Rosaknya wanita kerana Kapitalisme
Isu wanita bekerja menjadi perdebatan yang agak panas apabila ahli parlimen Kuala Nerus. Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyentuh mengenai wanita bekerja yang dilihat memberi kesan kepada keharmonian sesebuah keluarga. Setiausaha DAP, Lim Guan Eng membidas kenyataan ini sebagai sempit dan mendiskreditkan wanita.
Kenyataan Guan Eng itu tidaklah mengejutkan kerana beliau hanya melihat isu ini dari sudut pandangnya sebagai non-Muslim, yang sudah pasti hanya menggunakan akal semata-mata dalam berhujah tanpa menyandarkannya kepada agama. Sama ada dia sedar atau tidak, serangan terhadap Islam dalam isu seumpama ini telah lama berlaku, khususnya di dunia Barat yang berpegang teguh kepada ideologi Kapitalisme.
Islam sebagai sebuah mabda’ (ideologi) yang sempurna, telah meletakkan hukum-hakam tertentu yang khusus untuk wanita, dalam rangka memartabatkan kedudukan golongan Hawa itu. Islam telah memposisikan wanita di tempat yang cukup mulia, setelah sebelumnya kaum wanita (di zaman Jahiliyyah) dianggap sebagai objek pemuas nafsu atau eksploitasi oleh kaum lelaki semata-mata.
Keadaan semasa Jahiliyyah itu sebenarnya tidak jauh beza dengan keadaan sekarang di bawah ideologi Kapitalisme di mana martabat wanita telah kembali menjunam ke lembah yang hina apabila mereka menyisihkan Islam daripada kehidupan.
Kehidupan wanita di zaman ini hanya dimotivasi untuk bersaing dengan kaum lelaki. Jika lelaki boleh melakukannya, maka wanita juga boleh melakukannya. Inilah pemikiran yang ditanam dan ada pada kaum wanita, yakni hidup untuk “bersaing” dengan kaum lelaki dalam segenap aspek, sehingga ukuran kejayaan atau kehebatan seseorang wanita itu ialah apabila ia berada satu level atau lebih tinggi daripada lelaki. Inilah orientasi hidup seseorang wanita di bawah ideologi Kapitalisme.
Hasilnya, berapa ramai wanita yang keluar bekerja bagi mendapatkan habuan yang bersifat material semata-mata dan berapa ramai daripada mereka yang bekerja lebih keras daripada lelaki, semata-mata ingin membuktikan yang mereka boleh bersaing, malah lebih hebat daripada lelaki. Malah, ada yang sanggup mengatakan bahawa mereka boleh hidup tanpa lelaki. Pendek kata, segala yang ada dalam benak wanita dalam kehidupan hari ini adalah persoalan “persaingannya” dengan lelaki.
Dalam aspek yang sama, keadaan ini dipergunakan oleh para Kapitalis untuk mengeksploitasi kaum wanita, baik mereka sedari atau tidak. Keringat wanita hanya dikerahkan untuk tujuan ekonomi tanpa mengira faktor-faktor lain seperti keupayaan fizikal wanita tersebut, faktor kekeluargaan, faktor usia, keselamatan dan lain-lain. Kecantikan dan badan wanita dijadikan modal untuk menjana ekonomi bagi para Kapitalis.
Keadaan di perparah dengan adanya gerakan feminisme, yang kononnya ingin membela nasib wanita, tetapi sekali lagi tidak lebih daripada sebuah gerakan yang memfokuskan isu persaingan dan hak wanita yang ingin disamakan dengan lelaki.
Atas dasar inilah, ideologi Kapitalis membangun cara berfikir wanita, yang sesungguhnya telah mengembalikan martabat wanita ke zaman Jahiliyyah. Dalam masa yang sama, Islam diserang kerana didakwa mengongkong wanita dan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara apabila tidak membenarkan wanita bekerja.
Sesungguhnya Islam telah memuliakan wanita apabila meletakkan peranan utama wanita sebagai ummu wa rabbatul bait (ibu dan pengatur rumah tangga), meskipun Islam tidak melarang wanita daripada bekerja dalam profesion yang halal baginya. Wanita (ibu) juga menjadi madrasah ula (sekolah yang pertama) bagi anak-anak mereka.
Islam telah meletakkan tugas mencari nafkah kepada suami/bapa dan tidak membebankannya kepada wanita, sesuai dengan fitrah penciptaan Allah terhadap dua golongan manusia yang berbeza kudrat ini. Wanita dibenarkan bekerja (jika diizinkan oleh wali/suami), dengan syarat tidak mengabaikan tanggungjawab utama mereka.
Bagi pemuja dan pejuang ideologi kapitalisme mahupun sosialisme, konsep ini mungkin sesuatu yang dianggap tidak memberikan hak sama rata kepada wanita dan mengongkong kaum Hawa tersebut. Pemikiran sebegini tidaklah menghairankan kerana ideologi ciptaan manusia tersebut hanya menjadikan “manfaat” sebagai asas dan pertimbangan dalam tindakan dan cara berfikir mereka, dan mereka hanya menggunakan logik “akal” semata-mata dalam berfikir tanpa adanya campur tangan agama. Inilah yang menyebabkan pemikiran mereka rosak kerana berfikir tanpa panduan, hanya menggunakan akal yang terbatas dan berbeza antara satu sama lain serta tertakluk kepada masa dan tempat tertentu dan kepentingan tertentu.
Realitinya, baik dalam negara Kapitalis mahupun Sosialis, kita melihat bagaimana keringat wanita dikerah habis-habisan sehingga tanggungjawab utama wanita sebagai ummu wa rabbatul bait serta sebagai madrasah ula, terabai. Kita melihat bagaimana anak-anak membesar dengan penuh kerosakan kerana tiada atau kurang pembinaan oleh ibu mereka khususnya. Akhirnya anak-anak dijaga oleh pengasuh, yang sudah pasti tidak sama naluri, fungsi dan peranannya dengan seorang ibu. Kesannya boleh mencetuskan krisis dalam pembentukan keperibadian anak-anak, selain merenggangkan ikatan antara anak-anak dan ibu bapa serta keruntuhan institusi kekeluargaan.
Siapa pun tidak boleh menafikan bahawa di sebalik kerosakan anak-anak, ia berpunca daripada kerosakan institusi keluarga dan siapa pun tidak boleh menafikan bahawa di sebalik kejayaan anak-anak, ibulah yang menjadi tunjangnya. Hal ini sahaja sudah boleh menjadi ukuran betapa pentingnya peranan ibu dalam proses pembesaran anak-anak dan hal ini terkait rapat dengan pilihan si ibu sama ada untuk berada di rumah menjadi pengatur rumah tangga, penyejuk mata kepada si suami dan pendidik kepada anak-anak sesuai dengan tuntutan Islam, atau mengabdikan diri kepada kerjaya demi mendapatkan habuan dunia yang sedikit.
Runtuhnya institusi kekeluargaan dan sosial dalam sesebuah negara memang tidak dapat lari daripada ideologi yang diterapkan oleh negara tersebut. Lihatlah masalah keluarga dan sosial yang berlaku di Malaysia pada hari ini dan lihatlah ideologi apa yang diterapkan oleh negara, jika bukan Kapitalisme….itulah puncanya!