Rasulullah SAW Sebagai Suri Teladan Dalam Menegakkan Daulah Islam

Oleh : Noor Nadzri

Apabila bangun dari tidur, pastinya seorang hamba akan berdoa dan mengucap syukur atas nikmat hayat dan sihat. Di kala fajar mula menyingsing, si hamba akan solat dan berdoa memuji Rabb sekalian alam, mensyukuri nikmat iman dan Islam yang dikecapi dan diberi kesempatan beribadah tanda taat pada perintah-Nya. Begitulah Islam mengatur hubungan seorang hamba dengan Rabbnya, Allah SWT.

Namun, di sisi yang lain, masih terlalu banyak hamba-hamba yang tidak tunduk patuh akan perintah Rabbnya. Masih ramai yang tidak menutup aurat dengan sempurna, wanita bersolek dan bertata rias menampakkan kecantikannya serta bebasnya pergaulan muda mudi masa kini. Kes pembuangan bayi pula dilaporkan hampir setiap minggu. Inilah realiti kehidupan masyarakat hari ini.

Daripada sudut ekonomi pula, pandemik Covid-19 begitu memberi kesan sehingga ramai yang telah kehilangan pekerjaan hingga terpaksa mencari alternatif melakukan sesuatu demi meneruskan kelangsungan hidup. Bagi yang terikat dengan pinjaman bank, ia menambahkan lagi keperitan membayar hutang dengan kadar faedah yang tinggi. Ramai individu mengalami stress dan kebimbangan yang melampau sehingga mengakibatkan peningkatan kes penderaan domestik dan keruntuhan rumahtangga. Kemerosotan ekonomi ini terus menerus menekan kehidupan masyarakat daripada pelbagai sudut.

Bagi yang mengamati realiti serta mengambil berat urusan masyarakat, pastinya tertanya tanya sampai bilakah segala masalah ini akan membelenggu kehidupan umat. Adakah tiada penyelesaian bagi segala masalah ini sehingga masyarakat hanya perlu redha dan tabah menghadapinya?

Islam yang Dilupakan

Rata-rata umat Islam mengetahui bahawa Islam adalah agama dan ideologi yang menyeluruh dan sempurna. Islam mengatur seluruh aspek kehidupan manusia. Namun, realiti hari ini menunjukkan syariat Islam hanya tinggal sekadar teori. Ia tidak diterapkan dalam kehidupan manusia secara sempurna sehingga tidak mampu menyelesaikan masalah kehidupan manusia.

Ketahuilah bahawa Islam pernah dilaksanakan dalam sebuah institusi pemerintahan dan politik. Kelangsungan Islam sebagai petunjuk dan penyelesaian masalah kehidupan manusia telah terbukti hampir 1300 tahun lamanya.  Ini kerana baginda Nabi Muhammad SAW telah menegakkan sebuah negara Islam di Madinah dan menerapkan seluruh syariat Islam. Syariat yang diterapkan baginda adalah syariat yang bukan sekadar mengatur aspek ibadah semata-mata, malah aspek kenegaraan meliputi ekonomi, sosial, politik, perundangan, polisi luar negara dan sebagainya. Setelah kewafatan baginda, kepimpinan politik Daulah Islam ini diteruskan oleh para Khulafa ar-Rasyidin dan seterusnya para khalifah sepanjang era Khilafah Umaiyah, Khilafah ‘Abbasiyah dan Khilafah Uthmaniyah sebelum ianya berakhir di tangan musuh Islam pada 3 Mac 1924.

Khilafah adalah sebuah sistem yang meneruskan kepimpinan Rasulullah SAW dalam menerapkan seluruh hukum Islam dalam naungan sebuah negara. Namun dengan kejayaan propaganda Barat dan musuh-musuh Islam, Khilafah; sebagai sebuah sistem pemerintahan yang terbaik, diwahyukan Allah SWT didakwa dengan pelbagai label, malah dimomokkan sebagai pemecahbelah kesatuan umat dan membahayakan sistem Demokrasi. Seruan kepada tegaknya Khilafah disinonimkan dengan kesesatan, difitnah sedemikian rupa dan dinista serta diremehkan lebih buruk berbanding Demokrasi acuan penjajah. Naudzubillahi min dzalik! Begitulah kejamnya label dan fitnah terhadap ajaran Islam. Umat Islam sendiri takut, fobia dan kehilangan izzahnya pada pemerintahan Islam yang mulia.

Ketiadaan Khilafah juga mengakibatkan musuh-musuh Islam ini menghina kepercayaan suci umat Islam tanpa mendapat sebarang reaksi balas dari mana-mana negara. Hakikatnya Khilafah itu ibarat perisai bagi mempertahankan seluruh umat Islam dari pihak kuffar.  Rasulullah SAW bersabda,

“Dan sesungguhnya Imam itu perisai dibelakang orang –orang yang berperang dan dia melindungi mereka.” [HR Muslim]

Kini, Islam berada dalam keadaan sepertimana yang pernah diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya,

“Pasti akan dileraikan ikatan/simpulan Islam, satu persatu. Maka setiap kali terlerainya satu simpulan, manusia bergantung ke simpulan yang berikutnya, dan simpulan pertama yang dirungkaikan ialah al-Hukmu dan yang akhir sekali ialah Solat.” [HR Imam Ahmad]

Cara untuk Mengembalikan Semula Daulah Islamiyah

Mendirikan Daulah Islamiyah adalah satu kewajipan dan setiap Muslim harus merujuk kepada syariah untuk melaksanakannya. Allah SWT telah memerintahkan setiap Muslim agar berusaha untuk mendirikan Daulah Islamiyah dengan memberikan satu metodologi yang jelas sepertimana ditunjukkan dalam sirah Rasulullah SAW. Semasa di Mekah, hukum yang diterapkan oleh pembesar Quraisy adalah hukum kufur. Kemudian, hukum Islam diterapkan setelah tertegaknya Daulah Islam di Madinah.  Oleh itu, dalam usaha untuk mendirikan Daulah Islam gerakan Islam perlu mengikuti contoh yang telah ditunjukkan oleh suri teladan kita iaitu Rasulullah SAW.

Allah SWT telah memerintahkan agar ada satu kumpulan dalam kalangan umat Islam dibentuk untuk  melaksanakan dakwah dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Allah SWT berfirman,

“Dan hendaklah ada diantara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari   yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung”.   [TMQ Ali’ Imran (3):104]

Ayat di atas secara amnya merujuk kepada fungsi kelompok (parti) untuk mengajak manusia kepada Islam, menyeru kepada kemakrufan dan mencegah kemungkaran. Untuk melakukannya, jalan yang ditempuh oleh Rasulullah SAW wajib dijadikan teladan.

i) Fasa Pembinaan Individu (Tatsqif)

Rasulullah SAW telah menyebarkan Islam kepada masyarakat setempat dan berjaya membina keimanan dalam jiwa orang-orang yang menerima Islam.  Rasulullah SAW membina parti politiknya dalam kalangan orang-orang yang telah menerima Islam.  Mereka dikenali sebagai Sahabat (RA), iaitu pengikut Rasulullah SAW yang dibimbing dan dibentuk dengan pemikiran Islam.

ii) Fasa Berinteraksi dengan Umat (Al-Tafa’ul ma al Ummah)

Ketika fasa ini, Rasulullah SAW bersemuka dengan dengan masyarakat Quraisy mengenai sembahan-sembahan, kepercayaan-kepercayaan dan pemikiran mereka.  Baginda diwahyukan dengan ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan hal-hal ini.  Kelompok sahabat Rasulullah SAW ini mengutuk perbuatan masyarakat Quraisy yang mengambil riba, menanam anak-anak perempuan hidup-hidup, menipu sukatan dan berzina. Selain daripada itu, banyak ayat-ayat al-Quran diturunkan, menempelak pemimpin-pemimpin Quraisy dan membongkar konspirasi mereka menentang dakwah baginda dan para sahabat. Pada tahap ini jugalah, Rasulullah SAW meminta pertolongan (nusrah) dengan mendatangi kabilah-kabilah meminta bantuan fizikal dan material dalam usaha mendirikan Daulah Islamiyah.

iii) Fasa Pengambil-alihan Kekuasaan (Istimal Hukmi)

Setelah Rasulullah SAW menerima nusrah (pertolongan) daripada kabilah Aus dan Khazraj yang datang dari Madinah, maka terbinalah Daulah Islam di sana dan baginda sendiri yang menjadi Ketua Negara. Setelah meraih kekuasaan, Rasulullah tidak lagi berlengah dalam melaksanakan hukum hukum Allah dalam kehidupan masyarakat Madinah walaupun hakikatnya masyarakat Madinah juga terdiri daripada orang-orang kafir. Hukum Allah diterapkan secara adil terhadap setiap individu dan mereka semua merasakan kesejahteraan hidup dalam naungan Islam.

Khatimah

Sesungguhnya kembalinya semula Daulah Islam seperti Madinah telah dijanjikan Allah SWT dan  dikhabarkan oleh Rasulullah SAW dalam bisyarah hadis baginda:

“…Kemudian akan tegaknya khilafah di atas manhaj kenabian…” [HR Imam Ahmad]

Sungguh umat rindu akan Khilafah sebagai satu-satunya institusi politik yang menerapkan Islam.  Khilafahlah tempat bernaung umat Islam. Umat Islam harus segera mengkaji dan mengukuhkan iman dengan membersihkan pemikiran dan pemahaman yang keliru tentang hakikat kehidupan dan Islam itu sendiri. Umat Islam harus segera membuang debu-debu ajaran sekular liberal yang bertentangan dengan ideologi Islam.

Umat Islam harus sedar, Islam dalam wadah ideologi sekular liberal tidak akan mampu menampilkan kehebatan dan kemuliaan Islam. Sistem Khilafahlah yang akan menyelamat dan menyatukan umat dari pelbagai suku, bangsa dan agama dalam kesatuan aturan Pencipta yang Maha Kuasa, Allah SWT.

 

Rujukan:

  1. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/04/674919/covid-19-kira-kira-78372-responden-hilang-pekerjaan
  2. https://mykhilafah.com/peranan-muslimah-dalam-mendirikan-kembali-daulah-khilafah-bab-3-daulah-islam-satu-kewajipan/
  3. https://mykhilafah.com/sn005-hijrah-sebagai-kesinambungan-tahapan-dakwah-rasulullah-saw-dalam-mendirikan-daulah-islam/
  4. https://mykhilafah.com/ceramah-htm-perjelas-jalan-rasulullah-tegakkan-negara-islam/