Resolusi PERKASA Yang Layu
RESOLUSI PERKASA YANG LAYU
Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) baru-baru ini meluluskan 10 resolusi dalam perhimpunan dan persidangan kemuncak Pribumi Negara yang berlangsung di ibu negara hari ini. Resolusi tersebut dikenali sebagai Pengisytiharan 25 Rabiul Awal 1430 / 22 Mac 2009. Resolusi tersebut antara lain mengulangi dan memperkukuhkan pendirian bagi mempertahankan Kenyataan Khas Majlis Raja-Raja ke-215 pada 16 Oktober lalu berhubung dengan hak keistimewaan kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-Raja Melayu, agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum yang lain mengikut perlembagaan Persekutuan”
Sumber : Berita Harian 23/3/2009
Kesemua resolusi ini akan dibawa ke Parlimen kerana ia dikatakan akan mempertahankan hak orang Melayu. Persoalannya adalah; jika Parlimen menerimanya, adakah ini benar-benar akan dapat mempertahankan hak orang Melayu sampai bila-bila? Bagaimana pula jika jumlah kaum lain melebihi jumlah orang-orang Melayu dan mereka menjadi majoriti manakala jumlah wakil rakyat mereka jauh melebihi wakil rakyat berbangsa Melayu? Bukankah pada ketika itu mereka juga berkuasa untuk menukar perlembagaan? Jadi, di dalam sistem Politik Demokrasi kufur yang sedang digunapakai hari ini, nasib orang-orang Melayu sebenarnya tidak akan selamat walaupun mereka mendatangkan seribu resolusi kepada Parlimen.
Sabda Rasullullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang bermaksud, “Bukanlah dari kami orang-orang yang menyeru kepada ashobiyyah, berperang atas dasar ashobiyyah dan mati kerana (mempertahankan) ashobiyyah” [HR Abu Dawud]
Orang-orang Melayu seharusnya menjadikan Islam sebagai asas dan matlamat perjuangan mereka. Jika Islam diterapkan, hanya pemimpin yang beragama Islam sahaja dibenarkan untuk berkuasa. Islam telah menyediakan syariat yang jelas dan nyata. Ia bukan bentuk pilihan tetapi wajib untuk dilaksanakan segera dan secara menyeluruh. Hanya dengan melaksanakannya, semua kaum tidak kira Melayu, Cina dan India akan mendapat pembelaan yang adil dan saksama. Tidak ada lagi kebimbangan bangsa apakah yang akan berkuasa. Yang ada hanyalah otoriti Islam.