Rosmah Membuat Bidaah Baru
Sumber: Utusan Malaysia 11/08/10
Rosmah Membuat Bidaah Baru?
Amat pelik lagi melucukan kenyataan yang dikeluarkan oleh Rosmah, ketika Barat mengharamkan dan mengisytiharkan perang terhadap pakaian Muslimah di Perancis, Sepanyol, Belgium dan negara-negara Eropah yang lain, tiba-tiba beliau dan yang sepemikiran sekular dengannya bercakap dengan penuh keyakinan bahawa penganjuran Festival Fesyen Islamik (IFF) tersebut mampu membantu merapatkan jurang antara negara Islam dan Barat! Kuffar Barat telah memukul gendang perang terhadap Islam namun Rosmah masih ’terkial-kial’ dengan IFFnya. Tambahan pula apakah Rosmah layak berbicara tentang busana muslim sedangkan dirinya sendiri tidak berpakaian mengikut apa yang disyariatkan oleh Islam? Bukankah tindakan ini tidak lebih hanya mempermainkan Islam? Apakah Rosmah mengetahui dengan jelas pandangan Islam mengenai pakaian bagi seorang Muslimah? Islam sebagai suatu cara hidup yang sempurna telah menjelaskan secara mendalam bentuk pakaian yang wajib dikenakan oleh seorang Muslimah apabila seseorang itu berada dalam kehidupan khas mahupun kehidupan umum. Untuk itu, adalah amat wajar jika Rosmah ingin memberi komen mengenai busana muslim, beliau perlulah mendalami dan mengkaji pandangan Islam berkenaan busana/pakaian wanita Islam berdasarkan pemikiran yang mustanir, bersumberkan dalil al-Quran dan as-Sunnah dan bukannya bersandarkan nafsu beliau semata-mata.
Lihat: Fikratul Ummah Disember 2008