Rule of Law: Demokrasi vs Khilafah

Perdana Menteri Tun Mahathir sering berbicara mengenai kedaulatan undang-undang (rule of law). Beliau berkata kedaulatan undang-undang terpakai kepada semua orang, daripada Raja-Raja sehinggalah kepada Perdana Menteri dan menteri-menteri yang lain, kepada penjawat awam serta rakyat biasa [Bernama]. Penegasan beliau terhadap kedaulatan undang-undang (rule of law) kelihatan sejak PH menang PRU ke-14 lagi. Namun, apa yang menjadi persoalan ialah apakah demokrasi menjanjikan kedaulatan undang-undang atau yang lebih penting lagi, apakah kedaulatan undang-undang demokrasi menjamin keadilan dan kesaksamaan dalam kalangan masyarakat?

Idea tentang rule of law datang daripada British ketika abad ke-16 apabila para intelektual dan masyarakat menentang idea divine right of kings (hak ilahi raja-raja) yang menjadi asas sistem politik zaman gelap Eropah. Divine right of kings menjadikan raja sebagai wakil tuhan di bumi dan para raja tersebut tidak tertakluk ke atas undang-undang di bumi. Maka, hanya tuhan yang boleh menghukum para raja. Ketika zaman kebangkitan Eropah dan revolusi-revolusi rakyat, idea rule of law telah tersebar sejajar dengan pembentukan negara demokrasi. Sejak itu para raja di Eropah tertakluk kepada undang-undang dan tidak lagi bebas.

Walaupun idea rule of law ini kelihatan menarik dan adil, namun ramai pakar perundangan tetap mengkritik kegagalan demokrasi dalam merealisasikan idea tersebut. Seorang profesor perundangan di Havard, Morton J. Horwitz dalam tulisannya pada tahun 1986 mengatakan “dengan mempromosikan rule of law membolehkan mereka yang bijak-pandai dan yang kaya memanipulasi bentuknya untuk kelebihan mereka sendiri.” Para pakar yang bersetuju dengan pernyataan ini melihat kebanyakan undang-undang mempunyai makna “tidak pasti (indeterminate)” dan objektif. Lalu akhirnya undang-undang tidak mungkin dapat menjalankan fungsinya yang efektif untuk menghalang penyalahgunaan kuasa oleh pemerintah kerana pada realitinya struktur kekuasaan dalam masyarakat yang sebenarnya menentukan hasil perundangan bukannya undang-undang itu sendiri.

Hal ini demikian kerana, penafsiran undang-undang dan penguatkuasaannya dipengaruhi oleh elit pemerintah. Rule of law hanyalah sebagai pengesahan terhadap struktur kekuasaan dan perundangan. Dengan kata lain, mereka yang berkuasa dalam masyarakat dan yang menguasai mahkamahlah yang menentukan penafsiran undang-undang tersebut mengikut kehendak mereka. Inilah yang selalu terjadi dalam sistem demokrasi. Akhirnya, mereka yang lemah dan rakyat biasalah yang sentiasa tertakluk kepada undang-undang dan dikenakan hukuman. Sebaliknya bagi golongan elit, merekalah yang menggubal undang-undang untuk masyarakat, mereka jugalah yang mengetahui cara memanipulasikan perundangan, maka mereka sentiasa terlepas daripada hukuman. Oleh sebab itu, kedaulatan undang-undang (rule of law) dan keadilan sukar ditemukan dalam demokrasi.

Ia sangat berbeza dengan kedaulatan hukum syariah dalam Islam. Dalam sistem pemerintahan Islam iaitu Khilafah, kedaulatan di tangan syarak (as-siyadah li asy-syar’i), iaitu hanya Allah SWT sebagai asy-Syari’ yang layak membuat hukum-hukum untuk manusia. Maka, sudah tentunya hukum-hukum tersebut adil dan saksama untuk seluruh manusia. Malah seluruh masyarakat termasuk para Khalifah, para penguasanya dan setiap individu masyarakat tertakluk kepada hukum-hukum syariah. Bagi para khalifah dan penguasanya terdapat mahkamah Mazhalim untuk membicarakan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan oleh mereka. Lebih daripada itu, mereka juga tidak boleh sewenang-wenang mentafsirkan hukum-hukum Islam kerana penafsiran hukum-hukum Islam mestilah bersandarkan Al-Quran, Sunnah Rasulullah SWT, ijmak sahabat, qiyas dan ijtihad yang mengikut kaedah-kaedah usul yang sah. Ini dapat mencegah para khalifah dan penguasanya daripada menafsirkan hukum-hukum atau undang-undang mengikut kemahuan dan kepentingan mereka.

Walaupun tidak dinafikan kesempurnaan sistem ini masih bergantung kepada ketakwaan bagi orang yang menjalankannya, namun ia tidaklah memberi jalan yang mudah kepada para penguasa untuk memanipulasikan sewenang-wenangnya. Hal ini sangat berbeza dalam sistem demokrasi ketika penyalahgunaan kuasa boleh kita lihat di mana-mana negara yang menerapkannya sistem ini.

Islam sebagai ad-Deen daripada Maha Menciptakan telah membawa sistem dan hukum (perundangan) yang sangat lengkap dengan mekanisme dalam mencegah penyalahgunaan kuasa. Oleh sebab itu, kedaulatan undang-undang dan keadilan hanya dapat dimanifestasikan melalui syariah Islam dalam wadah Khilafah.  Firman Allah SWT:

أَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ حُكْمًا لِقَوْمٍ يُوقِنُونَ

Apakah hukum Jahiliyah yang mereka kehendaki, dan hukum siapakah yang lebih baik daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakin? [TMQ al Maaidah (5): 50]

Dr Ammar
Lajnah Tsaqafiyyah HTM