Tumpuan Secara Membuta Tuli Terhadap Rutin Kehidupan Merupakan Perangkap Dunia!

Kewajiban seorang Muslim adalah untuk mentaati Deen Allah sepenuhnya dan tanpa tolak ansur. Seorang Muslim juga wajib menyampaikan Islam tanpa dilemahkan oleh akibat yang bakal dihadapi. Dia mesti memperkenalkan wahyu Allah SWT sebagai asas kemanusiaan dan menyampaikannya sebagai satu-satunya tata hidup sebenar yang mampu mengatur urusan kehidupan dan menyelesaikan masalah manusia. Ketika melaksanakan misi ini, seorang Muslim menghadapi berbagai hambatan dan rintangan yang boleh melemahkannya atau menghalangnya daripada melaksanakan tanggungjawabnya. Oleh itu beliau mesti mengatasi rintangan ini agar dapat berada di landasan yang tepat dan tidah hilang tumpuannya dalam kehidupan.

Salah satu rintangan berbahaya adalah rutin kehidupan yang menyibukkan seorang Muslim sehinggakan beliau terdorong untuk tersasar daripada tujuan kehidupan yang sebenar. Rutin-rutin ini adalah perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan dan dihadapi oleh setiap orang. Walau bagaimana pun jika seseorang terlalu banyak menghabiskan masa dengan rutin seharian seperti urusan rumah tangga, keluarga, kerja, pelajaran, kerjaya, hobi dan sebagainya, beliau akan mendapati bahawa beliau hanya ada sedikit masa untuk menghadapi makna kehidupan yang sebenar. Maka bagi mereka yang inginkan keredaan Allah, sudah sepatutnya mereka mencari penyelesaian tentang bagaimana mengatur rutin kehidupan supaya mereka dapat menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan tidak hanyut dalam arus kehidupan. Allah SWT berfirman dalam al-Quran tentang kehidupan dunia:

“Ketahuilah sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan saling berbangga di antara kamu serta berlumba dalam kekayaan dan anak keturunan seperti hujan yang tanamannya mengkagumkan para petani. Kemudian (tanaman) itu menjadi kering dan kamu melihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keredaanNya. Dan kehidupan dunia tidak lain hanyalah kesenangan yang palsu.” [Al-Hadid: 20]

Makna yang mendalam dari ayat yang mulia ini adalah kehidupan dunia ini adalah sementara sahaja. Banyak perkara di dunia yang menggoda manusia tetapi hakikatnya ia hanyalah perkara-perkara yang remeh namun kerana pemikiran manusia cetek, ia menganggap perkara-perkara remeh tersebut sebagai hebat dan diperdayakan sehingga ramai manusia mengejarnya kerana menganggap dengan meraih perkarra-perkara remeh tersebut mereka telah mencapai kejayaan yang gemilang. Walaubagaimana pun hakikatnya ialah keuntungan dan keseronokan paling hebat yang mampu dicapai seseorang di dunia hanyalah sementara dan adalah remeh serta terhad hanya kepada kehidupan sementara yang berjalan selama beberapa tahun sahaja dan boleh dimusnahkan oleh kejadian yang tidak disangka-sangka. Maka tumpuan membuta tuli terhadap rutin kehidupan adalah suatu perangkap ke atas Muslim di dunia ini. Sebaliknya kehidupan di akhirat adalah lebih indah dan berkekalan. Nikmat di akhirat adalah hebat serta berkekalan. Kehilangan nikmat di akhirat adalah sangat-sangat merugikan dan berkekalan. Seseorang yang mendapat pengampunan dan rahmat Allah SWT, akan sesungguhnya mencapai nikmat berkekalan yang jika dibandingkan dengan seluruh kekayaan dunia dan kerajaannya kelihatan remeh. Mereka yang diazab oleh Allah SWT di akhirat, akan sedar bahawa mereka benar-benar kerugian walau pun mereka memperolehi nikmat yang mereka anggap sebagai terhebat di dunia.

Oleh itu segala aspek di dunia ini tidak wajar untuk dikagumi. Sudah tentu seseorang Muslim mesti memenuhi tanggungjawabnya terhadap keluarga, kerja, pelajaran, urusan rumah tanggan dan sebagainya tetapi beliau tidak sepatutnya memberi tumpuan berlebihan terhadap perkara-perkara tersebut menurut dorongan kapitalis dan kebendaan sehinggakan lupa bahawa dunia ini hanyalah ujian yang mana beliau mesti mendapatkan keredaan Allah SWT dan sedar bahawa takdir serta rezkinya sudah pun ditentukan oleh Allah SWT.

Seseorang Muslim sepatutnya mengingatkan dirinya tentang hadis Rasulullah SAW yang indah di mana beliau menggambarkan bagaimana manusia sepatutnya menjalani kehidupan dunia: Dari Ibnu Umar radiyallahu anhuma, ia berkata,”Rasulullah SAW memegang kedua pundakku lalu bersabda,”Jadilah engkau di dunia seakan-akan sebagai orang asing atau seorang musafir.” (Diriwayatkan oleh Bukhari).  Kehidupan ini adalah suatu ujian dan hadith ini memperkukuhkan dan membimbing seseorang tentang bagaimana menjalani ujian dalam kehidupan ini. Bagi orang asing, perhatian utamanya adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha untuk meraih cita-citanya iaitu Jannah (syurga). Seorang musafir sentiasa berwaspada dan memberi perhatian supaya beliau tidak mengambil jalan yang salah atau sesat jalan. Ini bermakna seorang Muslim sepatutnya tidak sepatutnya sesat dalam rutin kehidupan sebaliknya beliau sepatutnya memenuhi tanggungjawabnya menurut tuntutan Islam.

Quran dan Sunnah juga memberi kita bimbingan dalam semua aspek kehidupan. Allah SWT berfirman dalam Quran: “Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimmu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan Hari Qiamat dan yang banyak mengingat Allah.” [Al-Ahzab: 21]

Junjungan Rasulullah SAW yang kita cintai adalah contoh terbaik untuk manusia. Kehidupannya penuh dengan rutin. Kehidupan sehariannya berkisar sekitar ibadah, masa yang berkualiti serta berdampingan dengan keluarga dan menjalin hubungan dengan masyarakat di sekelilingnya. Dia SAW benar-benar rapat dengan keluarganya, peka terhadap perkembangan di kotanya dan Quran tidak dapat dipisahkan dari kalbunya. Semua perbuatannya dikaitkan dengan Islam dan Akhirat.

Kita sepatutnya sedar bahawa dunia yang kita diami pada hari ini mendorong kita mengejar kejayaan dan produktiviti di dunia namun kita sering menghabiskan banyak tumpuan kita terhadap perkara-perkara yang salah. Seringkali kita menetapkan standard yang salah untuk kehidupan kita. Seorang Muslim sepatutnya mengawal Nafs supaya tidak masuk ke dalam perangkap dunia.

Rutin kehidupan menyebabkan kita melupakan akhirat sehingga kita mengabaikan saudara kita di Syria, Iraq, Afghanistan, Palestin, Myanmar, China, dan sebagainya yang setiap hari bertarung dengan rutin kehidupan yang berbeza dan sukar seperti roket, bom, serangan, kehilangan anggota keluarga, kebuluran, penindasan dan penyeksaan.

Apabila kita mempertimbangkan semua aspek ini, kita akan mendapati bahawa orang yang beruntung di akhirat adalah orang yang menggabungkan siang dan malam dengan tumpuan sebenar kehidupan. Orang Islam yang stabil bukanlah orang yang tersungkur dalam rutin kehidupan sehinggakan beliau melupakan akhirat tetapi beliau dan bukan juga orang yang mengabaikan rutin kehidupan sehinggakan beliau terlepas peluang untuk meraih pahala dalam menjalani rutin tersebut. Orang yang stabil adalah orang yang sentiasa mengingati bahawa dunia adalah tempat persinggahan yang sementara dan seseorang mestilah menghubungkan urusannya dengan akhirat.

“Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanylah kesenangan (sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal.” [Ghafir: 39]

Amanah Abed