Rosaknya UMNO adalah kerana ahlinya
Apabila bergelumang dengan demokrasi, politik Machiavelli memang tidak dapat dielakkan hatta oleh parti politik Islam sekalipun. Politik berdasarkan kemaslahatan, pragmatisme dan matlamat menghalalkan cara sudah menjadi asam garam bagi mana-mana parti politik yang berkubang dalam demokrasi, dengan segala halal dan haram diketepikan.
Hari ini musuh ketat, esok menjadi kawan baik, lusa menjadi musuh ketat semula, tulat menjadi kawan baik lagi, hari ini dihentam habis-habisan, esok dipuji habis-habisan, hari ini segala keburukan diangkat dan diaibkan, esok segala kebaikan diangkat dan dilambung dan begitulah seterusnya senario yang silih berganti yang dapat disaksikan dengan karenah parti-parti politik dalam permainan demokrasi yang penuh dengan kerosakan ini.
Permusuhan dan perdamaian pra matang ala budak-budak antara parti-parti politik dalam demokrasi memang berlaku sejak dulu hingga kini, apatah lagi antara parti pemerintah dengan pembangkang. Terbaru, muncul pula istilah “anti UMNO tetapi tidak anti ahli UMNO”. Tidak boleh dinafikan bahawa istilah yang mengelirukan ini, sama ada keluar dari pemikiran yang juga keliru ataupun mengandungi maslahat tertentu di sebaliknya.
Kita semua tahu bahawa UMNO ialah parti sekular dan didirikan atas asas assabiyyah (perkauman) Melayu. Perjuangannya adalah perjuangan assabiyyah dan apabila ia berkuasa sejak merdeka lagi, ia memisahkan antara agama dari pemerintahan dan kehidupan masyarakat (sekularisme). UMNO berpegang teguh dengan perlembagaan ciptaan si kafir Lord Reid yang dijadikan dasar pemerintahan dan undang-undang negara. Roh dan perjuangan UMNO adalah nasionalisme-sekularisme. Inilah hakikat UMNO.
Sesebuah parti itu, termasuklah UMNO, sudah pasti tidak akan wujud dan tidak akan hidup tanpa ahli-ahlinya. Ahli, atau lebih tepatnya pemimpin parti itulah yang membawa hala tuju dan perjuangan parti. Pemimpin (yang juga adalah ahli) parti, secara bersama-sama dengan keseluruhan ahli parti yang lain, merekalah yang memimpin dan menggerakkan parti.
Bukan sekadar perjuangan, malah pemikiran/idea, akhlak dan imej parti merupakan cerminan daripada ahli parti. Dengan kata lain, pemikiran pemimpin/ahli yang berpegang kepada sekularisme sudah pasti menjadikan parti itu sekular, sama seperti pemikiran pemimpin/ahli parti yang berpegang kepada komunisme, sudah pasti akan menjadikan parti itu komunis. Tidak mungkin pemikiran pemimpin/ahli parti adalah komunis, tetapi mereka membawa Islam sebagai perjuangan parti, sebagaimana tidak mungkin bagi pemimpin/ahli yang berpegang kepada Islam, tetapi membawa komunisme sebagai perjuangan parti!
Justeru, jika pemerintahan negara sekarang yang berada di bawah UMNO ialah pemerintahan sekular dan penuh dengan kezaliman, rakus dengan kekuasaan, penyelewengan, rasuah, penindasan, korupsi, skandal termasuklah skandal seks, kronisme, nepotisme dan lain-lain keburukan, maka ini semua adalah cerminan daripada cara berfikir dan cara bertindak ahli (khususnya pemimpin) parti. Mana mungkin suatu parti itu baik jika pemimpin/ahlinya tidak baik?
Tanpa pemimpin dan ahli UMNO, maka pastinya tiada UMNO. Jika pemerintahan negara ini masih buruk seperti yang dapat kita saksikan sekarang, maka ia adalah akibat pemimpin/ahli UMNO itu sendiri yang membawa pemikiran yang sedemikian. Jadi, jika kita melihat rosaknya UMNO, ia tidak lain kecuali berpunca dari pemimpin/ahli UMNO itu sendiri! Malah jika kita melihat rosaknya negara, ia juga adalah berpunca dari pemimpin/ahli UMNO itu sendiri yang sehingga kini memerintah dengan sistem, perlembagaan dan undang-undang kufur tinggalan penjajah yang penuh dengan kerosakan dan kebatilan.
Jadi, apa yang selayaknya kita seru kepada ahli-ahli UMNO ialah menukar asas penubuhan dan perjuangan parti itu kepada Islam, seterusnya menerapkan hukum Allah secara kaffah dalam pemerintahan negara. Jika tidak, maka kita serukan kepada ahli UMNO agar meninggalkan parti yang memperjuangkan assabiyyah dan sekularisme itu serta masuk ke dalam parti yang didirikan atas asas Islam dan berjuang untuk mengembalikan hukum Allah secara kaffah.
Sebagai Muslim dan sebagai ahli politik Islam, tidak perlu bagi kita untuk berkias-kias dalam menanggapi isu ini, kerana yang hak dan yang batil serta yang halal dan haram itu amat jelas. Inilah satu-satunya cara untuk kita menyelamatkan saudara-saudara Muslim kita yang berada dalam UMNO yakni mereka wajib keluar dari perjuangan yang batil bersama UMNO menuju kepada perjuangan yang hak berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah, sebagaimana yang dibawa oleh Rasulullah SAW.