Refleksi Nafsiyah: Inilah Realiti Kehidupan

Adakala kita merasakan apa yang kita kerjakan sentiasa tidak menjadi. Ada antara kita yang kehilangan orang tersayang, perceraian, kehilangan wang, kehilangan pekerjaan, jatuh sakit dan sebagainya. Ada kalanya kita menangis, mengesat air mata  dan mendorong diri untuk meneruskan kehidupan. Ada juga yang kehilangan impian dan cita-cita, dan terasa seolah-olah kehilangan diri sendiri. Hilang arah tujuan… Tercalarnya harga diri saat kita menyaksikan realiti kehidupan merobek harapan dan impian sehingga hancur. Kehidupan ini terasa seperti berjalan ke arah yang bertentangan. Dirundung malang dengan segala macam cabaran dan ujian sehingga kita seakan-akan hilang kepercayaan pada diri kita sendiri dan orang lain.

Kita melihat masa depan yang suram sehingga menimbulkan persoalan bagaimana kehidupan ini dapat diteruskan selepas ini? Bagaimana mungkin kita boleh hidup tanpa impian dan harapan? Bagaimana mungkin untuk kita mampu terus berjalan ke hadapan? Bagaimana mungkin untuk kita mampu memandang ke depan tatkala kita berdiri dalam kegelapan? Apabila terasa seperti kita ditekan dan yang ingin kita lakukan ialah terus bangun… bagaimana untuk kita mengangkat kepala dan melihat sinar harapan?

Kita mesti yakin bahawa akan selalu ada sesuatu di sebalik perkara yang tidak dapat kita lihat. Sewajarnya kita menutup mata dan menarik nafas lega lalu mengucapkan “Alhamdulilah Rab al Alameen”, “Inna lilah wa inna ilaihi Rajiun”, seraya mengingatkan diri kita bahawa kehidupan kita adalah untuk Allah (swt) dan kepada-Nya kita akan kembali. Kita akan sedar bahawa kita tidak pernah bersendirian, dan kegelapan itu tidaklah benar-benar gelap, hanya mata kita yang tertutup daripada melihat perkara yang sebenarnya.

Kita juga tidak dijauhkan daripada impian kita, akan tetapi Allah (swt) sedang membentuk kekuatan dalam diri kita, menjadikan kita lebih kuat. Kerana Allah (swt) menguji orang-orang yang Dia sayangi. Allah (swt) menguji mereka dengan kesusahan, untuk menjadikannya orang yang lebih kuat dan beriman, orang yang beriman kepada-Nya, membimbing mereka ke jalan-Nya. Allah (swt) selalu menjaga kita, menyedarkan kita, agar Dia (swt) dapat mendengar rintihan kita, untuk meminta pertolongan-Nya, petunjuk-Nya, untuk mengampunkan dosa-dosa kita.

Kehidupan ini sentiasa maju selangkah ke depan, tidak kira seberapa pantas kita berlari. Tidak ada yang mengalahkannya dalam perlumbaan seperti itu. Bagaimana pula jika kita melihat ujian ini dengan sudut pandang yang berbeza? Bukankah ia akan menjadikan hidup ini lebih mudah? Adakah kita masih akan berlumba?

Cabaran dan ujian bertujuan untuk menguatkan kita dalam mencari pertolongan Allah (swt). Ia bukannya tentang seberapa kuatnya kita, tidak lain ia adalah untuk mengeratkan hubungan kita dengan Allah (swt). Akan selalu ada sesuatu yang menjatuhkan kita, menggelincirkan kita. (Semoga Allah melindungi kita daripada malapetaka). Kita akan selalu menemui saat di mana kita akan berasa seperti tidak dihargai, diperkecil atau dikalahkan. Itulah kehidupan. Inilah sifat dunia. Setelah kita menerima kenyataan ini, barulah kita dapat mengatasi batu penghalang kita. Dengan meminta pertolongan Allah (swt), dengan menyeru Al-Jabbar, yang Maha Mengubah apa jua keadaan kepada yang Dia (swt) kehendaki. Dalam sebuah hadis Qudsi,

قَالَ اللَّهُ أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي

“Allah berfirman, ‘Aku adalah apa yang hamba-Ku fikirkan, (yakni aku dapat melakukan apa yang menurutnya dapat aku lakukan untuknya)”.

Apa lagi yang kita mahukan? Allah (swt) adalah apa yang kita fikirkan tentang-Nya… Jika kita percaya bahawa Dia akan menolong kita, Dia (swt) akan menolong, pada saat yang sesuai untuk kita. Dia akan memberikan apa yang terbaik untuk kita, bukan apa yang kita fikirkan sesuai. Kerana adakah kita akan berikan pisau kepada anak kita, hanya kerana dia menangis? Jika kita melihat cabaran dan ujian ini sebagai jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah, ia akan membuatkan kita merasai sesuatu yang lebih baik daripada yang lain. Inilah yang memisahkan kita (Muslim) daripada yang lain.

Anas bin Malik (ra) berkata, Rasulullah (saw) bersabda,

يؤتى بأنعم أهل الدنيا من أهل النار يوم القيامة ، فيصبغ في النار صبغة ، ثم اپریل: يا ابن آدم هل رأيت خيراً قط؟ هل مر بك نعيم قط؟ فيول: لا والله يا رب. ويؤتى بأشد الناس بؤساً في الدنياً من أهل الجنة ، فيصبغ صبغة في الجنة ، فيقال له: يا ابن آدم هل رأيت بؤساً قط؟ هل مربك شدة قط؟ فيق: لا ، والله ، ما مر بى بؤس قط ، ولا رأيت شدة قط – رواه مسلم.

“Di antara penghuni neraka ialah seseorang yang telah menjalani kehidupan yang paling mewah di dunia ini yang akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dicelupkan ke dalam api Neraka dan akan ditanya: ‘Wahai anak Adam! Adakah kamu pernah merasai keselesaan (di dunia)? Adakah kamu dapat merasai apa-apa kemewahan? ‘ Dia akan menjawab: ‘Demi Allah, tidak, ya Rabb.’ Dan salah seorang daripada penghuni syurga ialah seorang yang pernah melalui penderitaan yang amat sangat semasa kehidupan di dunia, yang kemudian dimasukkan ke dalam syurga. Kemudian dia ditanya: ‘Wahai anak Adam! Adakah kamu pernah merasai kesengsaraan (di dunia)? Adakah kamu pernah merasai kesukaran? ‘Dia berkata: “Demi Allah, tidak ya Rabb, aku tidak merasai penderitaan dan juga tidak merasai kesusahan” [HR Muslim].

Daripada hadis di atas, dapat kita lihat bahawa semua yang kita lihat hari ini hanyalah sementara sahaja; ia tidak kekal.

Kita tidak dapat melihat apa yang Allah (swt) rencanakan untuk kehidupan kita. Kita juga tidak dapat melihat apa yang Allah (swt) akan berikan kepada kita selepas bersabar dan memperteguhkan tekad. Kita juga tidak akan tahu bila masa yang tepat. Kita juga tidak akan tahu apa yang lebih baik untuk kita. Dengan meletakkan sepenuh keyakinan kepada Allah (swt), kita yakin bahawa hanya Dia-lah Al-Wakil.

Ya… Inilah kehidupan dan ia boleh merosakkan segalanya. Akan tetapi, apa yang terbaik daripada semua itu adalah apabila ketika kita kekal bertahan di atas jalan-Nya, Allah (swt) memberi kita lebih daripada yang kita mahukan. Kita hanya perlu meyakini Allah (swt).

Semoga Allah memberi kemudahan kepada umat ini.

Diterjemah dan diadaptasi daripada:

http://www.hizb-ut-tahrir.info/en/index.php/radio-broadcast/radio-broadcast/21172.html