Road Tour Forum Islam Menjamin Kesejahteraan Wanita Disambut Hangat

alt Pasir Gudang, Ahad 13 September 2009
Demi meneruskan lagi usaha mendekati masyarakat dan menyedarkan umat, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia(MHTM) dan Ikatan Intellektual Nusantara(IKIN) telah mengadakan kerjasama dengan Tadika Pintar Bistari dengan menganjurkan semula forum Muslimah yang bertajuk “Islam Menjamin Kesejahteraan Wanita”. Forum yang dilaksanakan dalam bulan Ramadhan yang mulia ini telah berlangsung dengan jayanya di Ballroom, TS Hotel, Taman Scientex, Pasir Gudang Johor.
 
Program bermula dengan alunan bacaan ayat-ayat suci al Quran Surah Al-Baqarah Ayat 183 hingga 187. Ini diikuti dengan forum yang menampilkan moderator serta tiga orang ahli panel yang terdiri dari wakil IKIN, aktivis MHTM serta seorang pakar perundangan Malaysia. Forum yang berlangsung sebanyak tiga  pusingan ini telah mengupas tentang definisi dan konsep sejahtera  dari segi bahasa dan syarak, realiti semasa dan punca yang membawa kepada  ketidaksejahteraan wanita dan kemusykilan serta kekeliruan status kesejahteraan wanita di Malaysia mahupun di  luar negara. Pada hadirin juga didedahkan dengan pendekatan yang diambil oleh pejuang-pejuang wanita termasuk Badan-Badan Bukan kerajaan (NGO) dalam membela nasib wanita di samping pendedahan kepada isu-isu feminisme, krisis sosial, kesetaraan gender, diskriminasi, poligami, pekerjaan dan keadilan sosial.

Hasil dari forum yang diadakan, adalah disepakati oleh ketiga-tiga ahli panel bahawa ketaqwaan seseorang individu adalah perkara yang mesti diusahakan oleh setiap muslim khususnya Muslimah bagi menjamin keterikatan penuh terhadap seluruh syariat Islam. Tak kurang pentingnya peranan masyarakat dalam memastikan amar makruf nahi mungkar sentiasa berjalan sebagai bentuk ketaatan kepada Allah sepertimana yang difirmankanNya : “ Dan hendaklah ada segolongan umat yang menyeru kepada kebaikan (Islam), menyeru kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang beruntung ” [TMQ Ali Imran (3) : 104]. Dan yang penting sekali adalah wujudnya entiti yang berupa sebuah Negara (Khilafah) yang berupaya menjamin serta melindungi umatnya khususnya Muslimah dengan melaksanakan segala perintah dan larangan Allah Subhanahu Wa Taala termasuk menjatuhkan hukuman secara adil bagi sebarang bentuk kemaksiatan dan perlanggaran terhadap syariat Allah.

Sebagai mengakhiri forum, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia telah menyeru dan mengajak Muslimah yang hadir untuk mempersiapkan diri dengan segera mendalami tsaqafah Islam dalam rangka untuk berdakwah dan berusaha bersungguh-sungguh dalam perjuangan mendirikan semula Khilafah Islam. Khilafah Islamlah yang bakal memaungi dan mensejahterakan umat seluruhnya dari segala bentuk penindasan dan kezaliman musuh-musuh Islam.
 
Sebagai selingan, Muslimah telah dihidangkan dengan tayangan Multimedia yang memaparkan realiti ketidaksejahteraaan wanita di Malaysia serta di peringkat global.

Di kesempatan ini, pihak MHTM dan IKIN ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Muslimah yang menghadiri forum ini serta semua warga kerja yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan forum siri kedua ini. Semoga usaha dan perjuangan di bulan Ramadhan ini mendapat keredhaan Allah di samping menjadi pemangkin kepada usaha-usaha seterusnya dalam menegakkan DeenNya yang mulia. Firman Allah : “Hai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong agama Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu[TMQ Muhammad (47) : 7]

Wallahu’alam bisshawab

alt

alt

alt

alt