Ramadhan dalam Suasana Baru: Bersedia atau Bersedih ya?
Oleh : Iman Farhana (Aktivis Muslimah HTM)
Apabila tiba penghujung Ramadhan hati setiap muslim menjadi sayu dan berdoa agar ditemukan lagi dengan Ramadhan tahun berikutnya. Panjatkanlah kesyukuran kepada Yang Esa, atas nikmat yang diberikan, dipertemukan lagi dengan Ramadhan tahun ini. Ahlan wa sahlan ya Ramadhan, bulan barakah, bulan penyucian jiwa.
Bezanya kali ini, Ramadhan disambut dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan 210 buah negara di seluruh dunia sedang bertarung dengan pandemik COVID-19 termasuklah Malaysia. Malaysia sudah melalui beberapa fasa PKP bermula dari 18 Mac 2020 sebagai usaha untuk memutuskan rantaian COVID-19. Usaha keras pelbagai pihak terutamanya frontliner wajar dihargai dan dipuji. Setiap dari individu ada peranan masing-masing dalam memastikan kejayaan untuk memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini.
Sebagai muslim, tindakan dan keputusan yang diambil haruslah berlandaskan syariat Islam sama ada di pihak individu mahupun pemerintah. Antara dalil yang masyhur tentang langkah pencegahan wabak ialah tindakan Saidina Umar RA yang membatalkan lawatan rasminya ke Syam.
Ibn Hajar menceritakan kisah ini di Fathu al-Barri bahawa Umar RA keluar ke Syam, ketika dia tiba di Syargh, datang kepadanya berita wabak berlaku di Syam. Kemudian Abdurrahman bin ‘Auf memberitahunya bahawa Rasulullah bersabda,
“Apabila anda mendengar wabak di sebuah negara, jangan pergi ke negeri itu. Dan jika wabak itu menular di negara tempat anda berada, maka jangan tinggalkan negara ini kerana anda ingin melarikan diri”.
Sekiranya individu yang disyaki dijangkiti wabak sengaja tidak mengasingkan dirinya, maka dia sepatutnya ingat pada pesan Rasulullah SAW ini. Sikap sebahagian masyarakat yang mementingkan diri sememangnya bertentangan dengan hadis Rasulullah SAW,
“Tidak boleh melakukan perbuatan yang mudarat dan dan tidak boleh memudaratkan orang lain”. [HR Ibnu Majah]
Masyarakat harus berubah menjadi muslim yang lebih baik. Oleh itu, Ramadhan kali ini haruslah dimanfaatkan sebaiknya walaupun pasti berbeza daripada Ramadhan tahun-tahun yang lalu. Seharusnya kelainan Ramadhan tahun ini disambut dengan rasa penuh keinsafan dan ketundukan kepada Allah SWT. Hati-hati yang telah lama dibuai dengan kelalaian dari mengingati Allah seharusnya disedarkan. Di sebalik musibah ini mungkin ada peringatan yang hendak disampaikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya agar mereka menyedari kesalahan yang telah dilakukan dan segera kembali ke jalanNya.
Allah berfirman,yang bermaksud: “Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut yang disebabkan oleh tindakan tangan manusia, sehingga Allah merasakan kepada mereka beberapa hasil tindakan mereka, sehingga mereka kembali (ke jalan yang benar). [TMQ Ar-Rum (30):41]
Ramadan kali ini sepatutnya dijadikan sebagai ‘self-reflection’, di mana ianya lebih berkesan apabila dilakukan secara menyendiri. Ingatlah kisah Nabi Yunus bertaubat apabila terpenjara dalam perut ikan paus selama 40 hari, Rasulullah menerima wahyu ketika ber’uzlah di gua Hira. Ini menunjukkan bahawa kesedaran, ketundukan dan keinsafan lebih mudah timbul apabila seseorang itu bersendirian dan tidak ada gangguan luar. Oleh yang demikian Ramadhan kali ini mampu membuatkan seseorang muslim itu lebih fokus kepada memperbaiki jiwa dan bukannya melayan nafsu fizikal.
Muhasabahlah diri sendiri yang selama ini bersesak di Bazar Ramadan, diri yang selama ini duduk menunggu waktu berbuka tanpa pengisian doa dan bacaan al-Qur’an mahupun berzikir, diri yang terpedaya dengan Buffet Ramadan di hotel-hotel mewah, diri yang solat tarawih tidak ikhlas dek kerana ingin menunjuk dalam beribadah, diri yang sentiasa sibuk dengan persiapan hari raya dan banyak lagi ruang-ruang pahala di bulan Ramadhan yang dilepaskan semata-mata kerana memenuhi kehidupan materialistik yang tidak bertepi.
Ambillah peluang dari kelainan Ramadhan kali ini untuk kembali kepada fitrah. Ramadhan lah masa yang paling sesuai untuk amalkan cara hidup sunnah, makan secara minima, solat tepat pada waktunya, membaca al-Quran, berzikir dan perbanyakkan doa. Sesungguhnya pandemik covid-19 ini adalah ‘reset’ button untuk mengingatkan manusia tentang kemanusiaan dan mengembalikan manusia kepada asas fitrah. Jadikan Ramadhan kali ini penuh makna kerana pengharapan dan pergantungan setiap muslim itu seharusnya hanyalah pada Allah SWT. Gunakanlah peluang Ramadhan ini untuk memohon ampun dari Allah SWT atas segala kelalaian.
Allah SWT berfirman, “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertaqwa”.[TMQ Ali-Imran(3); 133].
Wahai kaum muslim, ingatlah Allah Maha Berkuasa dan hanya Dia yang mampu untuk menghentikan wabak COVID-19. Berdoalah dengan penuh kusyuk dan rendah hati agar segala wabak ini berakhir. Persiapkanlah mental untuk merebut segala kemuliaan yang ada dalam bulan Ramadhan. Usah bersedih kerana tidak boleh berterawih di masjid kerana nilai Ramadhan bukanlah semata-mata berada di masjid tetapi kembali kepada Allah dan taat kepada suruhan dan laranganNya adalah lebih utama.
Wallahu’alam