Regim Saudi bimbang nasibnya menjadi seperti Ben Ali
Para pegawai atasan negara meluahkan kebimbangan bahawa Amerika sudah tidak mungkin menjadi sekutu yang boleh diharapkan lagi, terutamanya sejak pemerintahan Presiden Barack Obama telah beralih memberikan sokongan kepada kumpulan-kumpulan yang pro-demokrasi, di mana tidak ada seorang pun yang sanggup memberi jaminan hasil kerjasama dengan mereka.
Raja Al-Saud telah mengumumkan buat pertama kalinya bahawa ia akan melakukan pelbagai reformasi ekonomi dan pembangunan. Beberapa media memetik daripada sumber yang hampir dengan keluarga Al-Saud menyatakan bahawa ia telah membebaskan para tahanan yang melakukan demonstrasi bantahan di daerah Ihsa’.
Regim Al-Saud, yang didirikan oleh Britain lapan dekad yang lalu dan mendapat sokongan daripada Amerika telah melakukan pelbagai penindasan dan keganasan terhadap rakyat demi untuk mempertahankan kekuasaannya, di samping dengan mengeksploitasi Islam itu sendiri. Sekarang regim ini dilihat begitu bimbang jika ia digulingkan.
Sementara itu, bagi Amerika, ia tidak akan menyesal untuk membuangnya begitu sahaja apabila bonekanya itu sudah mula kelihatan lemah. Oleh karena itu, Al-Saud dilihat begitu bimbang. Jika Britain melihat regim ini jatuh, maka ia akan meniupkan gelombang untuk mencipta boneka baru yang sesuai dengan situasi baru, sepertimana yang berlaku di Tunisia. Ketika bonekanya Ben Ali sedang melemah, maka ia tidak segan silu untuk membuangnya, bahkan ia berusaha untuk memperkuatkan sokongan terhadap boneka barunya yang lain.
Dalam keadaan ini, regim Al-Saud telah mengumumkan pelbagai langkah baru yang berkaitan peningkatkan taraf hidup di negara ini, seperti mencipta keadaan yang sesuai untuk pemilikan rumah, membebaskan cukai daripada semua dana pinjaman pengembangan hartanah, pemberian subsidi kewangan sementara bagi para penganggur selama satu tahun dan bantuan-bantuan yang lain.
Regim Al-Saud sedang berusaha untuk menutup lubang-lubang agar rakyat tidak memberontak sepertimana yang dilakukan rakyat di Tunisia, Mesir, Libya dan lain-lain terhadap regim-regim yang serupa dengan regim tersebut. Kesemua daripada mereka mempunyai karakter yang sama seperti suka melakukan kejahatan, kekejaman, memperkosa hak-hak, menjadi boneka penjajah, bekerja sesuai dengan arahan penjajah, melaksanakan polisi-polisi penjajah di samping tidak menerapkan syariah Islam yang diyakini oleh rakyatnya.