kita wajib bersyukur kerana telah diberi peluang oleh Allah SWT untuk bertemu dengan Ramadhan pada tahun ini. Maka sudah sewajarnya kesyukuran kita itu diterjemahkan ke dalam bentuk (dengan melakukan) amalan-amalan yang dicintai oleh Allah dan RasulNya. Apatah lagi di bulan yang penuh dengan kemuliaan dan kebaikan ini, yang seharusnya setiap dari kita melipat gandakan lagi usaha untuk mencari pahala dan menjauhi perkara-perkara yang sia-sia.

Tidak dapat dinafikan bahawa perlawanan bola sepak sememangnya akan melarikan ingatan atau perhatian setiap penontonnya daripada mengingati hal lain, apatah lagi jika secara beramai-ramai terjerit-pekik dan bersorak-sorai meraikan gol yang berjaya dijaringkan oleh pasukan yang diminati. Walhal di saat yang sama umat Islam di Fallujah, Aleppo, Gaza, Myanmar dan lain-lain sedang berhadapan dengan musuh, kekurangan makanan, kekurangan bekalan air bersih dan dalam keadaan nyawa yang sentiasa terancam. Kegembiraan menyaksikan perlawanan bola sepak sudah pasti menghilangkan perasaan “tubuh yang satu” yang sepatutnya ada pada setiap Muslim, yang mana apabila satu anggota merasa sakit, seluruh anggota akan turut merasa sakit. Tiada lagi perasaan ini tatkala perlawanan bola sepak ada di hadapan mata!

Justeru, alangkah baiknya jika umat Islam mengatakan “Tidak” pada perlawanan bola sepak Piala Eropah pada Ramadhan tahun ini, sekali gus menghantar mesej kepada kuffar Barat bahawa umat Islam tidak dapat dilalaikan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah yang dihidangkan oleh Barat!

Semoga Ramadhan tahun ini menjadikan setiap Muslim lebih baik berbanding sebelumnya dan momentum kebaikannya berpanjangan sehingga ke tahun hadapan dan tahun-tahun seterusnya. Kita juga mendoakan agar Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan yang terakhir umat Islam berpuasa tanpa kesatuan negara dan Insya Allah semoga Ramadhan yang akan datang akan disambut oleh umat Islam di bawah kesatuan Negara Khilafahal-Rasyidah ala minhaj nubuwwah.

Wallahua’lam.