Rukyah vs Imkanur Rukyah

Terdapat penekanan yang luar biasa pada tahun ini daripada pihak berautoriti agar umat Islam di Malaysia menghentikan perbincangan berhubung tarikh hari raya Idul Fitri sama ada jatuh pada hari Jumaat 21 April atau pada hari Sabtu 22 April.

Hal ini susulan terdedahnya beberapa maklumat dari dalam dan juga luar negeri bahawa kemungkinan 1 Syawal akan jatuh pada 21 April. Setelah isunya tular, umat Islam kemudian ditekan “bertubi-tubi” dari segenap arah agar hanya menunggu dan mengikut sahaja keputusan yang akan diumumkan oleh penyimpan mohor besar raja-raja.

Perkembangan menjelang akhir Ramadhan ini kelihatan sangat ketara di mana pihak yang berautoriti cuba mencipta satu public opinion (pandangan umum) untuk mengelak “raya mengejut” dengan memperbesar-besarkan isu bahawa berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah, hilal Syawal dijangka tidak kelihatan pada hari cerapan iaitu Khamis 20 April, yang sekali gus menyebabkan raya jatuh pada hari Sabtu 22 April.

Dalam pada menjangkakan hilal tidak kelihatan, sejak seminggu dua ini pihak berautoriti begitu menekankan mengenai kriteria Imkanur Rukyah (kebolehnampakan) yang dipakai oleh Malaysia. Dikatakan bahawa hilal Syawal tidak memenuhi kriteria semasa cerapan nanti sehingga kemungkinan besar hilal tidak akan kelihatan.

Imkanur Rukyah mula diguna pakai oleh beberapa negara di dunia sejak Deklarasi Istanbul 1978 yang menetapkan kriteria tertentu sebagai syarat melihat hilal, iaitu ketinggian hilal ketika matahari terbenam hendaklah tidak kurang dari 5° di atas ufuk dan jarak lengkung / elongasi (bulan-matahari) ketika matahari terbenam tidak kurang dari 8°

Bagaimana pun, pada tahun 1992 Malaysia telah mengubahsuai kriteria ini, hasil mesyuarat anggota-anggota MABIMS (Malaysia, Brunei, Indonesia dan Singapura). Hilal dikira memenuhi kriteria Imkanur Rukyah apabila ketika matahari terbenam, ketinggian hilal di atas ufuk tidak kurang daripada 2° dan jarak lengkung tidak kurang dari 3°, dengan umur hilal tidak kurang dari 8 jam (selepas ijtimak).

Pada tahun 2021 kriteria Imkanur Rukyah diubah lagi di mana hilal dikira memenuhi kriteria apabila ketika matahari terbenam, ketinggian hilal tidak kurang dari 3° dan jarak lengkung tidak kurang dari 6.4°, dan inilah kriteria yang diguna pakai hingga sekarang.

Apa yang jelas, penentuan masuknya bulan baru berdasarkan hisab dengan kriteria Imkanur Rukyah ini merupakan perkara baru, dan ia boleh diubah-ubah mengikut para pembuatnya.

Sesungguhnya Rasulullah (saw) telah mengajar umatnya bahawa satu-satunya asbab masuknya bulan baru dalam Islam ialah apabila nampak hilal setelah dilakukan rukyah (dilihat dengan mata kasar). Dengan kata lain, rukyatul hilal ialah satu-satunya cara yang diajar oleh Rasulullah (saw) kepada kita dalam menentukan masuknya bulan baru. Sabda Rasulullah (saw):

صُومُوا لِرُؤْيَتِهِ وَأَفْطِرُوا لِرُؤْيَتِهِ فَإِنْ غُبِّيَ عَلَيْكُمْ فَأَكْمِلُوا عِدَّةَ شَعْبَانَ ثَلاَثِينَ

“Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kalian terhalang, maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban menjadi 30 hari” [HR Bukhari, dari Abu Hurairah]

Rukyatul hilal wajib dilakukan pada 29hb. Sekiranya, sebagai contoh, hilal Ramadhan tidak kelihatan, maka Rasulullah (saw) memerintahkan kepada kita untuk menggenapkan Sya’ban kepada 30 hari. Begitu juga, sebagai contoh, jika hilal Syawal tidak kelihatan, maka perintah kepada kita ialah untuk menggenapkan Ramadhan kepada 30 hari. Inilah yang diajar oleh Rasulullah (saw) kepada kita.

Berdasarkan hadis di atas, dan banyak lagi hadis lain yang senada dengannya, jelas menunjukkan kewajipan atas kita untuk merukyah hilal dalam menentukan masuknya Ramadhan atau Syawal, dan bukannya melakukan perkiraan (hisab) dan bukan juga menetapkan kriteria tertentu untuk hilal dikatakan wujud.

Berdasarkan hadis tersebut, kita dapat fahami bahawa hilal kemungkinan sahaja telah muncul di langit, namun tidak kelihatan oleh mata kasar kerana diliputi awan atau cuaca mendung. Maka apa yang perlu kita lakukan dalam keadaan itu ialah menggenapkan Sya’ban / Ramadhan kepada 30 hari.

Dengan kata lain, kewajipan atas kita ialah untuk melakukan rukyah – jika nampak hilal, maka bermulalah bulan baru; jika tidak nampak hilal (disebabkan mendung), maka genapkan bulan kepada 30 hari. Inilah kaedahnya dan inilah hukumnya dalam menentukan masuk atau tidaknya bulan baru yakni dengan melakukan rukyah. Inilah satu-satunya cara yang diajarkan oleh Islam, dan tidak ada cara lain lagi.

Hisab atau Imkanur Rukyah tidak boleh dijadikan sebagai “penentu” kepada masuknya bulan baru. Ia hanya membantu kita untuk memudahkan proses mencerap hilal dengan mengetahui kedudukannya di ufuk.

Sekiranya hisab atau kriteria Imkanur Rukyah dipenuhi sekalipun, namun apabila kita mencerap hilal di lapangan dan ternyata hilalnya tidak kelihatan disebabkan oleh cuaca seperti hujan, awan tebal atau mendung, maka kita wajib menggenapkan Sya’ban atau Ramadhan kepada 30 hari.

Sebaliknya, jika hisab atau kriteria Imkanur Rukyah tidak dipenuhi dan hilal dijangka tidak kelihatan, namun apabila kita mencerapnya di lapangan dan ternyata hilal kelihatan, maka kita wajib berpuasa atau berhari raya. Inilah hukumnya.

Jadi, satu-satunya kaedah yang menjadi penentu atau pengukur untuk umat Islam berpuasa atau berhari raya ialah rukyatul hilal, bukannya hisab dan bukan juga berdasarkan kriteria Imkanur Rukyah. Setelah melakukan rukyah, dan hilal ternyata kelihatan (samada dengan mata kasar atau menggunakan alat), maka masuklah bulan baru, tanpa mengira lagi apakah ia memenuhi kaedah hisab atau kriteria Imkanur Rukyah. Inilah satu-satunya kaedah yang diajar oleh Rasululluh (saw) kepada kita.

Inilah juga yang seharusnya dijelaskan oleh pihak berautoriti kepada umat Islam, bukannya dengan membuat dan menyebarkan jangkaan bahawa hilal tidak kelihatan berdasarkan itu dan ini. Pihak berautoriti seharusnya menjelaskan kepada umat bahawa kita diwajibkan merukyah hilal pada hari ke-29. Sekiranya hilal kelihatan, maka esoknya kita akan berhari raya. Sekiranya hilal tidak kelihatan, maka esoknya kita genapkan Ramadhan kepada 30 hari. Mudah dan selesai.

Pihak yang berautoriti seharusnya mengajar umat Islam akan hukum yang benar, seterusnya mengajar umat akan cara-cara mencerap hilal dan menggalakkan umat untuk sama-sama melakukannya di lapangan, bukan sebaliknya berusaha untuk “menutup mulut” umat daripada membicarakan mengenai hilal, dengan menyuruh umat menunggu sahaja pengumuman.

Pihak yang berautoriti juga tidak seharusnya mempropaganda kepada umat bahawa merukyah hilal ini suatu yang sangat susah dan tidak boleh dilakukan oleh sebarang orang, kecuali yang mempunyai kepakaran sahaja. Berdasarkan hukum merukyah hilal yang fardhu kifayah, pihak yang berautoriti yang mendakwa mempunyai kepakaran, seharusnya mengajar umat dan menggalakkan umat untuk belajar teori dan amali mengenai rukyatul hilal.

Dalam masa yang sama, setiap Muslim juga harus sedar bahawa, sebagai sebuah fardhu kifayah, sebaiknya bagi kita untuk belajar dan berusaha merukyah hilal sendiri, bukan hanya membiarkan begitu sahaja kewajipan ini, atau meletakkan sepenuhnya kepada orang lain atas alasan ia adalah fardhu kifayah. Setiap Muslim seharusnya berlumba-lumba untuk mempelajari ilmu kifayah di samping mengejar pahala dengannya.

Dengan mempelajari dan melakukan sendiri rukyatul hilal, maka setiap Muslim juga akan mengetahui secara langsung bahawa bulan baru sudah masuk atau tidak, yang akan membuatkannya lebih yakin, benar dan tenang dalam beribadat.

Wallahu a’lam.