Ringgit naik, ekonomi naik!?

Berita:

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Nilai ringgit yang kembali konsisten berada di bawah paras RM4.00 berbanding satu dolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal bulan ini turut disumbangkan oleh keyakinan pelabur-pelabur asing terhadap kecemerlangan asas ekonomi Malaysia, bukan hanya kerana kenaikan harga minyak dunia semata-mata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kekuatan ekonomi negara membolehkan nilai mata wang itu mencecah paras terbaiknya dalam tempoh 17 bulan pada 5 Januari lalu.

Katanya, prestasi itu dicapai hasil daripada pelbagai dasar dan program transformasi untuk mengukuhkan kewangan kerajaan, meningkatkan pendapatan rakyat serta mengubah struktur ekonomi lama yang tidak lagi sesuai dengan keadaaan semasa, termasuk dasar-dasar berat sebelah yang diperkenalkan oleh pemimpin terdahulu.

Berita penuh: utusan.com.my


Komentar:

Kenaikan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan keadaan ekonomi semakin kuat dan pulih. Hakikatnya nilai ringgit telah jatuh hampir 40% antara tahun 2011 sehingga Oktober 2017, dan lebih rendah berbanding nilai peso Filipina, bhat Thailand serta lebih teruk daripada mata wang Bangladesh. (Sumber: https://www.themalaysianinsight.com/s/33597/)

Peningkatan nilai mata wang semata-mata bukanlah penanda yang tepat bagi mengukur pemulihan ekonomi negara, sedangkan keadaan ekonomi hari ini masih dibelenggu masalah kenaikan harga barang, peningkatan kos sara hidup, pendapatan rakyat yang rendah, dan kehilangan pekerjaan. Apakah dengan kenaikan ringgit dapat menunjukkan tingkat kesejahteraan ekonomi rakyat, atau sebenarnya nilai ringgit meningkat semata-mata kerana nilai dolar AS yang menyusut?

Sesungguhnya, kegagalan ekonomi hari ini berpunca daripada kegagalan sistemik dalam memastikan kestabilan mata wang, pengagihan kekayaan, dan jaminan pemenuhan keperluan asas. Mata wang fiat tanpa sandaran daripada emas dan perak boleh menyebabkan kekayaan individu dan negara hilang sekelip mata disebabkan inflasi dan kejatuhan nilai matawang. Manakala ketidakseimbangan ekonomi pula menyebabkan kekayaan jatuh ke tangan sang kapitalis dan hanya sedikit yang menitis ke tangan rakyat jelata.

Dalam pada itu, pembuangan pekerja tanpa jaminan pekerjaan yang layak sudah pasti mengurangkan pendapatan isi rumah. Jelaslah bahawa kerosakan ekonomi ini tidak akan dapat ditangani dengan penyelesaian dalam kerangka sistem yang sama. Sampai bilakah kita ingin ditipu dengan manipulasi kata-kata, statistik, dan data bagi menutup kerosakan-kerosakan ini? Maka sudah tiba masanya umat Islam mencampakkan sistem rosak ini dengan kembali menerapkan syariah dan khilafah yang diredhai Allah swt, dan diterapkan sistem ekonomi Islam yang berpaksikan hukum-Nya.

Dalam mengurusi soal mata wang, hanya emas dan perak sahaja yang diiktiraf secara syarie. Ketetapan ini berdasarkan ketentuan larangan menimbun emas dan perak (kanzul mal) yang menjadi alat tukar, sebagaimana firman Allah swt:

وَٱلَّذِينَ يَكۡنِزُونَ ٱلذَّهَبَ وَٱلۡفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَہَا فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ فَبَشِّرۡهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ۬ (٣٤)

“Mereka yang menimbun emas dan perak dan tidak membelanjakannya di jalan yang Allah, beritahulah mereka (bahawa mereka akan mendapatkan) azab yang pedih”[TMQ at-Taubah (9): 34].

Matawang emas dan perak dapat memastikan kestabilan serta bebas daripada sebarang ancaman spekulasi. Sedangkan dalam sistem matawang fiat, tekanan luar negeri boleh mempengaruhi harga barang dan gaji pekerja. Di samping itu, nilai mata wang emas yang stabil juga mendorong para peniaga import dan eksport untuk mengembangkan perniagaan kerana tidak bimbang terhadap sebarang krisis yang berlaku akibat daripada serangan mata wang sepertimana yang pernah terjadi dalam sistem mata wang fiat.

Demikianlah sebahagian daripada mekanisme ekonomi yang telah digariskan oleh syarak dalam kerangka sistem ekonomi Islam yang lebih luas. Namun kenikmatan dan kemakmuran hanya dapat dicapai apabila sistem Islam itu diterapkan secara menyeluruh dalam segenap aspek kehidupan. Justeru, penyelesaian dalam aspek ekonomi perlu dilengkapkan dengan perubahan sistemik dalam gerak kerja politik yang tersusun berlandaskan thariqah yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw. Wallahua’lam.

Abu Amar
Aktivis Hizbut Tahrir Malaysia