Ramadhan gagal sedarkan pemerintah
Tahun ini mungkin merupakan Ramadhan yang paling istimewa buat Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang merupakan Ramadhan pertama buat beliau menerajui Malaysia, setelah sekian lama mengidam-idamkan jawatan nombor satu negara tersebut.
Bagi rakyat Malaysia, khususnya para penyokong Perdana Menteri ke-10 itu, sekarang sudah dapat menilai sejauh mana “kehebatan” beliau dalam membentuk Malaysia mengikut acuan perjuangannya sejak era reformasi.
Walaupun baru empat bulan memerintah, bagi yang celik politik sebenarnya sudah nampak sepak terajang ikon reformasi itu dalam menerajui negara, sudah nampak apa dan siapa yang dipertahankannya dalam menjaga kepentingan pemerintahannya, sudah nampak segala “cakap tak serupa bikin”nya, dan sudah nampak ke mana hala tujunya yang berselubung konsep Malaysia Madaninya.
Dalam perkembangan mutakhir ini, rakyat dihidangkan dengan kes-kes seteru politiknya yang terpaksa naik turun mahkamah untuk menjawab pertuduhan-pertuduhan yang dikemukakan, manakala sekutu politiknya pula mendapatkan kelegaan daripada keputusan mahkamah dengan kes yang dihadapi sejak era pemerintahan yang lepas.
Umum mengetahui bahawa siapa pun yang memegang jawatan Perdana Menteri, yang merupakan jawatan yang paling “berkuasa” di Malaysia, sungguh amat mudah untuk dia menjatuhkan kesemua lawannya, atau menyelamatkan kesemua kawannya. Hal ini sudah menjadi lumrah bagi orang yang berkuasa, dan menjadi hal yang paling ditakuti oleh orang yang kehilangan kuasa.
Setiap Perdana Menteri baru akan mengetahui kesemua rekod mengenai segala projek, dana, keluar masuk wang dan sebagainya yang dilakukan oleh orang-orang sebelumnya. Semua maklumat dapat diakses dengan mudah apabila kuasa sudah ada di tangan. Jadi, tinggal persoalan siapa yang ingin dijatuhkan dan siapa yang ingin diangkat sahaja.
Begitulah pentingnya kuasa dalam politik demokrasi, yang memberikan ruang dan peluang seluas-luasnya kepada orang yang memegangnya untuk melakukan apa sahaja sekehendak hatinya, dan inilah apa yang biasa mereka lakukan, seolah-olah mereka tidak akan pernah jatuh!
Setiap orang yang berkuasa dalam sistem demokrasi hanya berusaha keras untuk mempertahankan kerusinya walau dengan apa cara sekali pun. Mereka tidak pernah berfikir apatah lagi berusaha untuk menunaikan amanah kekuasaan yang Allah letakkan di bahu mereka. Apakah amanah itu? Amanah apa lagi jika bukan untuk menerapkan hukum Allah secara kaffah?
Malaysia masih terbelenggu dengan sistem dan undang-undang daripada kafir penjajah, dan para pemimpin inilah yang mempertahankannya, walaupun penjajah telah keluar daripada negara. Negara ini jelas merupakan sebuah negara sekular yang mengagung-agungkan Perlembagaan yang diberi oleh penjajah, manakala hukum-hukum daripada Kitabullah dicampakkan begitu sahaja oleh para pemerintah Malaysia sejak dahulu..
Sudah berlalu sembilan orang Perdana Menteri di Malaysia, dan kita menyaksikan apa yang penting bagi mereka ialah menjaga kerusi semata-mata, bukannya menerapkan hukum Allah. Mereka tidak pernah sedar akan amanah dan kewajipan mereka, walaupun sudah berlalu beberapa Ramadhan di sepanjang pemerintahan mereka.
Ternyata, madrasah Ramadhan yang mereka lalui tidak pernah menyedarkan mereka mengenai amanah dan kewajipan terbesar mereka kepada Allah yakni menerapkan hukum-Nya secara kaffah, walaupun mereka berhaji dan berumrah, dan walaupun sebahagian mereka berpeluang memasuki ka’abah sekalipun!
Mereka juga tidak pernah mengambil pelajaran bahawa Allah (swt) boleh menjatuhkan mereka pada bila-bila masa, dan bahawa Dia telah menghinakan para pendahulu mereka dengan bermacam kehinaan semasa di dunia lagi, atas sebab kederhakaan mereka terhadap-Nya dengan tidak menerapkan hukum-hukum-Nya. Mereka fikir bahawa kekuasaan itu merupakan “barang” duniawi yang sangat bernilai dan boleh dibawa masuk ke liang lahad bersama mereka.
Bagi umat Islam yang ingin melihat hukum Allah kembali ditegakkan sebagaimana dahulunya, maka tidak ada cara lain kecuali menolak kesemua pemimpin yang menolak hukum Allah yang ada pada hari ini, dan berusaha untuk menegakkan kembali Khilafah dengan membaiah seorang Khalifah yang akan menerapkan keseluruhan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Wallahu a’lam.