Ron97 Naik Harga, Rakyat Terus Diperah

minyak-naikKUALA LUMPUR, 4 Jan. – Harga petrol RON97 dan minyak tanah masing-masing akan naik sebanyak 10 sen seliter mulai tengah malam ini, kata Presiden Persatuan Penjual Petrol Malaysia (PDAM), Datuk Hashim Othman.  Beliau berkata dengan kenaikan itu, harga petrol RON97 akan naik kepada RM2.40 seliter (sebelum ini RM2.30 seliter) sementara minyak tanah kepada RM2.50 seliter.  Hashim yang dihubungi berkata, beliau dimaklumkan mengenai kenaikan harga kedua-dua minyak tersebut oleh pihak berkuasa malam ini. Kali terakhir harga RON97 yang diapungkan mengikut pasaran minyak dunia semasa, naik sebanyak 15 sen pada 1 Disember lalu, menjadikan RM2.30 seliter. Kenaikan esok tidak akan menjejaskan harga petrol RON95 yang kekal RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter dan LPG RM1.90 sekilogram. Menurut laporan hari ini, minyak yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (Opec) meningkat kepada US$89.79 mulai minggu ini. – Bernama

Sumber: Utusan Malaysia 04/01/11

 
Rakyat Malaysia mendapat Hadiah Tahun Baru: Harga minyak naik!
 
Selagi kapitalisme masih digunapakai untuk mengatur urusan umat maka selagi itulah  rakyat akan terus sengsara dan ditindas. Terbaru, mereka bakal menghadapi kesan daripada kenaikan harga minyak RON97 dan minyak tanah. Ketika seluruh dunia menyambut tahun baru dengan kegembiraan, kita pula ’dihadiahkan’ dengan kenaikan tersebut. Walaupun pelbagai alasan boleh diberikan, hakikatnya minyak adalah milik umat dan kerajaan tidak boleh membuat keputusan sewenang-wenangnya.
 
Pada ketika ini, persoalan yang timbul adalah, ke mana perginya keuntungan daripada hasil jualan minyak tersebut? Adakah manfaat daripada hasil jualan minyak itu diagih secara merata kepada setiap rakyat? Jika ya, mengapa masih ada individu yang hidup di bawah paras kemiskinan, tidak mampu membayar bil rawatan hospital yang mencecah ratusan ribu ringgit, tidak mampu menjelaskan bil air, elektrik dan ada pula yang tidur di bawah jambatan?
 
Inilah sebenarnya wajah hodoh demokrasi. Dalam sistem demokrasi yang menipu ini, rakyat hanya menjadi raja untuk 5 tahun sekali sahaja iaitu ketika berlangsungnya pilihanraya. Di saat itu rakyat akan dimuliakan oleh para penguasa yang menagih kuasa dari rakyat. Selepas ’pesta’ itu berlangsung rakyat akan diratah dan dilahap oleh pemerintah yang berhati seperti serigala. Inilah hakikat yang tidak dapat dinafikan oleh mana-mana pihak. Dalam ideologi kapitalisme, yang dijaga adalah kepentingan kroni semata-mata.
 
 
Begitulah episod sedih umat Islam yang ditipu dan dikhianati oleh pemerintah mereka sendiri akibat penerapan sistem Kapitalis.

Wahai seluruh rakyat! Sampai bilakah kamu akan terus diperbodoh dan ditipu oleh para pemimpin sekular yang ada pada hari ini? Sudah sampai masanya kamu bergerak untuk menegakkan kembali Khilafah sebagai satu-satunya institusi yang akan menjaga dan mengurus urusan rakyat dengan hukum-hukum Islam. Ketahuilah bahawa ia bukanlah satu pilihan tetapi kewajiban yang harus ditunaikan segera.

”dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”. [TMQ Al Anbiyaa’ (21) : 107].