Realiti Tentera Malaysia Mendukacitakan

Cepat kaya: Tentera paling ramai sertai

KUALA LUMPUR 22 Sept. – Anggota pasukan keselamatan negara antara golongan paling ramai menyertai skim pelaburan cepat kaya kerana mendakwa gaji yang diterima tidak mencukupi.  Penasihat Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, menerusi laporan dan aduan diterima pihaknya, golongan tersebut cenderung melaburkan wang ke sebuah syarikat pelaburan kereta sewa di sini.   Katanya, bagaimanapun syarikat tersebut yang tidak mempunyai lesen untuk beroperasi hanya bertahan kurang daripada lima tahun ekoran pihak berkuasa pantas menghidu sindiket penipuan mereka.  “Apa yang menyedihkan, sejak syarikat tersebut didakwa atas kesalahan tidak memiliki lesen, semua anggota keselamatan yang melabur sehingga mencecah ribuan ringgit sehingga kini menjadi mangsa buruan ah long. 

“Mereka meminjam dari ah long bagi menyara kehidupan keluarga ekoran wang simpanan habis digunakan selain gaji dipotong setiap bulan untuk pelaburan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.   Ahmad Zaki berkata, bentuk skim pelaburan yang diperkenalkan oleh syarikat berkenaan ialah skim pelaburan kereta sewa dengan pelabur perlu melaburkan wang mereka sekurang-kurangnya 30 peratus daripada harga sesebuah kenderaan yang ingin dibeli.    Jelasnya, apabila para pelabur telah membeli mana-mana kenderaan dengan cara pelaburan bersama, kenderaan itu akan dikendalikan oleh syarikat berkenaan sebagai kenderaan angkutan untuk para pelancong.   “Hasil penyewaan kenderaan kepada syarikat-syarikat pelancongan yang dijalankan oleh syarikat pelaburan itu kononnya diberikan kepada pelabur atau pemilik kenderaan.   “Para pelabur yang hampir keseluruhannya terdiri daripada anggota keselamatan bagaimanapun mengakui menerima hasil masing-masing tetapi hanya untuk tempoh tiga tahun pertama,” kata beliau.    Beliau berkata, sindiket syarikat tersebut mula dikesan ketika negara gempar dengan kes skim cepat kaya tanpa lesen dengan menahan kira-kira lima syarikat dan salah satunya adalah syarikat pelaburan itu.    Kini, katanya, syarikat tersebut masih disiasat dan jika didapati bersalah akan dikenakan tindakan sewajarnya.   “Tetapi bagaimana dengan nasib anggota-anggota keselamatan yang terperangkap, sehingga kini tiada pihak boleh membantu dan selesaikan masalah mereka,” ujarnya.   Justeru, Ahmad Zaki berkata, pihaknya merayu pihak-pihak yang berkaitan untuk memberi peluang kepada para anggota keselamatan melabur dalam skim khas pelaburan yang lebih meyakinkan.   “Mereka sepatutnya wajar dibantu kerana banyak berkorban jiwa dan raga. Mungkin antara pendekatan lain yang boleh diambil ialah dengan memberi insentif bagi pembelian barangan keperluan dan kenaikan gaji,” kata beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 23/09/09

Wahai Tentera Umat Islam! Kemuliaan Kamu Adalah Berjihad Dijalan Allah SWT

Betapa sedihnya kita mendengar berita mengenai ramainya golongan tentera yang tertipu oleh skim cepat kaya sebagaimana yang dipaparkan di atas. Bagaimana ini boleh berlaku? Bukankah kerjaya tentera itu suatu tugas yang mulia? Wahai tentera-tentera Allah SWT! Kemuliaan kamu ialah apabila kamu berjaga malam untuk menjaga perbatasan negeri umat Islam. Kehebatan kamu ialah apabila kamu berjihad di jalan Allah SWT untuk mempertahankan darah umat Islam seperti di Iraq, Palestin, Afghanistan dan seumpamanya. Keunggulan kamu ialah apabila kamu berjihad untuk membuka dan menghancurkan halangan dakwah Islam dari sampai ke sesuatu negeri.

Namun hari ini kita melihat betapa hinanya tentera umat Islam yang telah dihinggapi pemikiran dan cara hidup sekular Kapitalisme. Amat menyedihkan apabila ramai di kalangan mereka yang terlibat dengan skim cepat kaya dan Ah Long. Bukankah skim cepat kaya itu akadnya adalah batil? Bukankah transkasi Ah Long itu mengandungi riba? Bukankah dosa riba itu sangat besar di sisi Allah SWT. Bukankah ini merupakan perkara yang cukup hina dan azab pedih menunggu para pelaku riba.

Wahai tentera umat Islam! Di hadapan kamu telah terbentang syurga Allah SWT tetapi kenapakah  kamu memilih dan mengundang azab Allah SWT?

Wahai tentera Allah SWT! Jadilah kamu seperti tentera yang pernah bersama dengan Panglima Perang Islam Tariq bin Ziyad yang membuka Andalusia. Jadilah kamu seperti tentera Salahuddin Al-Ayubi yang membebaskan Al-Quds. Jadilah kamu seperti tentera yang pernah dipimpin oleh Sultan Muhammad Al-Fatih yang berjaya membuka Kota Konstantinopel!

Itulah sebenarnya kejayaan yang hakiki yang perlu kamu rebutkan bukannya bentangan dunia yang menipu. Wahai Panglima Angkatan Tentera! Wahai Ketua KAGAT! Kamulah yang berkewajiban untuk menyuburkan ruh jihad kepada tentera umat Islam. Rebutlah peluang ini wahai Pasukan Angkatan Tentera. Kamu dan tentera yang berada di bawah kekuasaan kamu akan meraih kemuliaan sebagaimana kemuliaan yang diraih oleh tentera umat Islam terdahulu jika kamu memilih jihad fisabilillah. Bukannya terlibat dengan skim-skim yang menghinakan.